Saturday, February 8, 2014

Emas Tak Semestinya Berkilat

Seekor rusa sedang menikmati kesegaran air di sebuah tasik di pinggir hutan. Sang rusa melihat pantulan rupa tanduk di kepalanya pada air tasek tersebut lalu sang rusa berasa bangga dengan kehebatan tanduknya yang bercabang-cabang kerana tiada binatang lain yang ada tanduk yang cantik sepertinya.


Kemudian sang rusa melihat pula pantulan rupa kakinya pada air tasek, lalu sang rusa berasa malu kerana kaki-kakinya kedi, kurus dan kelihatan tak sepadan dengan tubuhnya yang sasa berisi manakala tanduknya yang bercabang dan bergaya.

Sedang sang rusa mengelamun antara rasa bangga dengan tanduknya  dan rasa malu dengan bentuk kaki-kakinya, tiba-tiba terdengar salakan anjing-anjing pemburu bagaikan semakin hampir kearahnya.

Maka sang rusa pun lari menyelamatkan diri, dengan pantas dan sepenuh kekuatan kaki-kakinya yang kedi dan kurus itu jauh menghilangkan diri dari anjing-anjing pemburu tersebut. Sang rusa berasa lega dan insaf betapa kakinya yang buruk itulah sahabat yang sebenar kerana telah menyelamatkan dirinya dari menjadi mangsa pemburu.

Seketika sang rusa melepaskan penatnya, tanpa semena-mena kedengaran semula salakan dari anjing-anjing pemburu itu lagi. Lalu sebaik sang rusa berpaling lari kearah hutan, tiba-tiba tanduknya yang cantik bercabang-cabang itu tersangkut pada sebatang dahan pokok yang rendang. Sang rusa berhempas pulas mahu melepaskan tanduknya yang tersangkut, tetapi malang, tanduknya yang banyak cabang itu makin tersangkut pada dahan tersebut. 

Sang rusa tidak dapat melepaskan diri. Pada ketika anjing-anjing pemburu sudah semakin hampir padanya, barulah sang rusa sedar bahawa tanduk kebangaannya itulah musuh dirinya yang sebenar. Tiba-tiba sang rusa terasa sebutir peluru menembusi perutnya dan pandangannya semakin pudar lalu gelap.

Not All That Glitters Is Gold

Kata Saidina Ali R.A.
Cantik Tidak Semestinya Baik,
Tapi Baik Semestinya Cantik.

No comments:

Post a Comment