Thursday, March 6, 2014

Aku Di Hari Jumaat Ini

Hari ini hari Jumaat, aku balik segera meninggalkan pejabat. Alhamdulillah urusan untuk hari ini sudah kuselesaikan dengan sempurna, seperti biasa aku jarang masuk semula ke pejabat pada sebelah petang. Pembantuku yang terlatih akan mengendali sendiri sebarang urusan sekiranya ada di sebelah petang. 

Dalam perjalanan pulang aku teringat pesanan ibu supaya membeli sesuatu di pasar. Aku faham, lewat petang nanti seperti selalu, adik beradikku semuanya akan balik, seperti hari-hari minggu yang selalu, rumahku kan menjadi tempat berkumpul semua adik-beradik dan ipar duai serta anak-anak buah. Kebiasaan sebegitu amat membuatkan hati ibu dan ayahku riang ceria.

Setiba di pasar aku terus sahaja membeli beberapa barang basah yang diperlukan. Tiba-tiba aku terlihat sesusuk tubuh lelaki tua yang mengagahkan dirinya berjalan ditengah-tengah pasar. Aku memerhatikan arah mana susuk tubuh itu tuju. Kenal benar rasanya dengan yang ampunya diri susuk tubuh itu. 

Pelan pelan dia berjalan sambil memerhatikan jualan-jualan ikan basah kiri dan kanan, aku mengekorinya dari belakang dengan tenang. Tiba-tiba dia berhenti dan mengeluarkan dompet duitnya dari saku. Dompet usangnya dibuka dan aku sempat menjeling dari belakang, dia mengira wangnya yang ada, kuperhatikan hanya terdapat sehelai wang kertas RM5 dan tiga helai wang kertas Rm1. Hmmm. "Apalah agaknya hajat pakcik ni dengan wang yang sebanyak itu?" hatiku berkata-kata.

Dia singgah ke tempat jualan ikan rebus dan bertanya "Nyonya, ini ikan rebus berapa satu kilo?"

Nyonya itu menjawab ringkas "Tiga belas ringgit"

Pakcik tu mendonggak kepalanya keatas seolah olah mengira sesuatu, dan lalu beredar dari situ. Kemudian dia menuju ke bahagian sayur-sayuran.

"Hmmm, tak cukup duit le tu" bisik hatiku. terus sahaja aku meminta nyonya itu membungkus ikan rebus yang besar-besar sebanyak setengah kilo.

Dari awal tadi ntah mengapa hatiku terdetik rasa ingin membantu pakcik itu, mungkin aku boleh sedekahkan sesuatu untuk menceriakan hati pakcik itu di hari Jumaat yang mulia ini. Aku tahu pakcik itu seorang yang miskin, anak-anaknya yang sudah bekerja, amat jarang balik menjenguknya suami isteri.

Di bahagian sayur pakcik tu meminta sebiji timun, segengam cili api, se ikat kangkung dan sesikat pisang. Semasa dia memesan bahan bahan sayur tu aku menyapanya dari belakang  "Assalamualaikum pakcik" sambil menepuk lembut bahu kanannya. 

Jawapannya berbeza "Harsshhh" tangannya sepantas pendekar menepis tanganku dari bahunya, lalu memasang kekuda kakinya bagaikan bersedia menyerang dan diserang. 

"Laa terkejut rupanya pakcik ni" bisik hati ku sambil senyum ku ukirkan dibibirku, dengan wajah penuh tenang dan masih berdiri sopan tetapi dalam pada itu aku bersedia dengan hati-hati. Manalah tahu kut kut berlaku sesuatu tanpa duga.

Kuhulurkan tanganku untuk bersalam sopan sambil sedikit tunduk "Saya minta maaf pakcik,  kiranya saya telah mengejutkan pakcik tadi" senyumku tetap terukir.

"Ishhh kamu ke Hisyam? hissshhh anak Si Majid ni" Kasar keluh pakcik itu, namun salam ku tetap juga disambutnya. 

Jelas beberapa orang yang berdekatan termasuklah peniaga sayur di situ terkejut dengan drama swasta kami ni.

"Pantang aku orang menyentuh bahu aku, aku dah le tua nanti lagi pelupa aku jadinya. Kamu ni tak tahu adap orang tua-tua ke?" kata pakcik tu seperti marah padaku.

"Saya minta maaf di atas kejahilan saya pakcik, niat saya mahu menyapa pakcik, saya minta maaf sekali lagi" aku tetap tenang dan tersenyum.

Wanita melayu yang menjual sayur itu tiba-tiba berkata "Semuanya lima ringgit enam puluh sen" sambil menghulurkan beberapa bungkusan kesemua sayur dan pisang yang dipesan oleh pakcik tu tadi di dalam satu beg plastik. 

Sambil pakcik itu terkial-kial mengeluarkan dompetnya, aku terus sahaja membayarkan kesemuanya. Aku sekalikan bungkusan ikan rebus tadi dan bungkusan sayuran serta pisangnya lalu menghulurkan kesemuanya kepada pakcik yang sangat kukenali itu.

Pakcik itu tergamam, berkaca-kaca basah matanya tanpa berkata-kata apa-apa sambil menerima huluran kesemua bungkusan dariku itu. "Baik pakcik, saya minta diri dulu, Jumaat dah dekat ni, Assalamualaikum" aku pun berlalu meninggalkan pakcik itu yang diam seperti terpukau.

Selepas solat Jumaat, Aku 'parking' kan keretaku tersorok di belakang rumah, tujuannya aku tidak mahu kengkawanku tahu bahawa aku ada di rumah. Hmm tak mahu diganggu lebih-lebih lagi mataku ini terasa mengantuk sangat. Ianya bagaikan menyanyi-nyanyi lagu-lagu yang melenakan. (banyak lagi nak sambung ni tapi aku memang betul-betul ngantuk sangat ni) Dan aku pun terlena di tengahari.

Adakalanya Allah Datangkan Ujian Di Kala Kita Hendak Melakukan Kebajikan,
Kerana Menguji Sejauhmana Keikhlasan Kebajikan Kita.

Saya Belajar Memberi Bukan Kerana Saya Kaya...
Tetapi
Kerana Saya Tahu Bagaimana Rasanya Di Saat Tidak Mempunyai Apa-Apa...










No comments:

Post a Comment