Friday, November 7, 2014

Menikmati Kehidupan




Sempena hari perjumpaan alumni sebuah universiti sekumpulan bekas mahasiswa dan mahasiswi berkunjung ke rumah seorang profesor mereka yang telahpun bersara. Kesemua mereka kini sudahpun mempunyai kerjaya yang baik malah menjawat pelbagai jawatan penting di dalam pelbagai sektor awam dan swasta.


Suasana di ruang tamu riuh rendah dengan perbualan mereka di mana rata-rata berkisar tentang pengalaman serta keistimewaan kerjaya mereka dan juga tentang kehidupan masing-masing. 

Sejenak melapang diri  mengamati gelagat bekas-bekas penuntutnya lalu profesor tua itu bangun ke dapur dan tidak lama kemudian dia kembali dengan membawa seteko kopi panas. Selepas itu profesor itu membawa dulang yang penuh dengan bermacam-macam bentuk dan jenis cawan, jauh melebihi dari jumlah tetamunya. Ada cawan yang diperbuat daripada kristal, ada yang dari kaca, tembikar puteh, tembikar merah, melamin dan plastik. Dalam pada itu ada yang berbunga, ada yang berukir dan ada juga yang kosong tanpa hiasan. Setiap satu dengan yang lain cawan itu jelas dapat di bezakan yang berharga dan yang benilai murah.

"Silakan masing-masing ambil cawan atau mug dan sudi-sudilah tuang kopinya sendiri ye, buatlah seperti rumah sendiri, jangan segan dan malu ye" profesor itu mempersilakan tetamu-tetamunya. Dengan haruman kopi yang bermutu tinggi, bagaikan tidak berlengah mereka menuangkan kopi kedalam cawan pilihan masing-masing.

Setelah setiap mereka sudah memegang cawan yang telah diisi dengan kopinya lalu profesor itu berkata, "Cuba perhatikan, bahawa kamu semua memilih cawan-cawan yang cantik-cantik dan berharga, yang tertinggal hanyalah cawan murah dan yang tidak begitu menarik." 

"Memilih yang terbaik adalah hal yang normal malah ianya lumrah manusia. Namun dari sikap itu sebenarnya terdapat satu persoalan" tambah profesor itu lagi. Tetamu-tetamunya terdiam sambil memberikan tumpuan pada kata-kata bekas profesor mereka itu.

Profesor itu meneruskan kata-katanya "Dari pemerhatian saya sebentar tadi, pada ketika di antara kamu tidak mendapat cawan yang bagus, perasaan kamu seperti terganggu. Lalu kamu mula menjeling cawan-cawan yang telah dipegang oleh rakan kamu yang lain dan membandingkannya dengan cawan yang kamu pegang. Fikiran kamu lebih tertumpu kepada cawan kan?, padahal yang kamu hendak nikmati bukanlah cawannya, tetapi kopinya."

"Apa yang hendak saya sampaikan di sini ialah, sesungguhnya kopi itu adalah umpama kehidupan kita, sedangkan cawan itu adalah umpama pekerjaan, bidang kuasa, wang dan kedudukan yang kita miliki. Oleh itu janganlah kita membiarkan gaya kopi itu di hidangkan mempengaruhi keenakan kopi yang kita nikmati." kata profesor itu lagi.


"Sesiapa sahaja boleh menaruh kopi ke dalam cawan kristal yang mahal dan cantik, tetapi belum tentu mereka dapat merasakan nikmat kopi tersebut." profesor itu menyudahkan kata-katanya.









No comments:

Post a Comment