Sunday, November 2, 2014

Isteriku Buta, Tuli, Bisu Dan Lumpuh.


Mengisahkan seorang pemuda yang soleh dan taat kepada Allah bernama Ahmad, merupakan seorang pegembara yang telah melalaui hutan belantara, gunung-ganang serta padang pasir dalam pengembaraannya.


Disaat Ahmad sedang menyusuri sebuah sungai. Dia merasa dahaga yang tiada terhingga, tambahan pula hari sememangnya sangat terik sekali. Lalu Ahmad berhenti dipinggir sungai untuk minum dan mencuci mukanya. “Alhamdulillah….. terimakasih ya Allah, engkau telah memberikan keselamatan kepadaku dengan air sungai ini”. 

Tiba-tiba Ahmad melihat sebiji epal terapung-apung disungai menuju kearahnya. Tanpa berfikir panjang Ahmad pun mencapai dan mengambilnya lalu berkata. “Ini mungkin rezeki untukku”. 

Tanpa lengah Ahmad memakan epal itu. Di ketika epal itu hampir habis dimakannya, Ahmad teringat sesuatu. “Astaghfirullah, Kalau ada buah epal terjatuh, berarti disekitar sini ada sebuah kebun. Dan bila ada sebuah kebun, mungkin kebun itu ada yang memiliki. Ya Allah Ampunilah hambaMu yang telah memakan buah ini tanpa meminta izin daripada pemiliknya. Sebaiknya aku mencari dimana pemilik kebun dari buah ini"

Justeru Ahmad menyusuri ke hulu sungai itu tanpa merasa letih. Dan akhirnya benarlah, ternyata di hujung hulu sungai tersebut ada sebuah kebun epal yang sangat luas. Ahmad kemudian mendatangi kebun itu untuk mencari pemiliknya. Disaat Ahmad sedang mencari tiba-tiba seorang tua mengejutkannya. 

“Assalamu’alaikum. Wahai anak muda, apakah yang sedang engkau cari?” 

“Waalaikumussalam… Apakah tuan tahu siapakah pemilik kebun epal ini?” 

“Sayalah pemiliknya. Kenapa?"


“Owh, jadi tuanlah pemilik kebun ini. Sebenarnya saya mahu meminta maaf kepada tuan kerana saya telah memakan sebiji epal yang saya jumpa, saya yakin epal itu adalah dari kebun tuan”. 

“Hmm di mana engkau menemukannya anak muda?” tanya orang tua itu. 

“Di hilir sungai itu yang mengalir bersebelahan kebun tuan, epal itu terapung-apung ke arah saya pada ketika saya sedang minum dan membasuh muka saya di sana”. 

Orang tua yang memiliki kebun itu terdiam dan menatap mata Ahmad dengan tajam. Ahmad pun kemudian berkata, “Maafkanlah saya tuan, saya sedia menerima apa jua hukuman dari tuan di atas kesalahan saya itu, Asalkan tuan mahu memaafkan saya”. 

“Ya, ya... ya…. Engkau akan menerima hukuman dariku”. Kata orang tua itu seraya terus menatap tajam mata Ahmad. 

“Silakan tuan, saya sedia menerimanya?” 

“Sebagai hukuman kau kena membersihkan kebunku selama satu bulan” 

“Baiklah tuan, saya akan menjalankan hukuman itu dengan ikhlas kerana Allah” Kata Ahmad dengan penuh sabar. 

Berhari-hari Ahmad membersihkan kebun epal itu dengan rajin dan senang hati. Dia berharap ianya dapat menghapus kesalahan yang telah dilakukannya. Sehinggakan dia tidak terasa telah cukup sebulan menjalankan hukuman. Ahmad pun kemudian mendatangi pemilik kebun itu. 

“Saya telah menjalankan hukuman untuk membersihkan kebun tuan selama satu bulan penuh. Dan hari ini adalah hari yang terakhir. Apakah masih ada hukuman lain untuk saya menebus kesalahan saya dulu?” Tanya Ahmad. 

“Ya ada. Aku mempunyai seorang anak gadis bernama Sa'adiah. Dia buta, tuli, bisu dan lumpuh. Engau perlu menikahinya". Jawab pemilik kebun


Ahmad bukan sahaja terkejut, malah dia rasa gemetar. Tubuhnya berpeluh-peluh kerana memikirkan akan betapa beratnya ujian dan hukuman yang dia harus terima. 

Orang tua itu pun bertanya “Kenapa..., apakah engkau tidak bersedia?” pertanyaan orang tua itu membuat ahmad berfikir sejenak. Tidak lama kemudian fikiran Ahmad kembali tenang. Dia yakin jika orang tua itu tidak memaafkannya, maka Allah pun tidak akan memaafkan kesalahannya yang telah memakan epal yang bukan miliknya.

“Baiklah tuan, saya akan penuhi. Saya ikhlas kerana Allah untuk menikahi anak tuan" Jawab Ahmad


Dengan kesabaran dan keikhlasan Ahmad pun menikahi anak gadis orang tua pemilik kebun epal. Setelah selesai pernikahan, Ahmad memasuki bilik pengantin yang di dalamnya telah menunggu anak gadis orang tua tersebut. 

“Assalamu’alaikum”…. Ucap Ahmad lembut seraya membuka tirai bilik. 

“Wa’alaikummussalam, Silakan masuk. Saya telah menunggu sejak tadi” Kedengaran suara gadis itu menjawab dari dalam bilik. Membuatkan Ahmad terkejut bukan kepalang mendengar jawapan itu.

“Owh, maafkan saya. Saya tersalah masuk bilik ini. Sebenarnya saya mencari gadis bernama Sa'adiah. Dia anak pemilik kebun epal" Kata Ahmad kebigungan.


“Sayalah yang engkau cari”. Jawab gadis itu 

“Oh tidak…. Tidak mungkin”. 

Ahmad pun berlalu dengan tergesa meninggalkan gadis itu dan menemui orang tua pemilik kebun. 

“Terlebih dahulu, maafkan saya yang telah tidak sengaja memasuki bilik seorang gadis cantik. Tapi… dimanakah sebenarnya bilik Sa'adiah isteri saya?" Tanya Ahmad.


“Engkau tidak salah nak. Bilik yang engkau masuki tadi memang bilik Sa'adiah satu-satunya anak ku. Dan yang didalam bilik itu sememangnya anakku. Dialah Sa'adiah". 


“Tetapi mengapa saya tidak melihat dia buta, tuli, bisu dan lumpuh?” Tanya Ahmad. 

"Menantuku..... Sa'adiah memang buta, tuli, bisu dan lumpuh. Tetapi yang aku maksud dia buta, kerana dia tidak pernah menggunakan kedua matanya untuk melihat hal-hal yang menyesatkan. Dia tuli, kerana telinganya tidak pernah digunakan untuk mendengarkan kata-kata yang tidak berfaedah. Dia bisu, kerana dia tidak pernah menggunakan mulutnya untuk berkata apa-apa yang buruk. Dan dia lumpuh, kerana dia tidak pernah berjalan ketempat-tempat maksiat. Sekarang segeralah engkau kembali kebiliknya. Temuilah dia yang sekarang telah menjadi isterimu”.

Betapa bahagianya Ahmad yang ternyata kini mendapatkan seorang isteri yang bukan sahaja tersangat cantik lagi jelita, namun seorang gadiis yang beriman dan taat kepada Allah.







No comments:

Post a Comment