Thursday, October 16, 2014

Lilin Kehidupan


Satu malam di dalam sebuah bilik di mana terdapat empat lilin yang dinyalakan. Suasana dingin dan nyaman di tambah kelembutan cahaya dari ke empat-empat lilin tadi menambah kesegaran sekelilingnya.

Dalam kesunyian malam itu dikala semua penghuni rumah itu sedang tidur kedengaran ke-empat empat lilin itu berbual meluahkan rasa hati masing-masing.



Lilin yang pertama berkata “Aku adalah Kedamaian, kelihatannya tiada siapa yang menjaga aku dari terus menyala. Dari rasa tidak bermakna di sini ada baiknya aku mengundurkan diri” Lantas api lilin Kedamaian beransur malap dan akhirnya terpadam.

Lilin yang kedua berkata, "Aku adalah Kepercayaan. Nampaknya saya juga kelihatan seperti tidak diperlukan, oleh itu tidak masuk akal untuk saya terus menyala lebih." Sebaik selesai sahaja lilin itu berkata tetiba ada angin lembut meniupnya dari atas sehinggalah terpadam.

Melihat keadaan itu, lilin yang ke tiga pula berkata. "Aku adalah Kasih Sayang. Aku seperti tiada kekuatan untuk tetap menyala, Manusia menyisihkan aku dan tidak peduli betapa pentingnya aku. Malah mereka lupa untuk rasa bersimpati dan mengasihani orang yang sepatutnya mereka kasihi" Lilin tersebut mula beransur-ansur memadamkan dirinya. 

Tiba-tiba seorang anak kecil yang baru pandai berjalan masuk ke bilik tersebut dan melihat tiga lilin yang sudah padam. Dalam kemuraman cahaya yang hanya diterangi oleh satu lilin kanak-kanak itu mula manangis sambil berkata "Mengapa kamu tidak menyala,kamu sepatutnya tetap menyala sehingga akhirnya tanpa putus asa supaya kita tidak hidup dalam kegelapan"

Mendengarkan kata-kata anak kecil itu lalu lilin ke empat berkata, "Jangan risau, gunakan aku yang masih bernyala untuk menyalakan semula lilin-lilin yang lain. Aku adalah HARAPAN" 

Dengan mata yang bersinar, si anak kecil itu mengambil lilin Harapan dan menyalakan semula lilin Kedamaian, Kepercayaan dan Kasih Sayang. 

Harapan tidak boleh terpadam dalam hidup kita, kerana dengan Harapan maka Kedamaian, Kepercayaan dan Kasih Sayang akan kekal bersama.



Renungan


Harapan tidak pernah melupakan anda sebaliknya anda yang melupakan harapan. Jangan terpengaruh dengan kegagalan anda tetapi terus tumpukan kepada harapan dan impian anda. Jangan fikirkan kekecewaan yang anda alami tetapi fikirkan tentang keupayaan serta potensi anda yang tersembunyi. Jangan bimbang dengan kegagalan yang silam kerana ada banyak lagi usaha untuk berjaya yang belum anda laksanakan.









No comments:

Post a Comment