Sunday, February 9, 2014

Senyuman Anda Banyak Khasiatnya

1.  Senyum Membuat Anda Lebih Menarik

Orang yang banyak senyum ni akan memiliki daya penarik sebab bila anda senyum, anda akan membuat perasaan orang lain disekitar anda berasa selesa dan mesra... Anda akan kelihatan lebih menarik dan mudah didekati. Selalunya orang yang kaya dengan senyuman akan memiliki ramai teman.... bagaimana dengan anda? cuba kira berapa ramai teman anda?

2.  Senyum Mampu Mengubah Perasaan Anda

Jika anda dilanda kesedihan, cuba-cubalah bawa tersenyum. Senyuman akan membuat perasaan anda menjadi lebih baik. Menurut kajian, senyuman mampu mempengaruhi minda anda sehingga perasaan anda mengubah rasa sedih anda kepada rasa yang lebih melegakan. 

3.  Senyuman Boleh Membentuk Suasana Semasa

Ketika anda tersenyum, ia akan membuat suasana menjadi riang. Kebiasaannya orang disekitar anda juga akan turut tersenyum dan suasana berubah kepada lebih ceria dan mengembirakan. seperti kata-kata lirik sebuah lagu "Kalau kita tersenyum, semua orang berjangkit. Bila semua orang tersenyum, dunia tiada penyakit"

4.  Senyum Mampu Mengubati Tekanan/Stress

Rutin harian dan bebanan kehidupan masa kini sering membuat kita rasa tertekan (stress). Kebiasaannya juga apabila anda tertekan dengan bebanan hidup seharian, ianya akan mempengaruhi wajahnya kelihatan masam terkuncam, kelihatan bosan, kelihatan bengis dan panas baran. Namun dengan menarik nafas dalam-dalam dan lepaskan, diulang dua tiga kali sebelum mula mengukir senyuman, akan merangsang fikiran untuk tenang. 

5.  Senyum Boleh Meningkatkan Imunisasi

Ketika anda senyum dalam ertikata sebenarnya, bukannya senyum pura-pura, sistem tubuh kita akan lebih produktif. Fungsi imun tubuh anda dapat berfungsi secara maksima dikala anda tenang dan relaks. Ada sesetengah kajian berpendapat bahawa bagi anda yang serasi, dengan selalu tersenyum boleh menghilangkan batuk dan selsema dengan lebih segera setelah memakan ubat.

6.  Senyum Boleh Menurunkan Tekanan Darah Tinggi

Selalunya apabila anda ke klinik atau hospital untuk mendapatkan bacaan tekanan darah anda, doktor atau petugas kesihatan akan meminta anda berehat sebentar sebelum diambil bacaannya. Tujuan supaya fikiran anda berasa relaks, selesa dan jangan mengelabah, kerana sikap sedemikian akan menaikkan bacaan darah tinggi anda. Kajian mendapati apabila anda relaks dengan senyuman yang sebenar, bacaan tekanan darah anda akan lebih rendah berbanding mereka yang tidak berbuat demikian sebelum bacaan tekanan darah diambil.

7.  Senyum Boleh Melalikan Rasa Sakit

Penelitian dari sudut perubatan mendapati, senyuman boleh merangsang endorphins, serotonin dan menahan rasa sakit. Ketiga-tiga ini adalah yang berfungsi melalikan dan menahan rasa sakit yang dialami.

8.  Senyum Membuat Anda Awet Muda

Untuk mengukir senyuman diwajah anda, memerlukan banyak gerakan otot pada bahagian muka anda. Ianya bagaikan satu kaedah senaman wajah sehingga otot wajah anda terlatih dan tidak perlu melakukan face lift. Ini akan mendorong wajah anda kelihatan muda dan melewatkan kedutan muka.

9.  Senyum Menampilkan Anda Kelihatan Seorang Yang Berjaya 

Orang yang mengamalkan mudah tersenyum akan dilihat sebagai seorang yang lebih boleh dipercayai, mudah diingati, dan lebih mesra didampingi. Dengan senyuman juga anda akan lebih terasa ujudnya keyakinan diri, tenang menjawab soalan-soalan yang diajukan. Senyuman yang meransang fikiran menjadi tenang akan mendorong fikiran anda berfikir dengan lebih tepat dan bernas.

10. Senyum Membuat Anda Berfikir Secara Positif

Cuba anda lakukan... Mengenangkan hal-hal yang pahit dalam hidup anda, mengenangkan hal-hal yang menyedihkan dalam hidup anda dengan mengukir senyuman dibibir, semestinya sangat sukar dilakukan, mengapa? Kerana ketika anda tersenyum tubuh anda memberikan isyarat-isyarat yang positif kepada minda anda dan menolak sebarang elemen negatif. Oleh itu apabila anda tersenyum fikiran anda akan menuntut apa sahaja yang positif dalam hidup anda.

Gunakan Senyuman Anda 
Untuk Mengubah Dunia.
Jangan Biarkan Dunia
Mengubah Senyuman Anda.


No comments:

Post a Comment