Wednesday, February 19, 2014

Niat Baik Yang Jadi Tak Baik

Kisah ini memang benar-benar terjadi kepada adik aku sewaktu dia kanak-kanak dulu. Ayah aku suka memberi amaran pada adik aku dengan menjeling jika dia membuat sesuatu yang tidak disukai ayah. Contohnya, jika ke kedai, kalau adik aku mengambil gula-gula, dia akan menjeling pada adik aku, bermakna dia suruh letakkan semula gula-gula tersebut ke tempat asalnya.

Pada suatu hari, adik aku turut mengikut aku dan ayahku ke surau untuk berjemaah solat Maghrib. Ketika sedang rukuk, adik aku melihat kain pelikat Pak Imam tersepit di celah punggungnya. 

Adik aku yang kononnya ingin membantu, terus menarik untuk membetulkan kain yang tersepit itu. Ayahku yang sedang solat terus menjeling kepada adik aku. Adik aku pun faham maksud itu, lalu terus memasukkan semula kain pelikat ke celah punggung Pak Imam.

Apalagi, melatahlah Pak Imam. Habis satu jemaah batal solat kerana turut terkejut dengan latahan Pak Imam. Ayah aku dengan muka merah padam menahan malu dan marah terus mengheret adik aku balik ke rumah.

Sebulan adik aku tidak dibenarkan datang ke surau sejak itu.


Buat Baik Berpada-Pada
Buat Jahat Jangan Sekali

Biar Sibuk
Asalkan Jangan Menyibuk

sumbangan dari Abang


Chewing Gum

Rasanya ramai yang tahu bahawa dan mengapa chewing gum is a banned stuff di Singapore. Hmmm samada ini adalah fakta ataupun auta maka tersebutlah kisah dalam satu majlis makan malam sempena lawatan rasmi PM Singapore ke Thailand.

Hidangan menu yang berasaskan udang, dimasak cara tempatan pada malam itu sangat menyelerakan semua tetamu yang hadir. 

Tiba-tiba PM Singapore memulakan perbualan "Lepas makan udang, apa orang Thailand buat dengan kulit udang tu ye?"

PM Thailand menjawab "Ermm kami takde le buat apa-apa, kami buang je"

Pm Singapore pun berkata "Oooo kalau kat Singapore, kamu recycle kulitnya jadi keropok udang, kemudian kamu eksport ke Thailand"

Pelayan meja jamuan kemudian menghidangkan dessert berasaskan limau yang sungguh enak.

Pm Singapore bertanya lagi "Lepas makan limau, apa orang Thailand buat dengan kulitnya?"

PM Thailand menjawab "Kami tak buat ape-ape, kami buang aje"

"Ermm kalau kat Singapore, kulitnya kami recycle buat jus dan lepas tu kami eksport ke Thailand" kata PM Singapore.

Keesokkannya PM Singapore dibawa melawat ke sebuah kilang kondom yang termoden dan paling mesra alam di Thailand. Selepas tamat sesi taklimat berkaitan mutu serta ciri-ciri keselamatan produk kondom keluaran kilang tersebut, PM Thailand bertanya kepada PM Singapura.

"Apa orang Singapore buat dengan kondom selepas digunakan?"

PM Singapura pun menjawab "Kami tak buat ape-ape, kamu buang sahaja"

Dengan selamba PM Thailand berkata "Oooo kalau kat Thailand, lepas guna kondom kami recycle menjadi chewing gum kemudian kami eksport ke Singapura"

Muka PM Singapore menjadi merah padam dan sebaik sahaja dia tiba ke Singapore dia terus ban chewing gum di Singapore, sampailah sekarang :)


Sehina-Hina Orang Yang Dihina
Lagi Hina Orang Yang Menghina Sebenarnya
Jangan Sampai Apa Yang Dihina
Berbalik Pada Diri Sendiri






Tuesday, February 18, 2014

Jangan Sekali-Kali Merendahkan Orang Lain

Sejak dari persekolahan lagi seorang pemuda miskin ini dalam diam meminati seorang gadis yang berada yang sekelas dengannya. Lima tahun setelah tamat alam persekolahan, suatu petang ketika pemuda itu sedang membasuh kereta-kereta yang ditugaskan kepadanya disebuah pusat membasuh kereta. Tanpa disangka kereta terakhir yang dibasuhnya adalah kereta milik gadis yang diminatinya itu.

Oleh kerana mereka saling mengenali lantas pemuda itu meluangkan masa untuk berbual dengan gadis idamannya sambil melepaskan lelah kepenatan. Sekian lama berbual, kedengaran....

"Sedarlah awak, pendapatan awak sebulan hanya mampu menyamai perolehan saya untuk seminggu, ternyata awak tidak layak berpasangan dengan saya, tidak pernah ada rasa minat dalam diri saya kepada awak, sebaiknya, awak carilah mana mana gadis yang setaraf dengan awak ye"

Gadis itu berlalu dengan keretanya sambil menyorak kepada pemuda itu "jangan lupa beli cermin untuk awak ye". Pemuda itu tunduk merenung percikan air ke kaki seluarnya yang tak sempat dielaknya dan kereta gadis itu meluncur laju.

Lima tahun kemudian, di satu majlis resepsi perkahwinan mereka kebetulan bertemu lagi. Gadis itu berkata "Hei kamu! apa kabar? Kebetulan kita berjumpa, saya ingin menjemput kamu ke majlis perkahwinan saya bulan depan" 

Pemuda itu mengukirkan senyuman dan belum sempat dia bersuara "Kamu tahu siapa bakal suami saya? Roy... yang sama sekelas dengan kita dulu, ingat tak? Dia kan bijak orangnya dalam kelas kita? Kamu tahu tak berapa gajinya sekarang? Lebih tiga ribu haha, dapat tak kamu bayangkan?"

Berkaca-kaca mata pemuda itu mendengar kata-kata gadis yang pernah diminatinya itu.

Beberapa minit kemudian, Roy datang menghampiri mereka. Sebelum sempat gadis itu memperkenalkan bakal suaminya. "Tuan" terpacul dari mulut Roy, "Tuan pun ada di sini?" Pemuda itu mengangguk sopan dengan senyuman. 

"Nampaknya bertambah seri lah majlis ini dengan kehadiran tuan, tuan, ini saya perkenalkan bakal isteri saya" Roy berkata sambil menoleh kepada gadis itu. "Kenalkan, inilah boss saya, dia masih bujang lagi, dia meminati seorang gadis sejak dibangku sekolah lagi, tetapi gadis itu menolaknya, sebab itulah dia terus membujang" 

Roy meneruskan kata-katanya "Sial sekali gadis itu kerana menolak tuah, mana nak cari pencinta yang setia seperti boss, pada saya gadis seperti itu ibarat sampah yang layaknya dibuang sahaja"

Gadis itu terdiam dalam terkejut, dan kelihatannya sangat malu sehingga tidak mampu merenung mata pemuda itu, melainkan tunduk merenung lantai. Tiba-tiba berkumandang suara pengacara majlis,

"Dijemput dengan segala hormatnya, Tuan Hisyam Abdul Majid untuk merenjis tepung tawar kepada kedua pengantin baru, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan" 

Sesuatu Yang Dilihat Baik Pada Mata Kita
Terkadang Tidak Sesuai Dengan Yang Kita Harapkan
Belajarlah Bersyukur 
Dan Menghargai Setiap Anugerah Yang Kita Terima
Dan Senyumlah

Adakalanya Orang Disakiti Dan Dihina
Akan Menjadi Jauh Lebih Berjaya 
Dari Apa Yang Dapat Dibayangkan.
Setelah Semua Terjadi
Timbullah Penyesalan Dalam Diri
Kerana Selalunya
Orang Yang Dihina Akan Memakai Hinaannya
Untuk Mengapai Sebuah Kejayaan.

Saat Dia Meninggalkan Kamu,
Bukan Beerti Kebahagiaan Ikut Meninggalkan Kamu,
Kebahagiaan Tidak Diciptakan Oleh Dia,
Hanya Kamu Sendiri Yang Mampu Mencipta Kebahagiaan Buat Dirimu,
Jadilah Peribadi Yang Merdeka.

Sumber dari buku nota H.A.Majid





Monday, February 17, 2014

Merapu Ditinggal Kekasih

Seperti langit yang terkoyak oleh petir
Seperti itulah hati ku ketika engkau mungkir
Manisnya cinta bercampur pahit getir
Bayangan dirimu seakan abadi terukir

Cintamu cantik bagaikan pelangi
Begitu indah namun hanya ilusi
Jeritan dan rintih tiada erti
Kini aku kau tinggalkan menunggu mati

Jiwaku kosong ketika ia pun pergi
Begini aku sekarang sendiri
Menatap langit dengan airmata di pipi
Langit pun menangis tak henti
Mengantikan aku yang lelah menanti

Hampa mendera diriku
Kesal, kecewa dan benci meliputi auraku
Namun apa dayaku
Harus kuterima kata-kata nyata darimu

Masih teringat jelas dibenakku
Kau letakkan aku sebagai salah bagimu
Tanpa rasa hiba kau tidak membelaku
Tanpa rasa kasihan kau menghukumku

Denyutan nadiku terhenti-henti kurasa
Seluruh jiwaku memercik darah luka
Kau melihatku dengan mata terbuka
Senyum bangga tanpa sepatah kata

Kini aku hanya mampu mendengar nafasku
Yang termengah-mengah mengais setitik hidup
Sisa-sisa nyawa yang kian sirna
Aku letih Ya-Allah.....
Biarlah aku melepaskannya

Kini dari tepi sungai kehidupanmu
Engkau selalu meratapi sebuah batu
Batu kusam yang kian hilang oleh waktu




Tentang Cinta

Di sebuah kawasan perumahan bagi golongan miskin, hidup sepasang suami isteri yang bagaikan tidak diendah oleh anak-anak mereka. Bertahun-tahun mereka tidak diziarah walaupun pada hari raya.

Satu hari, si isteri yang mempunyai rambut yang segar bersinar dan sangat panjang sehingga mencecah betis meminta si suami supaya membelikannya sebotol shampoo dan sikat yang baru untuk dia menjaga kesegaran rambut kesayangannya.

Si suami berasa susah hati dan begitu kesal sekali kerana tidak dapat menunaikan permintaan isterinya. Si suami menerangkan pada isterinya bahawa untuk membaiki jam tangannya sendiri pun dia tidak mampu. Si isteri mengerti kesusahan suaminya dan tidak meneruskan permintaannya.

Di kala senja keesokkan harinya semasa si suami pulang dari tempat kerjanya, kebetulan dia melalui sebuah kedai jam di mana kebiasaan dia membaiki jamnya jika rosak. Dia menjual jamnya pada harga rendah demi memenuhi keinginan isterinya.

Pada lewat senja dia sampai ke rumahnya dengan perasaan riang untuk memberikan sebotol shampoo dan sikat kepada isterinya yang sangat disayanginya.

Ketika si suami menghulurkan shampoo dan sikat kepada isterinya, dia terkejut apabila melihat isterinya telah berambut pendek. 

Sambil tersenyum manis isterinya menerangkan bahawa dia telah menjual rambutnya yang panjang kepada sebuah kedai solek yang berminat dengan rambutnya untuk membuat rambut palsu, sambil menghulurkan sebuah jam tangan yang baru untuk suaminya.

Tanpa dapat dikawal, airmata mengalir secara serentak dari mata si suami dan begitu juga si isteri. Airmata itu sebagai tanda mereka sanggup berkorban demi saling lengkap melengkapi dan airmata itu sebagai tanda mereka saling sayang menyayangi.

To Love Is Nothing
To Be Loved Is Something
But
To Love And To Be Loved By The One You Love
That Is Everything
Never Take Love For Granted



Kisah Benar - Don't Judge A Book By Its Cover

Satu hari di satu ketika dulu-dulu, kelihatan seorang wanita yang agak berusia bersama suaminya yang datang dari sebuah kawasan terpencil Boston melangkah masuk ke ruang pejabat Universiti Harvard sebuah universiti yang terkemuka. Mereka berpakaian serba lusuh dan usang, tidak sebagaimana kebiasaan tetamu atau ibubapa penuntut yang datang ke situ dengan pakaian serba jenama dan mahal. Itu membuat kakitangan di pejabat universiti itu hairan akan tujuan kedatangan mereka. "Kami mahu berjumpa Tuan Presiden" kata si suami dengan lembut pada setiausaha presiden. 

Melihatkan keadaan serta penampilan pasangan yang seperti itu, membuatkan fikiran setiausaha presiden melayang-layang berfikir, belum ada penuntut yang layak dari Boston untuk melanjutkan pengajian mereka ke universiti ini, lebih-lebih lagi dengan keadaan pasangan ini yang kelihatan serba kekurangan, masakan mereka mampu untuk membiaya anak mereka ke universiti yang serba mahal ini. Lebih-lebih lagi pasangan itu tidak pernah membuat sebarang temujanji, lalu setiausaha presiden menjawab "Presiden sibuk sepanjang hari".

"Kami akan tunggu sehingga kesibukannya selesai" balas si isteri dengan penuh sopan dan senyuman. Setiausaha kepada Presiden Universiti Harvard itu mengabaikan sahaja pasangan itu begitu sahaja dengan harapan setelah beberapa jam menunggu nanti tentu pasangan itu akan kecewa dan berputus asa dan akan meninggalkan pejabat itu begitu sahaja. Namun sangkaannya meleset apabila pasangan itu tetap tabah menunggu setiap jam-jam yang berlalu. Kecewa dengan kedegilan pasangan itu lalu setiausaha presiden itu mengambil keputusan memaklumkan kepada presiden akan kehadiran mereka.

".....mungkin jika mereka dapat bertemu dengan tuan sekejap maka mereka akan segera beredar" kedengaran suara setiausaha itu berkata kepada presiden. Presiden mengeluh memikirkannya, sedangkan urusan yang berkaitan kepentingan dirinya sendiri pun selalunya dia tidak dapat layan, inikan pula pasangan ini yang jelas tidak pernah membuat sebarang temujanji, dan dia sendiri tidak gemar mereka-mereka yang tiada taraf menganggu urusannya dan berkeliaran di pejabatnya.

Dengan wajah yang tegas dan serius Presiden memandang pasangan itu di luar biliknya, Si isteri berkata dengan lembut "Kami mempunyai seorang anak lelaki yang menuntut di Universiti Harvard ini selama setahun dulu, Dia sangat menyukai Harvard dan amat bergembira menuntut di sini, malangnya dia terbunuh dalam satu kemalangan setahun yang lalu. Oleh itu kami ingin membina sesuatu sebagai memperingati anak kami di kawasan yang kosong di universiti ini". 

Tanpa ada rasa apa-apa simpati presiden bersuara dengan nada tinggi dan keras "Puan. kami tidak boleh membina sebarang patung atau tugu peringatan untuk setiap orang yang mati ketika menuntut di sini. Jika itu dilakukan Harvard ini akan kelihatan seperti kawasan tanah perkuburan"

"Bukan begitu" cepat si isteri menerangkan kepada Presiden Universiti Harvard, "Kami bukan hendak membina patung atau tugu sebegitu, kami hendak memberikan sebuah bangunan yang terdiri daripada kelas-kelas pengajian kepada Universiti Harvard"

"Apa! sebuah bangunan?" terbeliak mata presiden kemudian dia gaya menjeling, melihat penampilan pasangan itu dari atas ke bawah kemudian ke atas kembali "Adakah awak berdua gila, tahukah awak berapa nilai keseluruhan universiti ini? Ianya mencecah tujuh setengah juta dollar"

Pasangan itu terdiam sejenak. Itu membuat Presiden Universiti Harvard gembira kerana pada fikirannya pasangan itu terdiam kerana terkejut dan setentunya mereka akan segera beredar meninggalkannya. Tiba-tiba si isteri berpaling kepada suaminya lalu berkata dengan nada perlahan "Adakah itu sahaja kos bagi memulakan sebuah universiti? Mengapa tidak kita buat saja sebuah universiti kita sendiri?" Dan si suami mengangguk kepalanya lalu pasangan itu saling tersenyum.

Wajah presiden layu penuh kebingungan dan kekeliruan melihat Encik dan Puan Leland Stanford bangun dan berjalan keluar meninggalkannya dan Universiti Harvard. 

Pasangan itu meneruskan perjalanan mereka ke Palo Alto, California di mana mereka menubuhkan sebuah universiti atas nama keluarga mereka. 'Stanford Universty' peringatan keatas seorang anak lelaki yang mana universiti Harvard tempat dia menuntut tidak simpati ke atas nasib yang menimpanya.

Stanford Universty 1906


"Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita-wanita lain, (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita-wanita (yang mengolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri(*1) dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman(*2) dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim"
Surah Al-Hujuraat ayat 11

(*1) mencela sesama mukmin kerana orang-orang mukmin itu seperti satu badan
(*2) panggilan yang buruk. panggilan yang tidak disukai oleh orang-orang yang digelar.

Dari catatan Hisyam Abd Majid


Saturday, February 15, 2014

Kisah Benar - What Goes Around Comes Around

Satu hari ketika seorang pekebun miskin bernama Fleming sedang bertungkus lumus mencari rezeki di kebunnya, tiba-tiba dia terdengar suara tangisan seorang budak meminta tolong berulang-ulang kali. Fleming terus berlari kearah suara tangisan tersebut lalu terkejut apabila dilihatnya seorang kanak-kanak lelaki terperangkap didalam lubuk pasir jerlus. Tangisan budak itu makin kuat apatah lagi dia hampir hapus terbenam disedut oleh pasir jerlus tersebut. Pasir jerlus telah menyedut melewati paras dadanya dan kini telah sampai ke pangkal leher. Tanpa berlengah pekebun miskin ini berusaha menyelamatkan budak itu tanpa menghiraukan keselamatan dirinya sendiri. Setelah melalui pelbagai kepayahan akhirnya budak itu dapat diselamatkan.

Keesokan paginya, keluarga Fleming didatangi seorang yang penampilannya gaya seorang bangsawan memperkenalkan dirinya sebagai bapa kepada kanak-kanak yang diselamatkan oleh Fleming semalam.

Di pintu pondok usang Fleming kedengaran perbualan antara Fleming dan lelaki bangsawan tersebut. "Saya ingin membalas jasa encik" kata bangsawan itu "Terima kasih kerana encik telah menyelamat nyawa anak kesayangan saya dan keluarga saya telah berhutang nyawa kepada encik"

"Tidak mengapa tuan, saya tidak boleh menerima sebarang apa-apa dari tuan" balas Fleming, "Saya melakukannya dengan ikhlas kerana itu adalah tanggungjawab saya" tambahnya dengan senyuman penuh kemesraan.

Tiba-tiba muncuk seorang kanak-kanak lelaki yang kelihatannya seperti baru bangun tidur dari pintu pondok usang keluarga Fleming sambil mengesat-ngesat matanya. "Anak encikkah ini?" Lelaki bangsawan itu bertanya. "Ya" jawab Fleming sambil mengusap-ngusap kepala anaknya.

"Beginilah encik, izinkan saya membela anak encik, membesarkannya dan memberikannya pendidikan yang terbaik sebagaimana anak saya sendiri. Saya yakin dia mewarisi sikap budiman ayahnya dan satu hari kelak dia akan menjadi seorang lelaki yang encik sekeluarga akan bangga dengannya"

Belasan tahun selepas itu, anak kepada Fleming dari keluarga petani yang miskin, dianugerahkan Ijazah Sains oleh St. Mary's Hospital Medical School di London. Masa-masa kemudiannya nama anak Fleming ini menjadi begitu terkenal ke seluruh dunia sebagai 'Sir Alexander Fleming' kerana penemuan 'Penicillin'.

Beberapa tahun berikutnya anak kepada lelaki bangsawan tersebut terlantar sakit oleh sejenis penyakit yang serius dan sangat digeruni oleh masyarakat England ketika itu kerana kadar kematian yang tinggi oleh penghidapnya. Penyakit itu dikenali sebagai  "Phneumonia". Tahukah anda apakah yang menyelamatkan anak bangsawan itu? Penicillin. 

Nama bangsawan itu ialah 'Lord Randolp Churchill' seorang tokoh politik terkemuka Britain ketika itu, dan nama anaknya ialah 'Sir Winston Churchill' yang akhirnya menjadi Perdana Menteri Britain pada era Perang Dunia Kedua.


Sir Winston Churchill

Sir Alexander Fleming

Wajah Sir Alexander Fleming Pada Wang Kertas Pound

".....Sesungguhnya rahmat ALLAH amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik"
Surah Al-A'araaf ayat 56

"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya akan menerima (balasan) kebaikannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun nescaya akan menerima (balasan) kejahatannya".
Surah Az Zalzalah ayat 7-8

"Barangsiapa yang datang dengan (membawa) kebaikan, maka baginya (pahala) yang lebih baik daripada kebaikannya itu, dan barangsiapa yang datang dengan (membawa) kejahatan, maka tidaklah diberi pembalasan kepada orang-orang yang telah mengerjakan kejahatan itu, melainkan (seimbang) dengan apa yang dahulu mereka kerjakan".
Surah Al-Qashash ayat 84