Sunday, January 12, 2014

Kelahiran Nabi Muhammad SAW 1

Mekah, di penghujung Februari 571 M. Hari itu tepat 50 hari sebelum Nabi Muhammad SAW lahir, ketika 6 ribu tentera beramai-ramai mara ke Mekah untuk menghancurkan Ka'abah. Pasukan itu dipimpin Abrahah bin Ash-Shab-Bah Al-Habasyi, penguasa di bawah kekuasaan An-Najasyi di negeri Yaman.

Abrahah sangat bersemangat untuk menghancurkan Ka'abah. Mengapa? Kerana dia tercabar dengan kehadiran ramai orang ke Ka'abah. Seprti di ketahui ketika itu 'Abdul Muthallib menjadi pemimpin Mekah, Dia sangai mencintai Ka'bah seperti yang diperintah oleh nenek moyangnya, Nabi Ibrahim. Dia berusaha sekuat tenaganya menjaga dan melindungi Ka'abah. Orang-orang pun beramai-ramai mendatangi Ka'bah sebagai tempat ibadah meskipun tidak lagi sama dengan ajaran Nabi Ibrahim. Kerana mereka menyembah berhala di sekitar Ka'abah.

Ini tidak disukai Abrahah, Dia sangat marah. Abrahah berada di barisan hadapan sebagai orang yang membenci Ka'abah. Untuk mengalihkan perhatian orang, dia membangunkan sebuah gereja berlapis emas, di bandar Shan'a' untuk menandingi Ka'bah, namun hanya sedikit sahaja orang yang datang.

Abrahah semakin marah. Dia bertambah geram ketika mengetahui pada suatu malam, seseorang Bani Kinanah berjaya menyelinap ke gerejanya. Orang itu memasuki dengan cara mengendap-ngendap, lalu melumurkan kotoran ke pusat kiblat gereja tersebut. Amarah Abrahah tidak tertahankan lagi. Dia pun berniat menghancurkan Ka'abah dengan pasukan gajahnya.

Abrahah segera memerintahkan panglimanya untuk menyiapkan 6 ribu tentera dan antara 13 ekor gajah (gajah di zaman itu sangatlah besar sasa tubuhnya) untuk menyerang Ka'abah. Persiapan perang pun dilakukan. Semua kelengkapan perang dikeluarkan dan dibawa untuk menghancurkan Ka'abah. Setelah bersiap, pasukan Abrahah pun berangkat menuju Mekah.

Abrahah berada paling depan, memimpin pasukan dengan penuh kesombongan. Dia mengendarai gajah yang paling besar bernama Mahmud. Tubuh gajah yang besar membuat bumi seolah tergoncang ketika kaki haiwan-haiwan tersebut serentak menghentak tanah.

Abrahah menghiasi pasukan gajahnya dengan kain-kain. Dia amat yakin dengan kekuatannya. Ka'abah akan dihancurkan oleh pasukan gajah yang dimilikinya. Rombongan pasukan gajah terus mendekati Mekah. Mereka yakin dapat menghancurkan Ka'abah sehingga hancur.

Sebelum tiba di Mekah, pasukan Abrahah merampas harta benda milik penduduk Mekah diluar Mekah. Di antaranya 200 ekor unta milik 'Abdul Muthallib. Ketika hampir tiba di Mekah dia meminta bertemu dengan pemimpin Mekah yang tidak lain adalah 'Abdul Muthallib.

Pertemuan pun berlangsung. "Aku hanya datang untuk menghancurkan Ka'bah, jangan halangi aku supaya tidak terjadi pertumpahan darah" sombong Abrahah,"

"Apa yang engkau inginkan?" lanjut Abrahah kepada Abdul Muthallib.

"Tenteramu merompak 200 ekor unta milikku. Aku mahu unta-unta itu dikembalikan" jawab 'Abdul Muthallib.

"Aku kira engkau memintaku supaya tidak menghancurkan Ka'abah, tetapi ternyata engkau hanya mementingkan unta-untamu." terkejut Abrahah.

Abrahah seperti mendapat kesempatan mengejek 'Abdul Muthallib, "Sekarang baru aku tahu aku telah salah menilaimu sebagai pemimpin Mekah, kerana selama ini aku menilaimu telalu tinggi"

"Aku adalah pemilik unta-unta itu. Kerananya aku berkewajipan melindungnya, sedangkan Ka'abah adalah milik ALLAH, Dialah yang akan menjaganya." Jawab 'Abdul Muthallib.

Abrahah amat geram mendengarnya "Dia tidak akan boleh melindunginya dari aku." teriak Abrahah.
"Kita lihat saja." Jawab 'Abdul Muthallib. Abrahah kemudian mengembalikan unta-unta milik 'Abdul Muthallib. 'Abdul Muthallib mengarahkan penduduk Mekah berpindah ke lereng-lereng gunung dan bukit untuk melihat apa yang akan terjadi.

Berita kedatangan pasukan gajah sampai ke penduduk Mekah. Keadaan bandar menakutkan. Orang-orang Quraisy melarikan diri ke bukit dan gunung menghindari ancaman yang datang. Seketika itu juga suasana Mekah hening. Mekah seperti bandar mati yang tiada berpenghuni.

Pasukan gajah makin menghampiri Mekah. Setibanya mereka di Wadi Muhasir, wilayah yang berada di antara Muzdalifah dan Mina, terjadilah satu peristiwa aneh. Kesemua 13 gajah itu tiba-tiba berhenti, tidak mahu berjalan lagi. Gajah-gajah itu kemudian duduk di atas padang pasir yang tandus. Sekali -sekali dikibas-kibaskan belalai untuk mengusir debu yang diterbangkan angin.

Gajah-gajah itu tidak mahu berjalan menuju ke arah Ka'abah. Tetapi jika diperintahkan mengarah ke arah lain selain Ka'abah pantas sahaja gajah-gajah itu bangun dan berlari. Namun jika diarahkan menuju ke Ka'abah gajah-gajah itu akan duduk dan tidak mahu berjalan. Abrahah dan bala tenteranya hairan. Mereka bingung, tidak tahu apa yang terjadi dengan gajah-gajah itu.

Di tengah kecamukan mereka, tiba-tiba datang burung-burung yang berterbangan di atas pasukan gajah. Jumlahnya cukup banyak. Abrahah dan bala tenteranya terkejut. Mereka melihat ke atas langit.

Burung-burung itu berbentuk laksana besi berpengait (khathathif), lekukan tubuhnya seperti kacang adas (balsan). Suara degungan terdengar kencang, sehingga membuat pasukan Abrahah menutup telinga mereka dengan tangan.

Saat pasukan Abrahah masih terkejut, tanpa diduga burung-burung itu memuntahkan batu-batuan yang terbakar. Abrahah dan pasukannya bertambah terkejut lalu berlarian lintang pukang tidak tentu arah untuk menyelamatkan diri.

Setiap burung melempar tiga biji batu berapi, satu dengan paruh, dua biji batu lagi dengan kedua kaki. Bila batu itu mengenai seseorang, tubuh orang itu akan berlubang-lubang seperti daun dimakan ulat.

Tidak semua dari mereka terkena lemparan batu berapi yang sangat panas itu. Di antara pasukan Abrahah ada yang dapat melarikan diri, tetapi disebabkan mereka saling berselerakan, maka ramai dari mereka berlaga dan terjatuh lalu mati akibat dikacak-kacak oleh rakan mereka sendiri yang juga berlari menyelamatkan diri.

Abrahah juga berjaya menyelamatkan diri, namun setibanya di shan'a', dia menderita penyakit aneh, sendi-sendinya luruh satu persatu. Abrahah seperti seekor burung yang terbelah dadanya, sehingga jantungnya menyembul keluar lalu mati.

Peristiwa ini dengan pantas menyebar sehingga ke Rom, Parsi dan Habsyah. Dunia tergempar dan hampir tidak mempercayai kejadian itu. Mereka hairan dengan peristiwa yang menimpa Abrahah dan pasukannya. Mereka tidak menduga jika Abrahah seorang raja termasyhur dan mempunyai pasukan gajah yang hebat boleh tewas dan gagal menghancurkan Ka'abah.





No comments:

Post a Comment