Monday, February 17, 2014

Kisah Benar - Don't Judge A Book By Its Cover

Satu hari di satu ketika dulu-dulu, kelihatan seorang wanita yang agak berusia bersama suaminya yang datang dari sebuah kawasan terpencil Boston melangkah masuk ke ruang pejabat Universiti Harvard sebuah universiti yang terkemuka. Mereka berpakaian serba lusuh dan usang, tidak sebagaimana kebiasaan tetamu atau ibubapa penuntut yang datang ke situ dengan pakaian serba jenama dan mahal. Itu membuat kakitangan di pejabat universiti itu hairan akan tujuan kedatangan mereka. "Kami mahu berjumpa Tuan Presiden" kata si suami dengan lembut pada setiausaha presiden. 

Melihatkan keadaan serta penampilan pasangan yang seperti itu, membuatkan fikiran setiausaha presiden melayang-layang berfikir, belum ada penuntut yang layak dari Boston untuk melanjutkan pengajian mereka ke universiti ini, lebih-lebih lagi dengan keadaan pasangan ini yang kelihatan serba kekurangan, masakan mereka mampu untuk membiaya anak mereka ke universiti yang serba mahal ini. Lebih-lebih lagi pasangan itu tidak pernah membuat sebarang temujanji, lalu setiausaha presiden menjawab "Presiden sibuk sepanjang hari".

"Kami akan tunggu sehingga kesibukannya selesai" balas si isteri dengan penuh sopan dan senyuman. Setiausaha kepada Presiden Universiti Harvard itu mengabaikan sahaja pasangan itu begitu sahaja dengan harapan setelah beberapa jam menunggu nanti tentu pasangan itu akan kecewa dan berputus asa dan akan meninggalkan pejabat itu begitu sahaja. Namun sangkaannya meleset apabila pasangan itu tetap tabah menunggu setiap jam-jam yang berlalu. Kecewa dengan kedegilan pasangan itu lalu setiausaha presiden itu mengambil keputusan memaklumkan kepada presiden akan kehadiran mereka.

".....mungkin jika mereka dapat bertemu dengan tuan sekejap maka mereka akan segera beredar" kedengaran suara setiausaha itu berkata kepada presiden. Presiden mengeluh memikirkannya, sedangkan urusan yang berkaitan kepentingan dirinya sendiri pun selalunya dia tidak dapat layan, inikan pula pasangan ini yang jelas tidak pernah membuat sebarang temujanji, dan dia sendiri tidak gemar mereka-mereka yang tiada taraf menganggu urusannya dan berkeliaran di pejabatnya.

Dengan wajah yang tegas dan serius Presiden memandang pasangan itu di luar biliknya, Si isteri berkata dengan lembut "Kami mempunyai seorang anak lelaki yang menuntut di Universiti Harvard ini selama setahun dulu, Dia sangat menyukai Harvard dan amat bergembira menuntut di sini, malangnya dia terbunuh dalam satu kemalangan setahun yang lalu. Oleh itu kami ingin membina sesuatu sebagai memperingati anak kami di kawasan yang kosong di universiti ini". 

Tanpa ada rasa apa-apa simpati presiden bersuara dengan nada tinggi dan keras "Puan. kami tidak boleh membina sebarang patung atau tugu peringatan untuk setiap orang yang mati ketika menuntut di sini. Jika itu dilakukan Harvard ini akan kelihatan seperti kawasan tanah perkuburan"

"Bukan begitu" cepat si isteri menerangkan kepada Presiden Universiti Harvard, "Kami bukan hendak membina patung atau tugu sebegitu, kami hendak memberikan sebuah bangunan yang terdiri daripada kelas-kelas pengajian kepada Universiti Harvard"

"Apa! sebuah bangunan?" terbeliak mata presiden kemudian dia gaya menjeling, melihat penampilan pasangan itu dari atas ke bawah kemudian ke atas kembali "Adakah awak berdua gila, tahukah awak berapa nilai keseluruhan universiti ini? Ianya mencecah tujuh setengah juta dollar"

Pasangan itu terdiam sejenak. Itu membuat Presiden Universiti Harvard gembira kerana pada fikirannya pasangan itu terdiam kerana terkejut dan setentunya mereka akan segera beredar meninggalkannya. Tiba-tiba si isteri berpaling kepada suaminya lalu berkata dengan nada perlahan "Adakah itu sahaja kos bagi memulakan sebuah universiti? Mengapa tidak kita buat saja sebuah universiti kita sendiri?" Dan si suami mengangguk kepalanya lalu pasangan itu saling tersenyum.

Wajah presiden layu penuh kebingungan dan kekeliruan melihat Encik dan Puan Leland Stanford bangun dan berjalan keluar meninggalkannya dan Universiti Harvard. 

Pasangan itu meneruskan perjalanan mereka ke Palo Alto, California di mana mereka menubuhkan sebuah universiti atas nama keluarga mereka. 'Stanford Universty' peringatan keatas seorang anak lelaki yang mana universiti Harvard tempat dia menuntut tidak simpati ke atas nasib yang menimpanya.

Stanford Universty 1906


"Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita-wanita lain, (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita-wanita (yang mengolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri(*1) dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman(*2) dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim"
Surah Al-Hujuraat ayat 11

(*1) mencela sesama mukmin kerana orang-orang mukmin itu seperti satu badan
(*2) panggilan yang buruk. panggilan yang tidak disukai oleh orang-orang yang digelar.

Dari catatan Hisyam Abd Majid


No comments:

Post a Comment