Friday, January 24, 2014

Hadiah Dari Ayah

Sehari sebelum saya berangkat ke Kuala Lumpur, ayah memanggil saya ke bilik pejabat peribadinya, saya agak hairan ketika itu apatah lagi apabila ayah menyuruh masuk ke bilik pejabat peribadinya, kerana saya jarang sangat dibenarkan masuk ke bilik tersebut lebih-lebih lagi ketika ayah sibuk dengan kerja-kerjanya.

"Ambil bungkusan ini dan buka hanya apabila kamu rasa benar-benar buntu untuk menyelesaikan masalah kamu" kata ayah sambil menyerahkan sebuah bungkusan yang sederhana besar. Esoknya ayah menghantar saya ke stesyen bas dengan wajahnya senyum tenang.

Satu hari setelah tiga bulan saya berada di kotaraya Kuala Lumpur, saya ditimpa masalah yang melemaskan saya, saya buntu dan rasa berputus asa untuk menghadapinya. Tiba-tiba saya teringat akan bungkusan yang ayah berikan dulu, lalu saya kira inilah masanya untuk saya membukanya dan mengetahui apakah rahsia yang tersirat di sebalik bungkusan itu.

Ternyata di dalamnya terkandung sehelai sejadah, sehelai baju melayu, sehelai kain pelikat, sebuah songkok, sebuah kompas penunjuk arah kiblat, dan sekeping nota yang berbunyi,

"Tiada namanya lautan jika tidak bergelora,
tidaklah namanya bumi jika tidak ditimpa hujan,
bukanlah namanya kehidupan jika tiada masalah melanda"

"Sebagaimana warna menyempurnakan lukisan,
begitulah masalah sebagai penyempurnaan kehidupan"

"Bersyukurlah, sekurang-kurangnya kamu masih hidup dan ALLAH masih mengambil berat terhadap kamu,
maka itulah dianugerahkan olehNya masalah,
buat kamu menajamkan lagi akalmu"

"Tenang dan rapatkan kedua tangan menadah doa
mohon petunjuk ALLAH swt. 
Kerana sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar 
dan Maha Mengetahui, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang"

Daripada, Ayahanda.

Sejak dari hari itu saya selalu mengucapkan syukur setiap kali saya dilanda masalah kerana saya tahu Allah Masih mengambil berat akan diri saya.

"Nikmat itu adalah satu Ujian
maka Ujian pula adalah satu Nikmat"

Kita sering mengeluh setiap kali ditimpa masalah. Malah seringkali menyalahkan Tuhan kerana ditimpa masalah, tanpa kita sedar bahawa masalah itu bukan sahaja menyedarkan kita dari leka, tetapi hikmah di sebaliknya adalah untuk menajamkan lagi akal fikiran kita.




No comments:

Post a Comment