Monday, October 27, 2014

Tepuk Dada Tanya Selera


Kisah ini berkisar tentang dua adik-beradik. Abangnya adalah seorang penagih dadah dan pemabuk yang sering memukul isteri dan anak-anaknya. Manakala adiknya adalah seorang ahli perniagaan yang sangat berjaya dan sangat dihormati dalam masyarakat juga mempunyai keluarga yang sungguh bahagia. 

Ramai orang rasa keliru dan ingin sangat mengetahui mengapa dua adik-beradik daripada ibu bapa yang sama, cara didik yang sama dan dibesarkan dalam persekitaran yang sama, tetapi mempunyai jalan hidup yang sangat berbeza antara satu dengan yang lain. 

Lalu dalam satu temubual abangnya ditanya, "Mengapa anda menjadi sebagaimana anda hari ini? Anda adalah seorang penagih dadah, pemabuk, dan anda sering mendera keluarga anda. Apa yang membuat anda jadi begini?" 

Abangnya menjawab ringkas, "Ayahku." 

Kemudian abangnya itu ditanya lagi, "Mengapa pula dengan ayah anda, apa yang telah terjadi?" 

Pertanyaan itu dijawab olehnya, "Ayah saya adalah seorang penagih dadah, pemabuk dan dia juga suka mendera kami sekeluarga semasa hayatnya. Itulah didikan yang diberikan kepada kami tiap-tiap hari, maka itulah yang menjadi ikutan saya hari ini? Apa yang awak semua harapkan daripada saya sekiranya memang begitu saya diajar setiap hari untuk hidup? Bak kata pepatah Melayu Kemana Tumpahnya Kuah Kalau Tidak Ke Nasi" 

Puas hati dengan jawapan si abang lalu soalan diajukan kepada adiknya dengan soalan yang sama. 

"Anda dipandang mulia di sisi masyarakat, seorang ahli perniagaan yang berjaya, seorang dermawan yang banyak membantu golongan yang memerlukan melalui yayasan serta persatuan anda? Apa yang mendorong anda sehingga anda menikmati kejayaan serta ternama seperti sekarang ini?" 

Si adik menjawab ringkas "Ayah saya”

Soalan seterusnya diajukan, "Mengapa pula dengan ayah anda, apa yang telah dilakukan oleh ayah anda?" 

Si adik terdiam seketika kemudian menjawab “Ketika saya masih kecil, saya pernah melihat ayah saya menagih, mabuk dan melakukan banyak perkara yang salah. Sejak itu saya berazam dan membuat keputusan bahawa itu bukanlah apa yang saya inginkan untuk membina kehidupan saya sendiri" 



Samada kita sedar atau tanpa kita sedari mahupun secara langsung atau pun tidak langsung, banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita memberi motivasi kepada kita setiap hari. Cuma ianya bergantung kepada diri kita untuk menerima pelbagai motivasi tersebut secara positif atau negatif.
Menerima motivasi secara negatif akan mendorong kita mengambil cara yang mudah dimana akhirnya kita sendiri yang rugi.






No comments:

Post a Comment