Saturday, January 4, 2014

Amanah



Satu masa beberapa tahun yang lalu, seorang imam muda baru ditugaskan menjadi imam di sebuah masjid di kota London, England. Setiap hari imam ini berulang alik ke masjid berkenaan dengan menaiki bas yang kebiasaannya dipandu oleh seorang pemandu yang sama.

Satu hari imam ini terlupa untuk menyediakan wang pecah untuk membayar tambang sebelum menaiki bas, maka setelah membayar sejumlah wang lalu imam tersebut terus duduk dibangku bas yang kosong. Setelah melalui beberapa laluan akhirnya pemandu bas berkenaan memulangkan baki lebihan dari jumlah yang telah diberikan oleh imam tersebut semasa menaiki bas awal tadi.

Sebelum memasukkan baki lebihan kedalam sakunya, imam tersebut sempat mengira-ngira jumlahnya, dan ternyata pemandu bas telah terlebih 20sen semasa memulangkan baki lebihan. 

Imam terus berfikir untuk memulangkan kembali lebihan 20sen itu tadi kepada pemandu bas, tetapi terhalang dengan bisikan hatinya "Argh lupakan saje, tidak ada sesiapa pun yang tahu malah pemandu itu sendiri pun tidak perasan bahawa dia telah terlebih 20sen memulangkan baki lebihan kepadaku, apalah sangat 20sen ini berbanding dengan ribuan sterling pounds keuntungan setiap hari yang diperolehi oleh syarikat bas ini"

"hmmm tak apalah, tidak perlu bagiku untuk memulangkannya"

Tersentak dengan bas yang sudahpun sampai ke destinasi yang dihajati oleh imam, sebelum turun imam tersebut terdiam sejenak lalu secara spontan imam tersebut menghulurkan tangan sambil tersenyum memulangkan kembali 20sen kepada pemandu bas. "Ambillah, anda telah memberi wang lebih dari yang sepatutnya saya terima"

Dengan senyuman yang terukir di bibir, pemandu bas bertanya "Bukankah anda seorang imam yang baru bertugas di masjid di kota kami ini" Imam pun menganggukkan sedikit kepalanya dengan sopan. "Sejak beberapa hari yang lepas, saya terlalu ingin untuk pergi ke masjid anda untuk mengenal agama anda dengan lebih dekat, namun saya sengaja memberikan lebih 20sen itu tadi untuk mengetahui bagaimanakah sikap anda terlebih dahulu"

Bas pun berlalu meninggalkan imam yang masih lagi berdiri di situ. Sejak dari menuruni bas itu tadi, imam merasakan kedua-dua lututnya bagaikan kaku lumpuh, tidak mampu menahan langkah, manakala tubuh badannya bagaikan terhenyak seakan-akan mahu tumbang kerana merasakan peristiwa tadi begitu berat sekali baginya.

Dengan berpaut pada tiang terminal bas yang paling hampir padanya agar tidak jatuh, imam tadi sambil memandang ke atas langit menadah tangan lalu memohon. "Ya Allah, Aku hampir sahaja menjual agama Islam dengan hanya 20sen. Ampunkanlah segala dosaku. Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan pada Mu aku bertaubat Ya-Allah" 

The lesson:   Never underestimate the slightest mandate, because no matter how small the mandate of accountability before Allah.

No comments:

Post a Comment