Monday, January 13, 2014

Kelahiran Nabi Muhammad SAW 2

Saat Aminah binti Wahab sedang mengandungkan Muhammad, suaminya 'Abdullah diutuskan ayahnya untuk mengurus kebun kurma ayahnya 'Abdul Muthallib di Yasrib. Sebaik tiba di Yasrib 'Abdullah sakit dan meninggal dunia dalam usia yang masih sangat muda iaitu 25 tahun. Dia dikebumikan di  Dar An-Nabighah Al-Ja'di.

"Aku tidak merasa seperti sedang hamil dan tidak pula merasa lelah seperti yang biasa dialami oleh perempuan yang sedang hamil. Hanya aku hairan mengapa haidku berhenti" kata Aminah (Ibnu Jauzi)

Di hari Isnin ketika Aminah separuh sedar, seseorang datang kepadanya dan bertanya. "Apakah engkau sedang hamil?"

"Aku tidak tahu" jawab Aminah.

"Engkau sedang mengandung bayi yang kelak akan menjadi pemimpin dan Nabi bagi umat ini" kata orang itu. Hal ini membuat Aminah yakin dirinya sedang hamil.

"Apabila bayimu lahir , ucapkanlah. Aku memohon perlindungan baginya kepada Allah Yang Maha Esa dari kejahatan setiap pendengki, dan namailah dia Muhammad. Kerana sesungguhnya namanya di dalam Kitab Taurat dan Injil adalah Ahmad. Semoga dengan nama itu dia dipuji oleh seluruh penduduk langit dan bumi, sedangkan namanya di dalam Al_Quran adalah Muhammad" (Ibnu Hisyam, Ibnu Ishaq dan Baihaqi)

Aminah pernah mengatakan "Saat aku mengandung Muhammad sebuah cahaya keluar dari dalam diriku sebagaimana cahaya yang menyinari istana Basrah di Syam"

Tepat 50 hari setelah peryerbuan pasukan gajah ke Ka'abah, usia kandungan Aminah telah mencapai sembilan bulan. Detik-detik kelahiran si buah hati kian mndekat. Aminah mula merasakan ada yang bergerak-gerak cepat di dalam perutnya. Semakin lama-semakin kuat gerakannya. Aminah tidak mampu menahan sakit. Dia segera berbaring di tempat tidur. Keringatnya mengucur deras dari tubuhnya. Tangannya mencengkam selimut, menahan rasa sakit yang teramat sangat. 

Tidak lama berselang, lahirlah seorang bayi kecil dari rahim Aminah. Dialah Muhammad. Ada riwayat yang mengatakan tali pusat bayi itu telah terpotong dan kemaluannya telah dikhatan (As-Sirah An-Nabawiyyah). Namun ada juga ulama yang berpendapat bahawa Muhammad dikhatan oleh datuknya Abdul Muthallib.

Hari itu adalah hari Isnin, 12 Rabi'ul Awal bertepatan dengan 571 M, menurut penelitian ulama terkemuka, Muhammad Sulaiman Al-Manshurfuri. Seorang bayi yang akan mengubah peradaban dunia, telah lahir. Aminah berjuang sendirian melahirkan Muhammad, tanpa didampingi suami tercinta.

Beberapa tanda kenabian datang mengiringi kelahiran Muhammad "Ketika aku melahirkannya, dari rahimku keluar cahaya sebagaimana cahaya yang menerangi istana-istana Syam" ujar Aminah (Musnad Ahmad dan Sunan Ad-Darimi)

Kemudian, saat Muhammad lahir, berhala-berhala berjatuhan, istana Kisra tergoncang, dan api sembahan orang Parsi padam. Riwayat ini cukup terkenal walaupun tidak berada pada darjat shahih.

Aminah segera mengirim utusan ke Abdul Muthallib, untuk mengkhabarkan kelahiran cucunya. Teruja mendengar berita itu 'Abdul Muthallib segera melawat Aminah. Setibanya di bilik Aminah  dia menyaksikan permandangan yang menakjubkan. Tembikar tempat bayi Muhammad diletakkan tiba-tiba terbelah dua.

'Abdul Muthallib segera menimang cucunya. Dia tahu kelak Muhammad akan menjadi manusia besar menurut khabar dari Raja Yaman, Saif bin Dzi Yasn, serta Umayyah bin Abi Shalt dan orang-orang yang memahami Taurat dan Injil. Datuknya langsung menggendong cucunya itu masuk ke dalam Ka'abah, seraya berdoa dan bersyukur kepada Allah. (Ibnu Hisyam)

Aminah segera memberitahu 'Abdul Muthallib perihal dia didatangi oleh seseorang ketika sedang mengandung untuk menamakan anaknya dengan nama Muhammad. Lalu datuknya memberinya nama Muhammad ketika 'Abdul Muthallib mengadakan aqiqah dan mengundang para pembesar Quraisy. 

"Apa nama yang engkau berikan?" tanya pembesar Quraisy.

"Aku akan memberinya nama Muhammad" jawab 'Abdul Muthallib.

Mereka semua terkejut mendengar nama yang diberikan 'Abdul Muthallib, dan lalu mereka bertanya "Mengapa engkau tidak suka menamakannya dengan nama nenek moyangmu?"

"Aku ingin supaya dia dipuji oleh para penduduk bumi dan mendapat pujian di langit." jawab 'Abdul Muthallib.

Rasulullah SAW juga memiliki nama yang lain iaitu 'Ahmad'. Ertinya tidak ada seorang pun yang memuji Tuhannya melebihi pujian yang dilakukan Rasulullah SAW. Jadi setinggi mana setiap orang yang memuji ALLAH, maka Rasulullah SAW lebih tinggi lagi pujiannya. Nama inilah yang terdapat di dalam kitab Injil (Injil yang asal).

Nama Rasulullah selengkapnya adalah Muhammad bin 'Abdullah bin 'Abdul Muthallib bin Hasyim bin 'Abdul Manaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Nadhar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrihah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma'ad bin 'Adnan. 

Rujukan : SIRAH TERAGUNG MUHAMMAD SAW (versi Bahasa Melayu)



DI DALAM BANGUNAN PERPUSTAKAAN INI TERLETAKNYA ASALNYA RUMAH DAN BILIK KELAHIRAN NABI MUHAMMAD SAW.

GAMBAR LAMA KEDUDUKAN RUMAH NABI DILAHIRKAN


No comments:

Post a Comment