Thursday, October 23, 2014

Seorang Ayah



Di satu hari minggu seorang ayah melayan anak perempuannya bermain di taman hadapan rumah mereka. tiba-tiba si anak itu bertanya kepada ayahnya, 

“Ayah, tadi kawan Siti cerita, katanya ayah dia selalu membiarkan tangannya sendiri digigit nyamuk sampai nyamuk itu kenyang supaya nyamuk itu tak gigit kawan Siti. Kalau ayah adakah ayah akan buat macamtu juga untuk demi Siti?”

Si ayah tersenyum dan menjawab dengan terus terang, “Tidak. jika ayah, ayah akan mengejar dan membunuh setiap nyamuk sepanjang malam supaya tidak sempat menggigit Siti dan keluarga kita.”

Mendengar jawaban itu, si anak tersenyum dan kembali meneruskan permainannya. Tidak berapa lama kemudian, si anak kembali berpaling pada ayahnya. Lalu bertanya lagi 

“Ermm, Siti pernah dengar cerita tau, ada ayah yang rela tak makan supaya anak-anak dia dapat makan kenyang. Kalau ayah adakah ayah akan berlapar juga supaya Siti dapat makan kenyang?” Anak itu mengajukan pertanyaan yang lebih kurang sama dengan soalan yang mula-mula.

Kali ini si ayah menjawab dengan suara lebih tegas, “Hmmm, ayah pasti akan bekerja keras mencari rezeki supaya kita semua seisi keluarga boleh makan sampai kenyang. Dengan itu, Siti tidak perlu risau atau berasa sedih melihat ayah menahan lapar.”

Si anak kembali tersenyum, dan lalu memeluk ayahnya dengan penuh kasih sayang. “Mekasih ayah. Siti boleh selalu berharap pada ayah sampai bila-bila. Sayang ayah.”

Sambil mengusap-usap rambut anaknya, si ayah membalas, “Tidak nak! Siti tidak boleh selalu berharap pada ayah. Akan tetapi ayah akan sedaya upaya mendidikmu supaya Siti boleh berdiri kukuh di atas kakimu sendiri, supaya Siti nanti tidak akan tersungkur dan tabah pada ketika ayah sudah tidak ada lagi di sisimu. Ayah tidak mungkin selamanya boleh mendampingimu sayang. Kerana satu masa nanti ayah pasti akan mati juga”

Berapa ramai dikalangan ibu bapa yang sering  mengungkapkan ayat "akan rela berkorban sampai bila-bila" demi anak-anak? Tanpa sedar bahawa mereka melemahkan jatidiri anak anak mereka sendiri?
Lebih bijak jika ibubapa membentuk jatidiri anak-anak mereka sebagai persiapan dikala mereka tidak lagi ada untuk mendampingi anak-anak mereka di dunia.







No comments:

Post a Comment