Friday, February 26, 2016

Andai Aku Dapat Undurkan Waktu


Hari silih berganti, detik waktu terus berlalu, namun perginya waktu sempat meninggalkan pelbagai kisah, ada suka ada duka, pahit manis, tangis tawa dan jatuh bangun dalam kehidupan. Terlalu banyak peristiwa yang telah dilalui dan sukar untuk membayangkan satu persatu. Apapun, ada yang masih segar dalam ingatan dan meninggalkan kesan yang mendalam bagaikan tak dapat dilupakan.

Seperti biasa jam akan terus berputar, sesekali fikiran tetap akan menoleh kebelakang, melihat hari-hari yang pernah dilewati, tapi hanya mampu mengenang kembali nostalgia yang telah ditinggalkan. Ada cerita tentang masa yang indah yang membuatkan rasa ingin kembali mengulangi detik itu dan bila mengenangkan peristiwa yang pernah membuat diri menangis, rasa ingin kembali untuk memperbaiki kesilapan dan kealpaan yang menyebabkan diri jatuh. Tapi ternyata waktu itu takkan dapat diulangi dan peristiwa yang pahit itu tak mungkin dapat diperbaiki.

Hari terus berganti, rembulan dan mentari. Biarlah masa terus berlalu, tak perlu disesali lagi kerana semua itu tak mungkin dapat diulangi. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam, masa pasti tanpa henti akan terus berputar dan beredar, namun perjalanan hidup ini akan terhenti bila tiba pada noktahnya nanti. Kenangan dan peristiwa yang pernah ditempuhi jadikanlah sandaran untuk diri terus kehadapan. Seandainya dapat diundurkan waktu mungkin kita ingin menyempurnakan segalanya yang telah dilalui tapi dalam hidup ini tiada manusia yang sempurna, antara sedar atau tidak pasti sahaja ada kesilapannya.





Thursday, February 25, 2016

Syarat Mati


Jangan tertipu dengan usia MUDA,
kerana syarat mati tak semestinya TUA.

Jangan terpedaya dengan tubuh yang SEHAT,
kerana syarat mati tak semestinya TENAT.

Jangan terpedaya dengan HARTA KEKAYAAN,
kerana yang dibawa mati hanyalah selembar KAIN KAFAN.





Kisah Seorang Suami Yang Beristeri Empat




Yang pertama - Sudah berusia, terlalu jarang diberi perhatian. Kadang-kadang langsung tidak dipedulikan.

Yang kedua - Masih cantik, masih diberi perhatian.

Yang ketiga - Cantik, dan sentiasa diberi perhatian.

Yang keempat - Paling cantik lagi menawan, disanjung serta diutamakan, malah diberikan lebih perhatian.

Waktu terus berlalu, tibalah saat si suami hampir meninggalkan dunia. Lalu dipanggillah keempat-empat isterinya.

Dipanggil isteri yang keempat, isteri yang paling disayanginya dan ditanya.. "Mahukah sayang mengikuti abang dan menemani abang ke alam kubur?" Si isteri menjawab.. "Sorry bang, sampai di sini saja ayang bersama abang."

Dipanggil pula isteri yang ketiga dan bertanya hal yang sama, si isteri menjawab... "Sorry, ling boleh menemani abang tapi hanya sebentar saja."

Kemudian dipanggil isteri yang kedua dan ditanya lagi hal sama, isteri tersebut menjawab... "Baiklah, anjer akan menemani abang tapi hanya sampai diliang kubur, setelah itu good bye bang.."

Si suami sungguh kecewa mendengar semua itu, tapi inilah kehidupan menjelang kematian... Dan akhir sekali dipanggil isteri yang pertama dan ditanya juga hal yang sama, lalu isteri pertama menjawab... "Saya akan menemani abang ke manapun abang pergi dan akan sentiasa mendampingi abang." Si suami tak menduga isteri yang pertama akan memberi jawapan yang sebegitu.

Tahukah anda apa dan siapa isteri pertama hingga keempat itu?

Isteri keempat - adalah 'harta dan kekayaan'. Mereka akan meninggalkan jasad kita saat kita hembuskan nafas terakhir.

Isteri yang ketiga - adalah 'teman-teman' kita. Mereka akan hanya menziarahi dan menghantar jasad kita hanya sampai di saat disemayamkan.

Isteri yang kedua - adalah 'keluarga'. Saudara mara dan teman terdekat. Mereka akan menghantar kita sampai dikubur, setelah mayat kita di masukkan kedalam kubur dan ditutupi dengan tanah, mereka akan meninggalkan kita.

Isteri yang pertama - adalah 'amalan kita' selama kita hidup di dunia. Kerana apa yang kita taburkan, itulah yang akan dituai. Bekalan untuk dibawa kesana.

Berbuatlah banyak kebaikan selama kita masih hidup di dunia ini agar nanti kita dapat memiliki bekal untuk dibawa kesana apabila sudah tiba waktunya nanti..





Wednesday, February 24, 2016

Nak Update Ke Tak Nak Ni


errrmmm... jam dah 3.20 pagi ni... mata pula tak mahu mengantuk...

sejak balik dari hospital ni, kengkadang rasa blogging ni macam menyampah jer... buang masa... macam laa takde kawan-kawan nak lepaskan cerite?

tapi kengkadang tu, bukannya sebab takde kawan atau rakan atau teman mahupun sahabat, abang kakak sedara mara untuk diceritakan aper yang terpendam... tapi rasanya cerita tu mungkin terlalu trivial untuk diceritakan... atau perasaan time nak mula nak cerita tu macam@memang tak sesuai untuk bercerita@diceritakan... atau pun benda yang nak diceritakan itu memang tak patut diceritakan kepada sesiapa, haha....

kengkadang... perkara yang terpendam.. dan yang sangat sangat nak dilepas kan tu adalah sangat sensitive... tak nak la orang lain pulak yang tersinggung... karang masalah lain pula yang timbul nanti....

so.. nak update ke tak nak blog ni?!! that is the question... for now.. lets try update blog ni.... a mechanism for me to release stress and to speak my mind out when I dont want anybody else to hear what I have to say...

Asalnya, mula-mula dulu I dont intend to share my blog.. ermmm pastu... tak kisahlah sape sape nak baca, bukannya apa pun, cuma sekadar luahan perasaan tatkala time yang amat memerlukan... besides, I'm sure it would be funny when I read all these one day ... :) hehe





Monday, February 15, 2016

Ambillah Waktu


"Ambillah waktu untuk berfikir,
itu adalah sumber kekuatan.
Ambillah waktu untuk bermain,
itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.
Ambillah waktu untuk berdoa,
itu adalah sumber ketenangan.
Ambillah waktu untuk belajar,
itu adalah sumber kebijaksanaan.
Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai,
itu adalah keistimewaan yang diberikan Tuhan.
Ambillah waktu untuk bersahabat,
itu adalah jalan menuju kebahagiaan.
Ambillah waktu untuk tertawa,
itu adalah musik yang menggetarkan jiwa.
Ambillah waktu untuk memberi,
itu adalah membuat hidup terasa bererti.
Ambillah waktu untuk bekerja,
itu adalah nilai keupayaan kita.
Ambillah waktu untuk amalkan kewajipan,
itu adalah kunci menuju syurga yang berkekalan."






Sunday, February 14, 2016

Dari Kerana Mata



Tak berkelip mataku
memandang kamu
keayuan wajah 

dan santun bicara
begitu mempersona
bagai mengusap hatiku
dengan lirikan manja,
renungan tajammu itu
menembusi tangkai kalbu
pantas menawan diriku.

Aku tahu
renunganmu itu bukan palsu
keikhlasannya jelas terbit 
seiring senyumanmu
sungguh manis 
membelai jiwaku
sungguh menarik 
tepat ke dalam mataku.

Haaisshhh,
aku tewas 
dalam renunganmu itu
dan benar aku,
tumpas dengan
tatapanmu.

Dari Kerana Mata - R.Azmi





Kata Hati Seorang Pesakit Yang Bernama Aku


Di atas katil hospital ini aku mengelamun. Terlalu jauh aku mengelamun kali ini, tapi tak ada salahnya kan? Jika kita mengelamun merenung diri, manalah tahu kalau-kalau aku mampu memperbaiki diri dengan cara ini. 

Hidup ini cuma sekali, oleh itu aku harus sangat berhati-hati mengolah diri, supaya aku tidak akan menyesal nanti di kemudian hari. Apabila waktu itu tiba yang semestinya tidak akan dapat dijangka-jangka. 

Hmmm, kenapa tetiba je aku terasa diriku seumpama daun-daun kering. Rapuh dan bila-bila sahaja akan jatuh ditiup angin. Malah mungkin akan diterbangkan melayang-layang terumbang-ambing? 

Dan adakalanya aku merasa seperti buah mangga yang belum masak, tapi sudah banyak ulatnya, sehingga tak mampu lagi rasanya bertahan lama di tangkal dahan, menunggu masa gugur bertaburan. 

Tapi bukankah harapan itu selalu ada…, dan kita tak perlu berhenti berharap.