Monday, June 22, 2015

Tunang Ku Sayang



Suatu hari, seorang gadis sedang berbual dengan teman lelakinya yang sedang asyik bermain game di ipadnya. Oleh kerana terlalu asyik, teman lelaki itu hanya mengiyakan sahaja setiap apa yang diperkatakan oleh gadis tersebut.

Padahal malam itu mereka telah berjanji akan pergi makan malam bersama, namun makan malam yang dijanjikan tertunda karena si teman lelaki tetap asyik dengan gamenya. "Jom la awak, hari sudah semakin malam,. Bila kita nak makan malamnya ni?" tanya si gadis.

"Ermm nanti laa sekejap je lagi, sah kemuncak nih" ujar teman lelakinya sambil terus fokus pada gamenya... "Hmm takpelah… kita jumpa je di restoran tu je lah nanti, saya pergi buat tempahan dulu, jangan lupa ye, jam 8.30 ye?" Lalu di jawab teman lelakinya dengan senang hati " ok, hati-hati ya"

Akhirnya si gadis pun pergi meninggalkan teman lelakinya menuju restoran yang dijanjikan dari awalnya oleh mereka berdua. Namun sebaik si gadis meninggalkan teman lelakinya bermain game, kawan-kawan teman lelakinya datang dan turut bersama-sama bermain game dengan ipad dan tablet masing masing.

Hingga akhirnya si teman lelaki alpa dan lupa akan janjinya bersama si gadis yang juga tunangnya.... Di sebelahnya, handphone si teman lelaki itu berdering dan bergetar menandakan ada seseorang yang menghubunginya tapi si teman lelaki mematikan terus handphonenya karena menganggu keasyikannya, Lalu dengan asyik, dia meneruskan gamenya.

Jam demi jam berlalu. Malam sudah semakin larut. Si teman lelaki baru selesai gamenya pukul 11 malam sementara kawan-kawannya sudah pun pulang. Dia sama sekali terlupa akan janji makan malam bersama tunangnya semalam.

Keesokan paginya, kawan si gadis datang menghampiri si teman lelaki dengan wajah yang sedih. .. "Eh awak, awak tak tahu ke tunang awak sudah meninggal dunia"

Si teman lelaki terkejut dan tidak percaya. "Heh jangan nak bohong lah, jangan nak bergurau bab-bab camni" 

"Hoi! takde sape nak berbohong, tadi ayah arwah telepon minta saya maklumkan berita ini pada awak."

Tanpa berlengah si teman lelaki itu pun memandu ke rumah tunangnya. Dan ternyata benar, kelihatan ramai orang bersongkok dan yang bertudung labuh menziarah rumah tunangnya, malah jelas kedengaran suara bacaan yasin beramai-ramai.

Dilihatnya jenazah tunangnyanya terbaring kaku diselimuti kain putih. Saat dia ingin melangkah masuk kakak tunangnya menyapanya dengan nada yang agak tinggi, "Kamu kemana semalam? Sampai hati kamu biarkan adik aku ditikam penyeluk saku. Dia menunggu kamu, bukan menunggu kematiannya!! Berkali-kali aku menyuruhnya pulang, tapi dia tetap berkeras mahu menunggu kamu.

Sekarang bukan sahaja kamu kehilangan dia? Malah kami semua".. Si teman lelaki itu hanya terdiam tanpa suara, diperhatikan orang ramai yang ada di situ. Diaktifkan semula handphonenya lalu muncul 5 sms dan 20 misscall....

Sms 1 : Pada jam 8:30... Sayang mengapa matikan hp?

Sms 2 : Pada jam 9:30... Sayang, awak belum selesai lagi ke?

Sms 3 : Pada jam 10:40... Sayang, Ani rasa macam ada yang memerhatikan Ani dari tadi lagi

Sms 4 : Pada jam 10:45,.. Ani takut, awak dimana sayang?

Sms 5 : Pada jam 10: 50... Takpelah awak, Ani pulang jalan kaki je lah sendiri, sebenarnya Ani Cuma nak sambut harijadi Ani sambil makan malam bersama sayang. Tapi takpelah.. I Love You, Muuahhh.









Rintihan Hati



Saat aku memerlukan mu
Engkau tiada
Saat aku merindui mu
Engkau entah di mana
Saat aku ingin kasih mu
Engkau sibuk tiada masa
Saat aku kecewa kerana mu
Engkau tiba tiba muncul pula

Engkau ada untuk membawa sejuta sesal mu
Engkau ada bila mengharap kasih ku
Engkau ada dikala memohon maaf ku

Namun.....

Mampukah engkau hapus rasa kecewa ku
Mampukah engkau balut luka hati ku
Mampukah engkau ganti rasa sepi ku
Mampukah engkau tumbuhkan kembali cinta ku

Hanya waktu yang mampu menjawabnya








Sunday, June 21, 2015

Antara Kisah Kisah Berlaku Di Bulan Ramadhan

Kisah Pertama berlaku di Sg Petani Kedah pada 10 Ramadan 1431 hijrah yang lalu, apabila seorang anak lelaki yang berusia 24 tahun sanggup menetak ayahnya sendiri sampai mati dan mencederakan ibunya sebelum melarikan diri ke hutan berhampiran.

Ianya terjadi dikatakan berpunca dari rasa marah apabila dia cuba memukul anak saudaranya kerana menegurkan bunyi bising kucing, lalu ayahnya campurtangan menyebabkan ia hilang sabar dan terus mengambil parang menetak ayah dan ibu. 

Kejadian ini berlaku ketika hampir waktu berbuka puasa dan didepan juadah yang disediakan oleh ibunya.Bayangkan betapa pilunya disaat begitu, seorang anak sanggup membunuh ayahnya sendiri dan mencedera ibunya yang membesarnya dan yang bersusah payah menyediakan hidangan untuk berbuka puasa.

Ayahnya yang banyak berkorban itu terbujur kaku menjadi mayat angkara kedurjanaan anak sendiri. Manusia jenis apakah anak ini yang sanggup melakukan perbuatan yang amat kejam dan tentunya perbuatan derhaka seorang anak terhadap org tuanya dan lebih menyayatkan hati lagi ianya berlaku di bulan ramadan.

Cerita Kedua berlaku pada 17 Ramadan 1431 tahun yang sama apabila seorang anak berusia 17 tahun bernama Ameerah Asha telah ditahan bersama teman lelakinya yang berusia 19 tahun oleh pihak polis.

Gadis yang bakal menduduki SPM pada hujung tahun tersebut dikatakan telah hilang dari rumah selama tujuh hari, setelah tidak balik selepas pergi ke sekolah. Ini menyebab ibu bapanya sangat susah hati. 

Kemudian ayahnya yang bernama Azizan bin Hashim menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengatakan Ameerah telah diculik dan meminta wang tebusan RM 50.000.

Ayahnya yang berkerja hanya sebagai jurujual memang tidak mempunyai wang sebanyak itu lalu membuat laporan polis. Melalui kerjasama polis dan orang ramai, Ameerah dan teman lelakinya dapat dikesan dan ditangkap semasa berada di dalam sebuah kereta. 

Hasil siasatan polis, sebenarnya Ameerah bukan diculik tetapi dia telah berpakat dengan teman lelakinya untuk mendapatkan wang dengan merancang penculikannya dan menuntut wang tebusan RM50.000 daripada ayahnya sendiri.

Peristiwa ketiga yang menyedihkan ini pula berlaku masih pada tahun yang sama iaitu pada 18 Ramadan di Pahang bertajuk "Pesawah mati ditetak abang ipar dengan parang". 

Kejadian pembunuhan yang berlaku hanya 30 minit sebelum berbuka puasa itu berpunca dari rasa marah yang amat sangat suspek yang berusia 64 tahun yang juga merupakan abang ipar kepada mangsa yang dikatakan tidak berpuasa hati hanya kerana adik iparnya yang berusia 61 tahun itu telah meracun rumput ditanah sawah miliknya.











Thursday, June 18, 2015

Kalau Dah Sesak Doa Makan Pun Jadilah


Satu malam seorang budak dalam lingkungan 10 tahun yang dalam perjalanan pulang dari berjemaah Isyak di surau. Dia perlu melalui kawasan semak yang gelap untuk sampai ke rumahnya yang terletak kira kira 300 meter dari rumahnya. Ketika dia semakin hampir dengan serumpun buluh yang besar tiba-tiba tanpa angin tanpa ribut rumpun buluh itu bergoyang goyang menyeramkan.

Langkah budak itu terhenti kerana ketakutan, di fikirannya pantas teringat bualan orang kampung tentang pontianak selalu sahaja kelihatan berkeliaran di rumpun buluh tersebut. Ingatan itu membuat dia semakin takut. Dia cuba mengingati doa doa yang dia pelajari dari guru mengajinya, ternyata dia masih belum hafal kebanyakan doa lebih lebih lagi doa untuk menolak ganguan iblis dan syaitan.

Lama dia berdiri ketakutan sementara rumpun buluh itu semakin mengila goyangannya. Akhirnya dia memutuskan untuk berlari sekuat hati sambil berteriak meminta tolong.

Entah macamana, pontianak itu muncul di hadapannya, menyeringai menampakkan kedua gigi taringnya sambil menjulurkan lidahnya yang panjang. Rupanya sungguh mengerikan.

Terus sahaja langkah budak itu menjadi kaku, matanya berputar-putar mencari mana-mana doa yang dia hafal dalam ingatannya. Dia hampa, ternyata hanya doa makan saja yang dia hafal.

Oleh kerana pontianak itu semakin menghampiri, budak itu tidak berfikir panjang lagi, terus membaca doa makan dengan nada suara yang kuat.

"Allahumma-baa-rik-lanaa-fii-maa-razaqtana-waqinaa-'adzaa-ban-naaarrr" pastu sambung "Bismillah-hirrahman-nirrahim"

Untuk meyakinkan dirinya akan doa itu maka budak itu membaca maksud doa makan itu dengan nada kuat dan bersemangat.

"Ya Allah, Engkau berkatilah kami dengan rezeki yang telah engkau berikan kepada kami dan jauhilah diri kami dari azab api neraka... Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang"

Tiba-tiba puntianak tu pula berhenti.... lidahnya yang menjulur panjang tadi masuk semula ke dalam mulutnya..... ia tidak menyeringai lagi malah nampak gelisah. Lalu berpaling ke belakang dan lari tunggang langgang ketakutan sambil merungut-rungut,

"Dah bertahun-tahun aku menganggu manusia, tak seorang pun berani dengan aku, tapi kali ni, budak ni nak makan akuuuu, power giler budak nieee" 




Ini laa Dewan Peperiksaan UM, haa tenguk, berapa ramai lelaki?
Camtu laa aku dulu, hehe.


Selamat Berpuasa



Salam Ramadhan 
buat semua yang pembaca halaman saya ini,
Mohon kemaafan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, 
Perbanyakkan amalan di bulan mulia ini,
Semoga hidup kita kan sentiasa ALLAH berkati.

Amin Ya Rabbal A'laminn.

-Selamat Berpuasa Semua-

Ikhlas dari Hisyam Abd Majid.







Tuesday, June 16, 2015

Puasa Pertama Seorang Pemandu Kereta Mayat



“Bang, tak basuh keretamayat bang? Semalam masuk tapak kubur waktu hujan, dah kotor sangat tu,”

Bebel isteri aku dari halaman rumah walau aku duduk jauh dalam bilik tidur tapi masih boleh dengar frequensi suaranya.

“Tak payah basuh hari ni, abang penat, lagipun hari pertama puasa, mana ada orang ponteng?” Aku beralasan sambil terus peluk bantal.

Tiba tiba terdengar bunyi air mengalir di ikuti suara bini aku,

“Abang jika tak nak basuh, saya basuh keretamayat ni, dapat pahala lebih, tapi abang malu karang jiran nampak saya basuh keretamayat”

Esh, membebel pulak orang tua ni, aku ikat kain pelikat kemas kemas di perut, tengok jam 10 pagi, anak anak sedang tengok kartun, lalu aku melangkah ke halaman rumah tengok kereta mayat yang memang agak kotor, isteri aku siram pokok bunga rupanya, ingat sedang basuh kereta.

“nak dekat zohor nanti, abang basuhlah, terus abang parking kat masjid, insyaAllah takde orang ponteng puasa hari pertama”.

Aku beralasan malas sambil duduk di muka pintu dengan muka tak mandi macam anak dara tak laku.

“Alaa bang kerja tak elok ditangguh tangguh, nanti menimbun nimbun jadinya. Lagi pulak tak baik tidur meninggi hari, payah rezeki nanti,..” bebel isteri aku lagi sambil menyiram basikal anak anak pula.

Aku menjawab, “Ermmmm selalunya hari pertama puasa ni, takder orang ponteng kut, solat terawih pun takde orang ponteng pada malam pertama”

Aku terus angkat punggung dan masuk tidur balik..

Baru nak terlelap, telefon berbunyi, aku tengok ada nombor Pak imam masjid.

“Aduuhhh, mamat mana pulak yang tak puasa pada hari pertama nih?, dalam kereta mayat nanti aku basuh mamat tu cukup cukup, mengganggu orang nak tidur je”

Lepas bercakap dengan imam, aku pakai baju dan terus ke masjid, mungkin benar, hari pertama puasa, tiada orang yang ponteng puasa, tapi hakikatnya, hari pertama puasa, ada orang yang mati menjadi mayat.

Kita semua akan mati.

Eh, rupanya bini aku dah basuh kereta mayat tadi – Yahoooo, SAYANG BINI AKU muahhhh muaahhhh muaaahhhhhh








Monday, June 15, 2015

Kata Hati Seorang Lelaki Seperti Aku


Jadikan aku pilihan yang terakhir 
sebagai lelaki yang pernah kamu lukai perasaannya 
hanya untuk memenangkan kedegilanmu

Jadikan aku pilihan yang terakhir 
sebagai lelaki yang pernah kamu sia-siakan 
kerana ada yang lebih baik daripada aku

Jadikan aku pilihan yang terakhir 
sebagai lelaki yang pernah kamu sakiti 
hingga airmata hatiku menitis

Jadikan aku pilihan yang terakhir 
sebagai lelaki yang pernah kamu abaikan 
kerana amarah dan dendammu

Jadikan aku pilihan yang terakhir 
sebagai lelaki yang pernah kamu remehkan 
karena kekuranganku

Jadikan aku pilihan yang terakhir 
sebagai lelaki yang pernah kamu permainkan 
hanya untuk memuaskan hatimu

Jadikan aku pilihan yang terakhir 
sebagai lelaki yang membuat kamu sedar 
tidak ada satu pun adam yang sempurna, 
sesempurna yang kamu dambakan 
cerminan lelaki seperti yang kamu idamkan

Karena sumber benih hingga kamu dilahirkan juga adalah daripada seorang lelaki yang sama tidak sempurna
seperti halnya aku

Tidak ada yang sempurna

Hisyam Abdul Majid








Sesal Seorang Isteri

Suamiku kini telah tiada tetapi penyesalanku akan terus mengharu jiwaku, Ini adalah kisah benar di dalam hidupku. Seorang suami yang kucintai, kini telah tiada. Begitu besar pengorbanan suamiku pada keluargaku. Begitu tulus kasih sayangnya untukku dan anak-anakku. Suamiku adalah seorang yang bekerja keras. Dia bersungguh-sungguh berusaha membina kehidupan yang sebaiknya untuk kami sekeluarga. Kehidupan yang kami tempuh akhirnya adalah suatu yang lebih baik dari kebanyakan orang lain. Ianya adalah suatu yang kami rasa sudah lebih dari cukup.

Hari ini, setelah suamiku tiada, aku kembali mengingatinya. Aku malah tidak dapat melupakannya. Aku merasa sangat berdosa ketika teringatkan bagaimana satu hari, suamiku pulang dari tempat kerjanya dan aku menyambutnya dengan keadaan yang amat marah. Ianya suatu yang tidak sepatutnya. Mengenangkannya aku jadi malu sendiri. Aku tidak dapat maafkan diriku yang berkelakuan begitu terhadap seorang suami yang sangat baik. Bukan sekali dua sebaliknya itulah watakku terhadap suamiku. Panas baran, mengherdik, meleter dan memarahi suami adalah kebiasaaanku.

Aku masih ingat betapa aku memarahi suami malah menengkingnya hanya kerana dia lambat pulang untuk membawaku ke rumah ibuku yang mahu berangkat ke tanah suci. Aku sedar, suamiku pada hari itu - seperti kebiasaaannya lambat pulang kerana urusan kerja. Dan aku pun tidak perlu tergesa-gesa sebab ibuku hanya akan ke tanah suci 5 hari lagi.

Tetapi itulah watak diriku. Aku selalu menempelak suamiku bahawa dia lebih mementingkan kerjanya berbanding diriku sedangkan aku sangat yakin suamiku tidak melakukan apa pun melainkn demi untuk membahagiakan kami sekeluarga.Sepatutnya aku boleh bertolak ansur walaupun aku sudah berjanji dengan ibuku. Inikan suami ku. Dia lebih patut dan wajib aku utamakan dari ibuku!!

Apapun aku sebenarnya dilanda cemburu. Aku bimbang suamiku dipikat oleh wanita lain di tempat kerjanya atau oleh kenalannya atau oleh siapa saja. Ianya berasas kerana suamiku kacak dan menarik sedangkan aku sendiri terasa sudah mula berusia dan semakin tidak menarik. Wajahku pun bukanlah cantik.

Hakikatnya aku tidak rela dimadukan. Aku tidak sanggup berdepan dengan situasi suamiku berkahwin lain. Aku lebih rela diceraikan daripada berkongsi suami dengan orang lain. Itulah akibatnya bila aku didorong nafsu untuk bertindak sebegitu terhadap suamiku.

Tapi kini aku tahu. Semua ucapan dan tindakanku selama ini salah dan hanya menjadi penyesalanku karena suamiku telah tiada. Setelah 2 hari kematiannya, seorang rakan kerjanya mengatakan padaku bahawa rupanya suamiku selalu membanggakan aku - isterinya dan anak-anaknya di depan rakan-rakan sekerjanya. Tidak ada yang negatif tentang diriku dan anak-anak melainkan semuanya hal-hal yang baik dan yang sangat dihargainya terhadap keluarganya.

En Ramli, rakan sekerja suamiku itu berkata, “Abang Halim sangat positif orangnya. Beliau selalu menyebut bahawa keluarganya adalah suatu yang amat bermakna di dalam hidupnya. Sebab itu kami tengok dia sanggup bersusah payah demi kebahagiaan keluarganya".

Aku sedar, itulah diri suamiku. Aku memang mengenalinya begitu tetapi aku tidak mampu bermujahadah melawan nafsu. Akibatnya aku selalu menyakitkan hatinya. Ada saja yang aku bebelkan di depannya. Kadang-kadang ketika bersama jiran atau di depan keluarga pun, aku masih sanggup mengeluarkan kata-kata yang mengguris hatinya. Teruknya aku!!

Kata En Ramli lagi' "Abang Halim bukan jenis orang biasa. Jiwanya sangat kuat dengan Tuhan. Ibadahnya sangat dijaga. Dia merupakan seorang pemimpin di tempat kerja yang berwibawa. Kata-katanya dituruti, pandangannya dan buah fikirannya selalunya tepat dan dapat memberi penyelesaian atas apa saja masalah syarikat. Begitu juga, kami selalu mendapatkan nasihatnya kalau kami menghadapi masalah peribadi atau keluarga".

Aku pun tertegun, memang aku sepatutnya menghargai suamiku sepenuh hati melebihi orang lain. Tetapi apakan daya. Nasi sudah menjadi bubur. Dia sudah pergi buat selama-lamanya. Aku menahan air mataku karena aku tidak ingin menangis di hadapan En Ramli. Aku sedih kerana penyesalanku sudah tidak bermakna.

Jenis isteri apakah aku ini sebenarnya?

Aku sesungguhnya hairan dengan sikap penyabar suamiku. Sabarnya luar biasa. Apa yang aku pasti, suamiku banyak menghabiskan malamnya dengan solat dan menangis. Cuma hatiku yang masih keras. Aku tidak berubah dari terus membentak dan memarahinya. Mungkin jiwaku yang sangat sensitif menjadikan aku tidak berupaya menahan rasa marah kalau hajatku tidak dilayan oleh suami. Pernah dengan kasar aku menyuruh suamiku membancuh air minumnya sendiri. Aku malas, itulah alasanku.

Sekarang, aku teringat betapa hancurnya perasaan suamiku ketika itu. Tapi dia memang manusia luar biasa. Dia hanya diam saja. Malah sambil tersenyum dia pergi ke dapur membuat teh atau kopi yang dihajatkannya sendiri. Sedangkan aku sendiri sedar, sebagai ketua keluarga, aku tidak sepatutnya melayan suamiku sedemikian.

Aku teringat kerapnya aku memarahi suamiku, dengan hamburan kata-kata bahawa dia selalu menyibukkan diri dengan pekerjaannya - sehingga tidak peduli dengan anak-anak. Namun itu semua salah. Ianya hanya sangkaan jahat dari seorang isteri yang jahat sepertiku. Mengejutkan bila En Ramli meninggalkanku dengan beberapa dokumen peribadi suamiku yang ada di dalam laci meja kerjanya. Ketika membacanya, aku tidak dapat menahan tangis.

"Ke hadapan isteriku yang tersayang! 
abang telah disahkan mengidap sakit darah tinggi. 
Itulah penyebab abang selalu pening dan rasa hendak pitam. 
Abang bimbang dengan keadaan abang sebegini..... 
apapun kepada Tuhan abang berserah..
Abang akan berusaha menjaga kesihatan.

Apa yang abang ingin sampaikan di dalam catatan ini ialah 
abang sangat mencintai sayang. Abang doakan sayang berubah 
menjadi isteri yang lebih baik dan solehah. 
Perjalanan kita masih panjang dalam mendapatkan kasih sayang Tuhan. 
Kita begitu memerlukan Tuhan. Keluh kesah, merungut dan mengeluh 
adalah tanda hati kita masih jauh dengan Tuhan. 
Sepatutnya sebagai hamba Allah, kita sangat merendah diri 
dan tahu untuk bersyukur atas segala nikmat Tuhan kepada kita. 
Bersikap redhalah dengan apa jua ketentuanNya.
Itulah kebahagiaan kita yang hakiki.

Sukalah abang nyatakan di sini:
Apapun yang sayang lakukan terhadap abang, 
abang telah maafkan. Kalaupun abang tidak dapat berikan semua hajat 
dan hasrat yang diminta oleh sayang selama ini, tetapi abang hadiahkan 
keampunan dan keredaan dunia akhirat dari abang terhadap sayang. 
Jika abang pergi terlebih dahulu, sayang pasti tahu, tidak mudah bertemu 
dengan orang seperti abang di dunia ini! 
Mohon ampunkan abang dan redhalah dengan apa jua 
kelemahan serta kekurangan abang!! 

- suamimu Abd Halim Bin Haji Abd Rahim.








Umpama Garam Segengam



Seorang anak muda yang dirundung malang pulang bertemu bapanya.

Langkah anak muda itu longlai dengan air muka yang kelihatan lesu tidak bermaya seperti orang yang tidak bahagia. Tanpa membuang masa, anak muda itu menceritakan semua masalahnya. Impiannya tidak tercapai dan gagal dalam kehidupan dan percintaan sambil bapanya mendengar dengan teliti dan saksama.

Bapanya kemudian mengambil segenggam garam dan meminta anaknya mengambil segelas air. Lalu dia masukkan garam itu ke dalam gelas tersebut dan sebatikan garam dan air dengan sudu.

“Cuba, kamu minum air ini dan katakan bagaimana rasanya…”, ujar si bapa.

“Sangat masin ssehingga terasa pahit, pahit sekali,” jawab si anak sambil meludah ke sisinya sedangkan bapanya tersenyum melihat telatah anaknya.

Kemudian, dia mengajak anaknya itu untuk menuju ke tepi telaga di belakang rumah mereka. Air telaganya sungguh jernih sehingga jelas nampak batu batu bertaburan di dasarnya.

Lalu si bapa menabur segenggam garam ke dalam perigi dan menggunakan sebatang buluh panjang untuk mengacau air telaga bagi tujuan menyegerakan garam sebati di serap air.

“Cuba ambil air dari telaga ini, dan minumlah”. pinta si bapa.

Sebaik anak muda itu selesai meneguk air, bapanya bertanya, “Bagaimana rasanya?”

“Segar je” sahut anaknya.

“Apakah kamu rasa masin garam di dalam air telaga itu?”, tanya Pak Tua lagi.

“Tidak,” jawab si anak.

Si bapa menepuk bahu si anak lalu mengajaknya duduk santai di bangku kayu dihalaman rumah mereka.

“Anakku, dengarlah. Pahitnya kehidupan adalah seumpama segenggam garam tadi, tak lebih dan tak kurang. Jumlah dan rasa pahit itu sama dan memang akan tetap sama. Tetapi, kepahitan yang kita rasakan sangat bergantung kepada lapangnya jiwa kita menerimanya dan bagaimana ketajaman minda kita mengolah segalanya. Itu semua akan tergantung pada hati kita.”

“Jadi, saat kamu rasakan kepahitan dan kegagalan dalam hidup, hanya ada satu hal yang boleh kamu lakukan. Lapangkanlah dada kamu menerima semuanya. Luaskanlah hatimu untuk menampung setiap kepahitan itu. Luaskan medan pergaulanmu supaya kamu mempunyai pengalaman hidup yang luas. Kamu akan banyak belajar daripadanya,” kata si bapa.

Si bapa menyambung kata: “Hatimu adalah jiwa itu. Perasaanmu adalah minda itu. Kalbumu tempat kamu menampung segalanya. Jadi, jangan jadikan hatimu itu seperti gelas, buatlah laksana telaga yang mampu merendam setiap kepahitan dan merubahnya menjadi kesegaran dan kebahagiaan.”







Friday, June 12, 2015

"Saya Cinta Awak" - Awak Tahu Tak?



Malam Sabtu ni nampaknya rumah aku dipenuhi sedara mara lagi.... meriahnya rasa..... best je bila riuh rendah sampai pagi..... berbaloi tak tidur berborak dengan sedara mara ni..... adakala serius..... adakala ketawa bagai nak giler..... adakala membuat aku berangan-angan jauh dengan dorongan mereka.

Seorang sedara perempuan ku menarik tangan ku ke satu sudut jauh dan mula meluahkan luka hatinya yang terpendam..... Hmmmmm

Dipendekkan cerita aku berjaya menenangkannya dan memberikannya semangat, pedoman dan dorongan supaya hidupnya lebih ceria dan lebih matang dalam menilai sebelum membuat keputusan ketika meniti liku-liku kehidupan..... bercinta khususnya.

Perempuan sangat mudah percaya dengan apa yang dia dengar dan lihat..... 

Perempuan mudah menerima kata-kata seorang lelaki tanpa berfikir panjang..... without a second thought.. and at last.... perempuan jugak yang merasa sakitnya.....

Akan menjadi perkara normal bagi seorang lelaki berkata begini..

Awaklah yang pertama yang dapat buat saya bahagia.dalam ramai-ramai perempuan..... awaklah yang paling special..... dalam ramai-ramai perempuan..... awaklah yang terbaik and saya tak mungkin dapat cari pengganti awak lagi..... even kita berpisah..... saya janji tak akan lupakan awak..... saya tak pernah dengan mana-mana perempuan seperti mana saya dengan awak.....

oppsss.....

wahai perempuan..... jangan cepat perasan and melting dengan ayat klise sebegini.....

I tell u what..... sebelum kata-kata ni di copy and di paste kan kat telinga korang..... lelaki awal-awal lagi dah copy and paste kan kat exs exss exssssssss dia......maybe sebijik-sebijik or paling tidak pon lebih kurang.....

tak dinafikan..... pastinya dalam hati lelaki akan ada seseorang yang betul-betul bertakhta kat hati dia..... tapi korang sebagai perempuan jangan cepat melatah and terperasan.

Too sad bila ada antara perempuan yang mudah percaya dan sanggup buat apa saja hanya kerana lidah sang lelaki..... and bila ada orang nasihat sikit..... mula lah keluar perkataan seperti:

"Dahlah tu..... aku percaya dia lah..... dia dah cakap dia hanya sayang kat aku sorang je".

"Dia dah cakap aku perempuan yang paling dicintainya and dia dah janji tak kan lupakan aku".....

Maka..... jadilah satu episod perjalanan sebuah cinta yang penuh PERASAN dimana korang merasakan korang dah berjaya menjadi orang yang paling best dalam hidupnya padahal tak pun..... and bila orang tu tak hargai korang seperti mana konon-konon koranglah yang paling best tu..... mula lah korang jadik ahli falsafah secara tidak langsung dengan mengeluarkan perkataan yang sedih-sedih dan ayat-ayat sajak yang maha kesian..... mula lah terjadik gejala seperti mengupdate status sedih-sedih kat facebook kat blog kat situ kat sini kat sana kat sinun.

( Ermm salah satu kesan sampingan )

Tak salahkan lelaki coz kalau tak cakap camtu..... nak cakap camne lagi kan??but sebagai perempuan..... beringat-ingatlah..... cintailah seseorang itu secara biasa-biasa je and cool-cool je.....

Jangan terbang terlalu tinggi coz bila jatuh..... sakit sangat oooo..... no kidding.

Tumpang kata Pak Abdul Khatab kat anak perempuan dia "Jangan dilayan sangat" hehehe (Jangan mare ye anak Pak Abdul Khatab)








Pesanan ikhlas dari : Hisyam Abdul Majid




Apa Perempuan Akan Kata?


Kalau lelaki handsome pendiam
Perempuan akan kata:: "Woow, cool giler..."
Kalau lelaki tak handsome pendiam
Perempuan akan kata: "Eeleh perasan bagus..."

Kalau lelaki handsome berbuat jahat
Perempuan akan kata: "Nobody's perfect"
Kalau lelaki tak handsome berbuat jahat
perempuan akan kata: "Memang.... muka pun macam pecah rumah!"

Kalau lelaki handsome menolong perempuan yg diganggu
perempuan akan kata: "Wah.. machonya.. macam hero filem!"
Kalau lelaki tak handsome menolong perempuan yang diganggu
Perempuan akan kata: "Entah-entah kawan dia..."

Kalau lelaki handsome dapat perempuan cantik
perempuan akan kata: "Sepadan sangat..."
Kalau lelaki tak handsome dapat perempuan cantik
perempuan akan kata: "Mesti kena bomoh perempuan tuh!"

Kalau lelaki handsome ditinggal kekasih
perempuan akan kata: "Jangan sedih, kan saya ada..."
Kalau lelaki tak handsome ditinggal kekasih
perempuan akan kata:..."Tenguk orangnya pun dah dapat agak dah lambat laung akan ditinggalkan juga"

Kalau lelaki handsome penyayang binatang
perempuan akan kata: "Perasaannya halus...penuh kasih sayang"
Kalau lelaki tak handsome penyayang binatang
perempuan akan kata: "Ermhh sesama keluarga memang harus menyayangi..."

Kalau lelaki handsome bawa BMW
perempuan akan kata: "Matching... hebat luar dalam"
Kalau lelaki tak handsome bawa BMW
perempuan akan kata: "Bang, bosnya mana...?"

Kalau lelaki handsome tak mau bergambar
perempuan akan cakap: "Pasti takut kalau-kalau gambarnya tersebar"
Kalau lelaki tak handsome tak mau bergambar
perempuan akan kata: "Tentu dia sendiri pun tak sanggup melihat hasilnya"

Kalau lelaki handsome menuang air ke gelas perempuan
perempuan akan kata: "Ini barulah lelaki gentlemen"
Kalau lelaki tak handsome menuang air ke gelas perempuan
perempuan akan kata: "Dah naluri pembantu, memang begitu...."

Kalau lelaki handsome bersedih hati
perempuan akan kata: "Let me be your shoulder to cry on"
Kalau lelaki tak handsome bersedih hati
perempuan akan kata: "Kuat nangis!! lelaki ke bukan ni?"



Kenali dan nilai diri sendiri dahulu sebelum menilai orang lain. 
Apa pun, terimalah dengan redha dan hati terbuka terhadap kekurangan yang ada pada pasangan kita.