Thursday, November 6, 2014

Seorang Ibu, seorang Pemuda dan seorang Jejaka





Di Bogor Indonesia, kenderaan berupa van berwarna hijau begitu sinonim dengan penduduk kota itu sebagai medium pengangkutan awam. Di sana ianya di panggil ‘Angkot’, mungkin singkatan dari perkataan 'Angkutan Kota', boleh memuatkan seramai 12 orang penumpang pada satu-satu masa.

Menyentuh tentang angkot di kota yang sama pada suatu hari ketika saya melancong ke sana, saya menaiki sebuah angkot di mana di dalamnya terdapat 7 orang penumpang. Masih terdapat 5 tempat yang masih kosong. Di pandu oleh seorang pemuda.

Seperti hari-hari biasa jalan-jalan di kota itu sibuk dengan angkot yang bersimpang siur berebut penumpang apatah lagi pelancung-pelancung dimana mungkin kami dikenakan tambang yang lebih tinggi berbanding dengan penumpang tempatan kerana kami tidak tahu kadar tambang sebenar ketika berada di sana.

Dalam kesesakan lalulintas dari jauh lebih kurang pada jarak 3 buah angkot di hadapan angkot yang kami naiki, kelihatan seorang ibu dengan 3 anak yang meningkat remaja berdiri di tepi jalan di tengah-tengah panas kesesakan kota. Kelihatan mereka seperti orang yang miskin dari cara pemakaian mereka. Setiap kali angkot berhenti di depan mereka sebaik sahaja selepas ibu itu mengatakan sesuatu kepada pemandu angkot lalu angkot itu berlalu begitu sahaja meninggalkan si ibu dengan 3 anaknya.

Begitulah berulang kali dengan angkot yang seterusnya dan juga angkot yang seterusnya sehinggalah giliran angkot yang kami naiki pula berhenti di hadapan si ibu tersebut. Dalam bahasa Indonesia si ibu itu bertanya. “Dik, lewat terminal bis ya?” (maksudnya ”adakah adik akan melalui stesen bas?”) pemandu angkot kami segera menjawab “Iya”, Tetapi si ibu itu masih tidak menaiki angkot kami sebaliknya si ibu berkata. “Tapi saya dan ke 3 anak saya tidak punya ongkos” (maksudnya “tetapi saya dan ke 3 anak saya tidak mempunyai wang untuk membayar tambang”

Sambil tersenyum pemandu angkot yang kami naiki menjawab “Gak pa pa bu, naik saja” (maksudnya “tidak mengapa, puan boleh naik sahaja”). Si ibu tampak seperti ragu-ragu lalu pemamdu angkot itu mengulangi katanya “Ayo bu, naik saja, gak apa pa” (maksudnya “cepat puan, naik saja tak mengapa”)

Saya terpegun dengan kebaikan dan keikhlasan pemandu angkot yang masih muda itu. Pada ketika pemandu lain berebut-rebut mengaut keuntungan dari penumpang-penumpang tetapi pemandu muda ini merelakan 4 tempat dalam van angkotnya secara percuma untuk si ibu dengan 3 anaknya. Ketika sampat di stesen bas yang di maksudkan maka si Ibu dan 3 anaknya turun sambil mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pemamdu angkot tersebut. 

Sehingga ke satu tempat tiba giliran seorang jejaka lebih kurang awal pertengahan 30an untuk turun kerana sudah sampai tempat yang hendak ditujunya. Jejaka itu membayar sebanyak 20ribu Rupiah. Ketika pemandu tersebut sedang berusaha untuk mengembalikan baki wang lebihan (tambang hanya 4ribu Rupiah seorang), Jejaka itu enggan menerima sebaliknya mengatakan bahawa dia membayarkan tambang untuk si ibu dengan 3 anak yang turun sebelumnya tadi.

Malah jejaka itu menambah katanya “Terus jadi orang baik ya Dik” (maksudnya “Teruskan menjadi orang yang berbuat kebajikan”) sebelum berlalu meninggalkan angkot yang kami naiki.

Saya benar-benar kagum dengan pengalaman yang saya alami pada hari itu di Bogor, Indonesia. Mereka saling bantu-membantu dalam berbuat kebajikan. Lantas hati saya berkata “Alhamdulillah masih ada lagi orang-orang yang berhati mulia”

Sehingga hari ini kenangan itu masih tetap di ingatan saya walaupun sudah lama saya tidak menjejakkan kaki ke tanah Indonesia.


Teruslah berbuat baik, 
sekecil apapun ketulusan yang kita perbuat, tentunya sangat bererti untuk yang lain.




1 comment:

  1. saya terharu dengan cerita yang benar...
    agar anak muda terang hati jua...

    ReplyDelete