Friday, October 24, 2014

Apabila Hati Kita Jauh



Suatu pagi di minggu akhir semester seorang pensyarah bertanya kepada murid-muridnya, 

“Mengapa selalunya di kala seseorang yang sedang marah, dia akan bercakap dengan suara yang kuat, lantang atau berteriak?”

Kelas menjadi sunyi seketika tiba-tiba seorang penuntut mengangkat tangan dan menjawab, “Kerana dia telah hilang sabar, oleh itu dia berteriak.”

“Tapi… Orang yang dimarahinya itu hanya berada berdekatan dengannya. Mengapa perlu berteriak? Kenapa dia tidak bercakap secara lembut?” pensyarah itu bertanya kembali

Hampir semua penuntutnya memainkan peranan dengan memberikan pelbagai alasan yang dirasakan logik menurut pandangan mereka. Namun tiada satu pun jawapan yang memuaskan hati pensyarahnya.

Maka pensyarah berkata, “Ketika dua orang sedang berada dalam kemarahan, jarak antara ke dua hati mereka menjadi amat jauh walaupun secara luaran mereka begitu dekat. Oleh itu, untuk mencapai jarak yang demikian, mereka harus berteriak.

Namun anehnya, semakin lantang mereka berteriak, semakin pula mereka menjadi marah dan dengan sendirinya jarak hati yang ada di antara mereka menjadi lebih jauh lagi. Kerana itu mereka terpaksa berteriak lebih kuat dan lantang lagi.”

Pensyarah melanjutkan lagi hujahnya, “Sebaliknya, apa yang terjadi ketika dua orang saling jatuh cinta?

Mereka tidak berteriak, mereka berbicara dengan suara yang keluar dari mulut mereka dengan begitu perlahan dan kecil. Seperlahan bagaimana pun, kedua-duanya masih dapat mendengar dengan begitu jelas. 

Mengapa demikian?”  Pensyarah itu bertanya lagi sambil memerhatikan penuntut-penuntutnya.

Mereka kelihatan berfikir panjang namun tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan. 

“Kerana hati mereka begitu dekat, hati mereka tidak berjarak. Sepatah kata pun tak perlu diucapkan. Hanya dengan satu pandangan mata sahaja sudah cukup membuat mereka memahami apa yang ingin disampaikan.   

Ketika kita sedang dilanda kemarahan, janganlah hati kita mencipta jarak. 
Lebih–lebih lagi mengucapkan kata-kata yang mendatangkan jarak hati diantara kita. Mungkin di saat seperti itu, diam mungkin merupakan cara yang bijaksana. 
Kerana waktu akan membantu kita.





No comments:

Post a Comment