Friday, October 17, 2014

Satu Hari Di Subuh Hari

Suatu hari seorang pemuda bangun awal subuh untuk mengerjakan solat Subuh berjemaah di masjid . Setelah sempurna berwudhuk dan berpakaian kemas dengan wangian atar pemuda itu berjalan menuju ke masjid . Di pertengahan perjalanannya menuju ke masjid, tiba-tiba pemuda tersebut seperti terdorong lalu tergelincir jatuh di atas becak hingga pakaiannya kotor.

Sambil mengaduh pemuda itu bangkit, menepis-nepis kotoran pada pakaiannya, dan pemuda itu kembali pulang ke rumahnya. Sesampai di rumah, dia menukar pakaiannya dengan yang baru dan kembali berwudhu, lalu meneruskan niatnya menuju ke masjid .

Dalam perjalanan kembali ke masjid , pemuda itu sekali lagi tergelincir lalu terjatuh lagi di becak yang sama. Dengan sabar pemuda itu bangkit, menepis-nepis kotoran pada pakaiannya, dan kembali semula ke rumahnya. Sebagaimana tadi, tanpa merungut dia menukar pakaiannya dengan yang baru dan kembali berwudhu, dan tetap meneruskan niatnya untuk solat Subuh berjemaah di masjid 

Kali ini pemuda itu berjalan lebih-lebih berhati-hati takut-takut tergelincir lagi di tengah perjalanannya menuju ke masjid. Tiba-tiba dia bertemu dengan seorang lelaki tua yang memegang lampu.

Si pemuda bertanyakan siapakah gerangan lelaki tua yang ditemunya itu, dan lelaki itu menjawab "Saya melihat anda jatuh dua kali tadi di perjalanan anda menuju masjid, oleh itu saya bawakan lampu untuk menerangi jalan anda"

Pantas pemuda itu mengucapkan terima kasih dan mereka berdua berjalan ke masjid .

Sesampai di masjid, si pemuda mengajak kepada lelaki tua yang membawa lampu itu untuk masuk dan sholat subuh bersamanya. Namun lelaki tua itu menolak. Sehingga berkali-kali pemuda itu mengajaknya tetapi selagi itulah juga lelaki tua itu menolaknya. 

Si pemuda bertanya, "Kenapa pakcik menolak pelawaan saya untuk masuk ke masjid dan solat berjemaah bersama saya"

Lelaki itu menjawab "Aku sebenarnya adalah iblis"

Pemuda itu terkejut dengan jawapan lelaki tua itu.

Iblis itu kemudian menjelaskan, "Aku melihat kamu berjalan ke masjid, dan akulah yang menolak kamu sehingga kamu tergelincir jatuh. Ketika kamu pulang ke rumah, membersihkan badan dan kembali ke masjid, Allah memaafkan semua dosa-dosa kamu.

Aku tidak puas hati lalu aku menolak kamu sekali lagi supaya jatuh kali kedua, tetapi itu pun aku gagal membuat kamu berubah fikiran untuk tinggal dirumah, kamu tetap juga memutuskan untuk kembali ke masjid untuk solat Subuh berjemaah. Kerana itu, Allah memaafkan dosa-dosa seluruh anggota keluargamu.

Aku bimbang jika aku membuat kamu jatuh lagi untuk kali ketiga, mungkin Allah akan memaafkan dosa-dosa seluruh penduduk kampungmu, maka itu akan menghancurkan matlamatku lalu aku harus pastikan kamu sampai di masjid dengan selamat"


Moral

Jangan melepaskan sesuatu niat baik yang hendak kamu lakukan hanya kerana halangan-halangan untuk menyempurnakannya, kamu tidak pernah tahu betapa ganjaran yang akan kamu dapat disebalik kesulitan yang kamu temui dalam usahamu untuk melaksanakan niat baikmu tersebut.
Dan,
Jangan biarkan golongan iblis dan setan mendapatkan keuntungan dari setiap usahanya.




No comments:

Post a Comment