Saturday, March 1, 2014

Membuat Keputusan Perlukan Keberanian

Sebuah hospital yang terkenal dengan para doktornya yang kebanyakannya pakar dalam pelbagai jenis bidang penyakit di samping para jururawat serta kakitangan lain yang sangat terlatih dan cukup berdedikasi menyumbang perkhidmatan, sentiasa sesak dengan kedatangan pesakit yang memerlukan rawatan yang teliti dan berkualiti juga layanan yang mesra dari warganya.

Di ruang bahagian jantung pada hari itu menerima tiga pesakit yang parah sakit jantungnya dan memerlukan pembedahan segera, ketiga-tiga pesakit ini hanya boleh diselamatkan dengan pembedahan untuk menggantikan dengan jantung yang baru. Sekiranya ketiga-tiga mereka ini tidak dibedah dalam masa tiga jam, maka mereka tiada harapan untuk diselamatkan.

Pesakit pertama adalah seorang lelaki yang sudah tua, berusia sekitar 70an, Beliau adalah seorang profesor, kehadirannya diiringi keluarga dan para mahasiswa dan mahasiswi yang ramai.

"Tolonglah puan doktor, selamatkan profesor kami ini, pemikiran beliau sangat berharga untuk pendidikan kami malah seluruh warga universiti" rayuan keluarganya dan para siswa dan siswi kepada Doktor Khazirah, pakar jantung yang paling kanan di hospital itu.

"Berilah dia kesempatan untuk menyelesaikan satu penemuan yang teramat bernilai sebagai rujukan bukan sahaja bagi universiti kami malah negara ini" rayuan mereka lagi.

Pesakit kedua adalah seorang lelaki biasa berusia 30an, yang memiliki lima anak yang masih kecil, suami kepada seorang isteri tidak bekerja.

"Tolonglah doktor, saya merayu sangat-sangat pada doktor, selamatkanlah suami saya, kami tidak ada tempat bergantung jika suami saya tiada, suami saya dan saya masing masing anak yatim piatu tanpa ada saudara mara" mohon si isteri dengan tangisan dan disulami tangisan anak-anak mereka.

Pesakit ketiga adalah seorang anak yang masih kecil sekitar tiga tahun usianya. Ayah dan ibunya menangis merayu-rayu memohon kepada doktor agar anak mereka diselamatkan segera.

"Puan doktor, tolonglah kami, inilah satu-satunya puteri kami, bertahun-tahun kelahirannya kami nantikan, hanya setelah hampir usia isteri saya tak boleh mengandung lagi dia dilahirkan. Tolonglah puan, berapapun kosnya kami sanggup asalkan kami boleh melihat satu-satunya puteri kami ini dewasa, hanya dialah satu-satunya harapan kami puan" teresak-esak tangisan ibu dan ayah anak kecil itu merayu kepada Doktor Khazirah. 

Di bilik pakar bedah jantung, Doktor Khazirah termenung, Butiran-butiran airmata mengalir di pipinya. Dia kebingungan ketika melihat simpanan jantung yang didermakan hanya tinggal satu. Sedangkan dia ada tiga pesakit yang hanya boleh diselamatkan melalui pembedahan mengantikan jantung.

Untuk menunggu penderma baru dalam tempuh yang terdekat adalah sangat tidak mungkin, kerana ianya memerlukan tempuh waktu yang lama. Sementara hospital yang paling hampir juga tidak mempunyai simpanan jantung yang didermakan. 

Kini dia hanya ada masa dua jam lagi untuk melakukan pembedahan, tidak ada cara lain melainkan Dr Khazirah perlu memilih seorang dari tiga pesakit yang sangat memerlukan.

Siapakah yang Dr Khazirah pilih ye? Apakah alasannya?

Jika anda sebagai seorang doktor yang bertanggungjawab menghadapi situasi sebegini, siapakah yang anda pilih?

Siapa?  

"Keputusan Tersulit Yang Harus Kamu Buat Adalah Ketika Kamu Terlalu Lelah Untuk Bertahan Tetapi Kamu Terlalu Cinta Untuk Melepaskan"



"Whatever course you decide upon,
there is always someone to tell you 
that you are wrong.
There are always difficulties arising 
which tempt you to believe that your critic are right.
To map out a course of action and follow it to an end requires courage"


No comments:

Post a Comment