Wednesday, November 5, 2014

Lalat Oh Lalat



Kelihatan beberapa ekor lalat berterbangan di atas sebuah tong sampah di hadapan sebuah rumah. Pada ketika pintu rumah tersebut masih terbuka seekor lalat bergegas terbang memasuki rumah itu. Lantas si lalat pantas terbang menuju ke ruang makan yang terhidang dengan makanan yang lazat. 

"Aku sudah bosan dengan hanya memakan sampah sarap setiap hari dan inilah masanya untuk aku menikmati makanan segar," kata lalat tersebut. Setelah kenyang, si lalat bergegas ingin keluar dan terbang menuju ke pintu hadapan di mana ia masuk awal tadi, namun malangnya pintu sliding kaca itu telah terutup rapat. Si lalat hinggap di kaca pintu dan memandang ke arah kawan-kawannya yang melambai-lambaikan tangan mereka seolah-olah mengajak dia agar kembali terbang bebas riang bersama mereka. 

Si lalat itu pun terbang di sekitar kaca pintu sliding yang tertutup rapat itu, sesekali melompat dan cuba menerjah kaca pintu, dengan tak kenal menyerah si lalat mencuba dan terus mencuba untuk keluar dengan menerjah pintu kaca. Lalat itu merayap mengelilingi kaca dari atas ke bawah dan dari kiri ke kanan pergi dan balik, demikianlah usahanya terus menerus berulang-ulang kali sehingga tubuhnya mulai cedera. Maka hari semakin petang, si lalat itu nampak keletihan dan kecederaan. 

Pada malamnya, si lalat terkulai tidak berdaya di atas lantai berdekatan pintu kaca itu. Tidak jauh dari tempat itu, nampak serombongan semut merah berjalan beriringan keluar dari sarangnya untuk mencari makan. Dan ketika menjumpai lalat yang tidak berdaya itu, serentak mereka mengerumuni dan beramai-ramai menggigit tubuh lalat itu hingga mati. Kawanan semut itu pun beramai-ramai mengangkut bangkai lalat yang malang itu menuju sarang mereka. 

Dalam perjalanan pulang ke sarang, seekor anak semut bertanya kepada bapanya, "Mengapa lalat yang boleh terbang  kemana sahaja ini boleh terdampar di tepi pintu ini sahaja ayah?" 

"Oh.., selalu sahaja ada lalat yang mati sia-sia seperti ini. Sebenarnya mereka ini telah berusaha, mereka sungguh-sungguh telah berjuang keras berusaha keluar dari pintu kaca itu. Namun masakan dia boleh keluar melalui pintu itu bila ianya sudah tertutup rapat, melainkan kalau dia , dia kecewa dan keletihan hingga akhirnya jatuh tak berdaya lagi, lalu menjadi menu makan malam kita hari ini." terang si bapa lalat kepada anaknya.

Semut kecil itu mengangguk-angguk, namun masih ingin tahu dan tertanya-tanya "Saya masih tidak faham ayah, bukankah lalat itu sudah berusaha bersungguh-sungguh? Kenapa masih tidak berjaya?" 

Sambil berjalan dan mengangkut bangkai lalat itu, bapa semut tersebut menjawab, "Lalat itu adalah seorang yang tak kenal menyerah dan telah mencuba berulang kali, tetapi ia hanya melakukannya dengan cara-cara yang sama. Kalaulah lalat itu mempelbagaikan usahanya seperti menemukan jalan keluar yang lain seperti lubang-lubang udara yang hanya berada di atas pintu itu atau pada tingkap-tingkap yang terbuka, mungkin ia masih lagi terbang bebas bersama rakan-rakan yang lain"

Dengan nada serius bapa semut berpesan kepada anaknya, "Ingat anak ku, jika kamu hanya berusaha dengan cara yang sama tapi mengharapkan hasil yang berbeza, maka nasib kamu akan seperti lalat ini."


"Orang yang berjaya tidak melakukan hal-hal yang berbeza, mereka hanya melakukannya perkara yang sama tetapi dengan cara yang berbeza."





No comments:

Post a Comment