Sunday, January 5, 2014

Talkin (Terjemahannya)



Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Maha suci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekelian yang bernyawa. 

Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa. 

Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebagai sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.

Ingatlah, bahawa sekelian makhluk Allah akan jahanam dan binasa, melainkan Zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Mahabesar kuasa menghukum, manakala kita sekelian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.

Wahai (nama simati) bin (nama ibu simati)
Wahai (nama simati) bin (nama ibu simati)
Wahai (nama simati) bin (nama ibu simati)

Hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini.

Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri akhirat.

Kamu telah mengaku bahawa tiada tuhan yang disembah sebenar-benarnya melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

Ingatlah wahai (nama simati) bin (nama ibu simati)

Apabila datang kepada kamu dua orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah kamu berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau, janganlah kamu bersusah hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai (nama simati) bin (nama ibu simati) 

Bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah, sebagaimana kamu juga hamba Allah.

Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu.

Mereka berkata,

Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
dan Apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu jawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul.

Janganlah berasa gentar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.

Hendaklah kamu jawab begini,

Allah Taala Tuhanku.
Muhammad Nabiku.
Islam agamaku.
Kitab suci Al-Quran ikutanku.
Baitullah itu kiblatku.
Malahan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji diwajibkan ke atasku.
Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudaraku.
Bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap "La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah"

Wahai (nama simati) bin (nama ibu simati) 

Tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar.

Ingatlah bahawa kamu sedang tinggal di dalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semua untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai (nama simati) bin (nama ibu simati) 

Bahawasanya mati ini adalah benar.
Soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar.
Bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar.
Berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar.
Dihisap dan dikira segala amalan kamu adalah benar.
Minum di kolam air Nabi adalah benar.
Ada syurga dan neraka adalah benar.

Bahawasanya Hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang Mahaberkuasa akan membangkitkan semua orang-orang yang di dalam kubur.

Diakhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu di sisi Allah Taala.

Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu.
Tuhan jua yang menetapkan hati kamu.

Kami sekelian berdoa mudah-mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini.

Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad Salallah Alai Wasalam.

Subhana Rabbika Rabbil I'zati Amma Ya Sifun Wassallamu Alalmursalim Walham Dulillahi Rabbil Alamin.


Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan

Seluruh tubuh akan menggigil
Terkujur badan dan kedinginan

Tak ada lagi guna harta
Kawan karib sanak saudara

Jikalau ada amal di dunia
Itulah hanya pembela kita

Janganlah mahu disanjung-sanjung
Engkau di gelar manusia agung

Sedarlah diri tahu di untung
Sebelum masa kerenda diusung

Datang masanya insaflah diri
Selimut putih pembalut badan

Tinggal semua yang dikasihi
Berbaktilah hidup sepanjang zaman


No comments:

Post a Comment