Sunday, January 26, 2014

Aku Tetap Sayang Ibu - Walaupun Ibu Tipu


Inilah luahan hatiku yang kekal terpendam tentang 8 pembohongan ibuku terhadapku selama ini dalam hidupku........

1.  Makanlah, Ibu Tak Lapar.

Cerita bermula ketika aku masih kecil. Hidup keluarga kami serba kekurangan dan semasa makan ibu sering memberikan bahagian nasinya kepada ku. Sambil memindahkan nasinya ke dalam pinggan ku, ibu berkata... "Makanlah nak, ibu tak lapar".

2.  Makanlah, Ibu Tak Suka Makan Ikan.

Ketika itu aku masih kanak-kanak, ibu sering meluangkan waktu lapangnya pergi memancing di sungai berhampiran rumahku. Selalunya ibu berhasil mendapat ikan untuk dijadikan lauk kami sekeluarga. Seperti biasa ikan-ikan tersebut, ibu akan masakkan gulai lemak cili api, yang merupakan kegemaranku. Sewaktu makan ibu akan duduk disampingku, dan hanya memakan sisa-sisa isi ikan pada tulang ikan yang aku makan. Bila aku menghulurkan ikan kepada ibu ku, ibu berkata... "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan".

3.  Pergilah Tidur, Ibu Belum Ngantuk.

Pada usia awal remajaku, semasa aku masih bersekolah menengah, ibu akan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-kuih ke kedai untuk dijual bagi menyara persekolahanku. Suatu dinihari, lebih kurang 3.30 pagi, aku terjaga dari tidur dan melihat ibu sedang membuat kuih bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Aku lihat beberapa kali ibu tersengguk-sengguk mengantuk, aku pun berkata "Ibu, tidurlah, esok pagi kan ibu kena pergi kebun pula". Ibu tersenyum sambil berkata.... "Pergilah tidur nak, ibu belum ngantuk lagi".

4.  Minumlah, Ibu Tak Haus.

Di hujung penggal persekolahan, ibu tidak ke kebun supaya dapat menemani aku pergi ke sekolah menduduki peperiksaan SPM. Ibu sabar menunggu di luar dewan peperiksaan. Mulutnya tak henti-henti berkumat kamit mendoakan agar anaknya akan lulus cemerlang. Sebaik selesai peperiksaan, ibu segera mendapatkan aku dan menghulurkan air sirap sejuk yang diisi dalam botol air mineral beserta kole plastik. Melihatkan muka ibu dibasahi peluh, aku segera menuangkan air sirap ke dalam kole dan menjemput ibu minum. Ibu menolak sambil berkata.... "Minumlah nak, ibu tak haus".

5.  Ibu Tak Perlu Cinta Dan Lelaki

Setelah ayah meninggal dunia, ibulah yang mengambil alih tugas ayah sebagai ketua keluarga dan menyara keluarga. Melihatkan kehidupan kami yang semakin susah, seorang pakcik yang baik hati dengan ikhlas selalu ingin menawarkan bantuan namun seringkali itulah ibu menolaknya. Jiran-jiran juga sering menasihati ibu supaya bernikah lagi agar ada seorang suami yang menjaga dan mencari rezeki untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu tidak mengendahkan nasihat mereka dan berkata... "Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan lelaki".

6.  Takpelah, Ibu Tak Biasa

Setelah tamat pengajian di universiti, aku telah diterima di sebuah syarikat ternama di Kuala Lumpur, dan penginapan mewah ku turut dibiaya oleh syarikat tersebut. Dengan gaji yang lumayan aku berhajat untuk membawa ibu tinggal bersamaku menikmati penghujung hidupnya di ibukota. Tetapi ibu tetap menolak, dan aku tahu ibu bersikap demikian kerana tidak mahu menyusahkan hidupku dengan berkata.... "Takpelah, ibu tak biasa tinggal di bandar besar".

7.  Jangan Susah-Susah, Ibu Ada Duit

Setelah aku bekerja, aku menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah, setiap bulan aku kirim wang buat ibu, tetapi apabila aku pulang ke kampung, wang yang selama ini aku kirim, ibu kumpul dan memberikan semula wang itu kepada ku sambil berkata... "Jangan susah-susah, ibu ada duit".

8.  Jangan Nangis, Ibu Tak Sakit.

Beberapa tahun yang lalu, ibu semakin tua. Suatu malam aku menerima berita bahawa ibu diserang kanser. Ibu perlu dibedah segera. Aku yang berada jauh di Kuala Lumpur segera pulang menjenguk ibu tercinta. Aku melihat ibu yang terbaring lemah menunggu dibawa ke bilik pembedahan. Ibu yang kelihatan tua masih mampu menatap wajahku dengan penuh kerinduan bersama sebuah senyuman. Aku dapat melihat betapa siksanya ibu menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.... Aku menatap wajah ibu sambil bergelinangan airmata. Namun ibu tetap tersenyum dan berkata... "Janganlah menangis nak, ibu tak sakit".

Selepas pengucapan pembohongan kelapan itu..... ibuku pergi menghadap ILAHI.



Hilang Boyfriend Atau Girlfriend
Boleh Je Cari Penggantinya Di Mana-Mana
Namun Bila Hilang Ibu Dan Bapa
Tidak Akan Ada Ganti Selama-Lamanya




Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang mafhumnya,
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW, lalu bertanya "Siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?"
Baginda menjawab "Ibumu"
Lelaki itu kembali bertanya "Kemudian siapa?"
Nabi SAW. menjawab "Ibumu"
Lelaki itu terus bertanya "Kemudian siapa?"
Nabi SAW. menjawab lagi "Ibumu"
Sekali lagi lelaki itu bertanya "Kemudian siapa lagi?"
Nabi SAW. menjawab pula "Ayahmu"
Begitulah kedudukan seorang ibu pada pandangan Rasulullah SAW. Betapa mulianya seorang ibu hinggakan Nabi Muhammad SAW. meletakkannya sebagai yang ketiga yang perlu dihormati selepas ALLAH SWT. dan Baginda.

Al-Hakim juga meriwayatkan hadis Baginda Rasulullah SAW. yang bermaksud "Semua dosa akan ditangguhkan ALLAH SWT. yakni balasan menurut kehendakNya, sehingga hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibubapa. Maka sesungguhnya ALLAH SWT, menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati"

No comments:

Post a Comment