Wednesday, November 19, 2014

Di Saat Nyawa Tinggal 5 Minit Lagi





Seorang lelaki terbaring di dalam keadaan koma memasuki hari ke 5. Semasa dalam keadaan koma, dia didatangi oleh malaikat menyerupai seorang lelaki dan memberitahunya bahawa lelaki yang sedang koma itu akan mati dalam masa 2 jam lagi kecuali ada doa daripada 44 orang untuknya.

Lalu lelaki ini bertanya, "siapakah juga yang sudah mendoakan aku?" 



Malaikat menjawab, "Hanya 3 orang iaitu dari isterimu dan 2 orang anakmu dari 5 orang kesemuanya". 

Lelaki itu sedih dan bertanya lagi "Mengapa 3 lagi anaknya tidak mendoakan dia?" 

Dijawab oleh malaikat "Anaknya yang pertama sedang leka dengan kedudukannya yang tinggi dan sibuk dengan urusannya sehari-hari."

"Anak kamu yang no 2 pula sedang tengelam dengan kemewahannya, dia banyak menghabiskan waktunya berpoya-poya bersama rakan-rakannya di tempat-tempat maksiat".

"Manakala anak kamu yang no 3 kini sedang mabuk dilamun cinta bersama teman lelakinya. Pada fikirannya hanya ada teman lelakinya sahaja dalam hidupnya sehingga dia mengatakan bahawa dia tidak boleh hidup tanpa teman lelakinya".

"Ya mereka ada menziarah kamu tetapi ziarah mereka tidak langsung mendorong hati mereka mendoakan kamu"

Bertanya lagi lelaki yang sedang koma itu "Bagaimana dengan kakitangan di pejabatku? Aku adalah pengerusi di syarikat,  kakitanganku melebihi 50 orang, kawan-kawanku merata-rata dan juga saudara-maraku juga ramai. Tidakkah mereka berdoa kepadaku?" 

"Tidak" jawab malaikat. 

"Sebahagian besarnya tidak langsung mendoakanmu dan sebahagian yang lain mereka ada berdoa tetapi doa mereka ditolak". lanjut malaikat itu.

"Memang ada majlis doa dan tahlil dianjurkan oleh syarikatmu tetapi kakitangan kamu yang datang bukan untuk berdoa kepadamu. Mereka datang kerana terpaksa demi mangambil hati pegawai-pegawai kanan kamu. Ada yang datang untuk menikmati jamuan makan yang enak-enak. Ada yang datang hanya untuk tunjuk muka. Tetapi tidak seorang pun dari mmjereka yang ikhlas berdoa untuk kamu". 

Lalu menangislah lelaki itu kesedihan dengan nasib yang menimpanya.

Malaikat itu berjanji akan datang lagi kemudian setiap genap 1 jam sebelum waktu 2 jam tamat.

Satu jam kemudian malaikat itu datang menemui lelaki itu. 

Pantas lelaki itu bertanya "Adakah sesiapa berdoa untuk ku?"

Malaikat itu mengeleng-gelengkan kepalanya dan mengingatkan kepada lelaki itu "Kamu hanya ada 1 jam lagi sebelum ajalmu dan sebaik cukup satu jam nanti aku tidak lagi datang mengunjungi mu, tetapi akan datang malaikat yang bernama Izrail kepada kamu untuk mencabut nyawamu, maka bersedialah kamu dan selamat tinggal wahai lelaki"

Lelaki itu semakin ketakutan dan menangis insaf lalu memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT berulang-ulang kali.

Tinggal 5 minit lagi sebelum tempuhnya berakhir, tiba-tiba datang malaikat tadi kepada lelaki itu.

Lelaki itu terkejut dan segera berkata "Mengapa kamu mungkiri janji sedang aku masih ada 5 minit lagi untuk bertaubatdan berdoa kepada Allah"

Lalu malaikat itu menjawab "Allah tidak pernah memungkiri janjiNya, hanya kamu yang banyak berjanji tetapi tidak pernah menepati janjimu kepada Allah" 

Lelaki itu tertunduk dan seraya bertanya "Apakah ada sesiapa yang mendoakan ku lagi?"

"Ya ada doa untukmu sudah melebihi 44 orang, oleh itu aku datang" malaikat itu menjawab.


"Bolehkah aku tahu dari siapa? ujar lelaki itu dengan hiba dan terharu kegembiraan yang melinangkan airmatanya.

"Dari sebuah penempatan anak-anak yatim" kata malaikat itu.

"Iya.. iya.. aku banyak kali bersedekah kepada rumah anak-anak yatim" kata lelaki itu bangga.

"Semua sedekah-sedekahmu itu ditolak amalannya kecuali hanya satu" pantas malaikat itu menjawab.

Lelaki itu tergamam lalu bertanya "Mengapa begitu?"

Malaikat pun menjawab "Selain yang satu itu semua sedekah mu itu adalah untuk menunjuk-nunjuk dan membangga diri. Kamu mahu supaya masyarakat melihat kamu sebagai seorang yang hebat dan berkemampuan dan kamu juga mahu dilihat sebagai seorang yang berhati mulia lagi dermawan dan kononnya berjiwa masyarakat. Padahal sedekahmu yang berpuluh-puluh ribu itu langsung tidak ikhlas sama sekali"

Lelaki itu tertunduk dan malu lalu menyesali diri, kemudian bertanya dengan nada perlahan "Bagaimana pula sedekah aku yang satu itu?"

Malaikat itu mengisahkan "Kamu sebenarnya sudah lupa dikala hidup kamu sedang baru meningkat berjaya suatu masa dahulu kamu pernah memberi sedekah ikhlas kepada seorang pemuda yang mempunyai masalah untuk membiaya anak-anak yatim. Lalu kamu benarkan mereka menumpang di rumah peninggalan arwah ibubapamu di kampung sehinggalah mereka mampu berdikari sendiri". 

"Kini mereka sudah memiliki kawasan dan rumah mereka sendiri dan menerima banyak sedekah dan bantuan untuk kehidupan mereka setiap hari. Dan pada ketika berita keadaan kamu diketahui oleh ketua penjaga rumah anak yatim itu yang dulunya adalah pemuda yang kamu bantu dahulu, dia mengajak semua penghuni dan kakitangan rumah anak-anak yatim itu mendoakan mu dalam sebuah majlis bacaan Yasin sejurus sebentar tadi demi Allah dan jasa-jasa kamu dulu. Dan doa mereka semua penuh keikhlasan" kata-kata lanjut dari malaikat itu

Berguguranlah airmata lelaki berkenaan kerana terharu, insaf, menyesal, bertaubat dan bersyukur. Nyawanya yang hanya tinggal kurang dari 5 minit diselamatkan oleh sedekahnya yang tak seberapa tetapi ikhlas dan telahpun dilupakannya sangat lama dahulu.

Keinsafan dan kekesalan sangat mencengkam jiwa lelaki itu di alam komanya sehingga airmatanya kelihatan mengalir keluar tanpa henti dari kelopak matanya dan dan dapat disaksikan oleh isteri dan 2 anaknya yang menemaninya disisi katil wad unit kawalan rapi (ICU). 

Sehinggalah ketikanya raungan tangisan lelaki itu boleh didengar oleh semua yang ada di dalam wad itu maka ketika itulah lelaki itu tersedar dari komanya yang telah pun melewati 5 hari.

Sumber : Dr Siti Nurkhazirah



Rasulullah SAW, telah bersabda: 


“Bila seorang hamba telah meninggal, segala amalnya terputus, kecuali tiga hal iaitu amal jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya” 

(Hadis Riwayat Bukhari)






No comments:

Post a Comment