Sunday, November 23, 2014

Rezeki Penjala Ikan



Tersebutlah kisah dua orang penjala ikan.

Kedua-dua lelaki itu begitu bersungguh-sungguh menebar jala ke sungai. Salah seorang daripada mereka menebar jala dengan menyebut nama ALLAH manakala yang seorang lagi menebar dengan menyebut nama berhala. Mereka saling berusaha dan bersaing untuk mendapatkan rezeki pada hari itu. Sebagaimana hari-hari sebelumnya mereka berlumba siapa yang paling banyak mendapat hasil ikan maka dia menang.

Kelihatan jala yang ditebar oleh sikafir itu selalu menghasilkan ikan yang banyak. Makin lama hasil menjala yang dikumpulnya makin banyak. Hatinya girang dan bertambah girang apabila melihat bakul ikan lelaki Muslim itu masih kosong walupun sudah berpuluh-puluh kali dia menebarkan jalanya.

Namun lelaki Muslim itu tetap sabar dan tabah meneruskan usahanya menebar jala di mana-mana. Di hatinya tidak sedikitpun terdetik prasangka buruk terhadap Allah. "Mungkin ada rezeki yang lebih baik daripada ini untuk ku" bisik hatinya.

Mulutnya masih mengukir senyum. Hari sudah beransur senja. Akhirnya kali ini jalanya terasa berat. Setelah diangkat didapatinya ada seekor ikan. Di wajahnya terbayang sedikit kegembiraan. Mungkin yang seekor ini pengubat usahanya untuk hari ini.

"Membawa balik ikan walaupun seekor adalah lebih baik daripada pulang tangan kosong".  kata hatinya tetap bersyukur walaupun cuma direzekikan dengan seekor ikan sahaja.

Malang....... tanpa sengaja ikan yang seekor itu terlepas dari tangannya lalu hilang ke dasar sungai. Dia menghela nafas namun masih setia bersabar. "Hmm walaupun dan dipegang tangan tapi kalau dah bukan rezeki kita maka ianya tetap bukan rezeki kita juga" bisik hatinya lagi sambil mengeleng-gelengkan kepalanya. "Mungkin ada hikmahnya" tingkah hatinya lagi.

Sementara sikafir itu ketawa berdekah-dekah melihat malangnya nasib lelaki Muslim itu tadi. Dengan ketawa berdekah-dekah itulah sikafir itu pulang sambil menjinjing bakul yang sarat dengan ikan. 

Sementara lelaki si Muslim pula pulang dengan tangan kosong dan badan yang penat, tetapi hatinya tetap bertawakal kepada Allah.

Melihat kejadian itu, Malaikat yang menjaga lelaki Muslim itu terus menghadap ALLah untuk mendapatkan kepastian tentang nasib si Muslim itu.

Lalu ALLAH menunjukkan Syurga yang dikhususkan untuk lelaki Muslim itu dan menunjukkan Neraka tempat bagi yang lelaki kafir itu pula.

Malaikat berkata "Tidak sia-sia usaha dan kesabaran lelaki Muslim itu, walaupun mendapat kesulitan di dunia, tetapi malanglah bagi lelaki kafir itu walaupun dia bernasib baik di dunia"








No comments:

Post a Comment