Monday, November 17, 2014

Seorang Ahli Fekah Masyhur



Uzbekistan. Nama rasminya ialah Republik Uzbekistan, adalah negara di Asia Tengah, yang sebelum ini adalah merupakan sebahagian dari Soviet Union. Negara ini bersempadan dengan Kazakhstan di sebelah barat dan utara, Kirgizstan dan Tajikistan di timur, dan Afganistan dan Turkmenistan di sebelah selatan. 

Satu-satunya bahasa rasmi di sini adalah bahasa Uzbek, sebuah bahasa Turkik, namun bahasa Rusia tetap dipergunakan secara meluas, sebagai kesan peninggalan daripada sisa pemerintahan Soviet.

Pada era pembebasan dari cengkaman Rusia, Ibu Negara Uzbekistan adalah Samarqand tetapi pada sekitar tahun 1930 ibu Negara Uzbekistan telah dipindahkan ke Tashkant.

Samarqand adalah bandar bersejarah dan padanya terakam kisah sejarah Islam yang melibatkan Iskandar Zulqarnain dan Genghis Khan (puak Monggol). Bandar inilah yang melahirkan seorang tokoh sufi iaitu Imam Nasr bin Muhammad Abu al-Laith Samarqandi @ Abu Laith asSamarqandi. 

Apa yang membuat saya teruja dengan nama ini kerana kisah hidupnya yang membuktikan bahawa USIA BUKANLAH BATASAN UNTUK KITA MENDALAMI ILMU ALLAH SWT.

Kenapa saya katakan begitu???

Tahukah anda bahawa Abu Laith As-Samarqandi ini pada zaman muda belianya beliau tidak tahu pun membaca Al-Quran tetapi disekitar usia 50an barulah beliau mula belajar dan pada usia 57 tahun, beliau telah berjaya menguasai Bahasa Arab dan Al-Quran. 

Seterusnya beliau mula mewariskan ilmu yang ada padanya melalui penulisan. Yang paling terkenal sekali ialah Kitab Tanbihul Ghafilin (yang bermaksud Peringatan Bagi Orang Yang Lupa)


Menyentuh tentang Abu Laits As Samarqandi ini terdapat sebuah kisah menarik yang pernah di ceritakan olehnya untuk renungan kita bersama.

Kisahnya mengenai Abu Laits as-Samarqandi, ahli fiqh yang masyhur ini pada satu hari ketika dia berbual-bual dengan ayahnya lalu ayahnya berkata "Bahawa antara Nabi yang bukan Rasul, ada yang menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi pada satu malam, diperintahkan dengan mimpi yang menyatakan: “Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat.

“Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya.”

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.

Nabi itu kebingungan sambil berkata: “Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan.”

Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti.

Nabi itu mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan ‘Alhamdulillah’.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula sebuah mangkuk emas. Dia teringat arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya.

Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu menanamnya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Selepas tiga kali, berkatalah Nabi itu: “Aku sudah melaksanakan perintah-Mu.” 

Lantas dia meneruskan perjalanannya dan tanpa disedarinya, mangkuk emas itu tetap terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata: “Wahai Nabi Allah, tolonglah aku.”

Mendengar rayuan burung itu, hatinya berasa simpati lalu memasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu datang menghampiri Nabi itu sambil berkata: “Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu, janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku.”

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh memutuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu.

Akhirnya, dia membuat keputusan mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pahanya dan diberi kepada helang itu.

Setelah mendapat daging itu, helang itu terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi berkenaan meneruskan perjalanannya.

Tidak lama kemudian dia bertemu pula satu bangkai yang sangat busuk baunya, dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. 

Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, kembalilah Nabi itu ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi berdoa. Dalam doanya dia berkata: “Ya Allah, aku sudah melaksanakan perintah-Mu sebagaimana diberitahu dalam mimpiku, maka jelaskan kepadaku erti semua ini.”

Dalam mimpi, beliau diberitahu oleh Allah bahawasanya: 

"Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit, tetapi akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, marah akan menjadi lebih manis daripada madu".

"Kedua, semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, ia tetap akan nampak juga". 

"Ketiga, jika menerima amanah seseorang, jangan kamu khianat kepadanya".

"Keempat, jika seseorang meminta kepadamu, usahakan untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat". 

"Kelima, bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang duduk berkumpul membuat ghibah (mengata-ngata akan aib orang lain)".

Kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita berikutan lima perkara ini sentiasa berlaku dalam kehidupan seharian, terutama dalam soal memperkatakan hal orang lain.







No comments:

Post a Comment