Friday, March 7, 2014

Cinta Khadijah Kepada Nabi Muhammad SAW.

Bermimpi Matahari Turun Ke Rumahnya.


Siti Khadijah Binti Khuwalid, seorang janda, dari kalangan bangsawan, merupakan seorang hartawan, berparas cantik dan mempunyai sifat budiman. Amat disegani oleh masyarakat Quraisy khususnya, dan bangsa Arab pada umumnya. Sebagai seorang tokoh perniagaan, Siti Khadijah sering berjasa kepada pedagang-pedagang lain dengan menghulurkan pertolongan dan bantuan modal kepada  mereka, dan tak kurang juga melantik orang-orang untuk mewakili urusan-urusan perniagaannya ke luar negeri.

Ramai tokoh-tokoh Quraisy yang ingin memperisterikan Siti Khadijah, malah mereka sanggup membayar tak kira berapa pun mas kawin yang dikehendakinya, namun Siti Khadijah kerap kali menolaknya dengan halus dan penuh sopan.

Pada suatu malam di waktu beliau beradu lena, Siti Khadijah didatangi mimpi di mana di dalam mimpinya itu beliau menyaksikan bahawa matahari turun dari langit lalu masuk ke dalam rumahnya dengan memancarkan sinar yang lembut ke ke setiap pelusuk ruang. Malah sinar tersebut menerangi seluruh rumah yang ada di kota Makkah, tidak ada yang terkecuali dari sinarnya.

Mimpinya itu diceritakan kepada anak bapak saudaranya yang bernama Waraqah bin Naufal, seorang lelaki yang berumur lanjut, merupakan seorang yang arif dalam mentafsirkan mimpi dan juga merupakan seorang ahli berkaitan sejarah bangsa-bangsa purba. Waraqah juga mempunyai pengetahuan luas dalam agama yang dibawa oleh Nabi-Nabi terdahulu.

Waraqah berkata: "Takwil dari mimpimu itu ialah, bahawa engkau akan menikah kelak dengan seorang Nabi akhir zaman."

"Nabi itu berasal dari negeri mana?" tanya Khadijah bersungguh-sungguh.

"Dari kota Makkah ini!" ujar Waraqah singkat.

"Dari suku mana?" Khadijah bertanya lagi.

"Dari suku Quraisy juga" jawab Waraqah.

Khadijah bertanya lebih jauh: "Dari keluarga mana?"

"Dari keluarga Bani Hasyim, keluarga yang terhormat" kata Waraqah dengan nada menghibur. 



Khadijah terdiam sejenak, kemudian tanpa sabar meneruskan pertanyaan terakhir."Siapakah nama bakal orang agung itu, hai anak bapa saudaraku?"  

Waraqah berkata "Namanya Muhammad, dialah yang bakal menjadi suamimu!"


Khadijah pulang ke rumahnya dengan perasaan yang gembira tak terhingga. Belum pernah ia merasakan kegembiraan sedemikian dalam hidupnya. Maka sejak itulah Khadijah sentiasa bersikap menunggu dari manakah gerangan kelak munculnya sang pemimpin agung itu.


Pertama Kali Nabi Muhammad Berniaga



Muhammad, adalah seorang yatim piatu yang miskin sejak kecilnya, dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Thalib. Meskipun demikian Abu Thalib amat sayang kepadanya, malah menganggapnya seperti anak kandungnya sendiri, mendidik dan mengasuhnya sebaik-baiknya dengan adab, tingkah laku dan budi pekerti yang terpuji.

Satu hari, Abu Thalib berbincang-bincang dengan saudara perempuannya bernama 'Atiqah mengenai diri Muhammad.Beliau berkata: "Muhammad anak saudaraku itu kini seorang pemuda berusia dua puluh empat tahun. Semestinyalah sudah berkahwin. Tetapi buat masa ini kita tidak mampu mengadakan perbelanjaan, dan tidak tahu apa yang harus diperbuat".

Setelah memikirkan segala ikhtiar, 'Atiqah pun berkata: "Saudaraku, saya mendengar berita bahwa Khadijah akan menghantar kafilah niaganya ke negeri Syam dalam waktu yang terdekat ini. Siapa yang berkerja dengannya, biasanya mendapat pulangan yang bagus. Bagaimana kalau kita pinta perkerjaan Muhammad kepadanya? Saya kira inilah jalan untuk memperolehi nafkah, kemudian dicarikan isteri baginya".

Abu Thalib menyetujui saranan saudara perempuannya itu. Dirundingkan dulu dengan Muhammad, dan Muhammad pula tidak keberatan.

Lalu 'Atiqah mendatangi wanita hartawan itu, memohon pekerjaan bagi Muhammad, agar kiranya dapat bersama-sama menyertai kafilah niaga ke negeri Syam.

Siti Khadijah tatkala mendengar nama "Muhammad", terus dia teringat dalam hatinya: "Oh... inilah takbir mimpiku sebagaimana yang diramalkan oleh Waraqah bin Naufal, bahawa dia dari suku Quraisy dan dari keluarga Bani Hasyim, dan namanya Muhammad, dikhabarkan orangnya terpuji, berbudi pekerti yang tinggi dan kelak akan dilantik menjadi Nabi Akhir Zaman." Seketika itu juga timbullah hasrat di dalam hatinya untuk bersuamikan Muhammad, tetapi Siti Khadijah tidak lahirkan hasratnya karena khuatir akan menjadi fitnah.

"Baiklah," ujar Khadijah kepada 'Atiqah, "Saya terima Muhammad dan saya berterima kasih atas kesediaannya. Semuga dilimpahkan berkat atas kita bersama."

Wajah Khadijah kelihatan riang ceria, tersenyum sopan, menyembunyikan apa yang terselindung di kalbunya. Kemudian ia meneruskan: "Wahai 'Atiqah, saya peruntukkan setiap orang dalam rombongan niaga saya dengan upah yang tinggi, dan bagi Muhammad akan saya berikan upah yang lebih tinggi dari biasanya.

"Atiqah amat berterima kasih, dia pulang dengan perasaan gembira lalu menemui saudaranya, dan menceritakan kepada Abu Thalib akan hasil perundingannya dengan wanita hartawan dan budiman itu. Abu Thalib menyambutnya dengan gembira sekali. Dengan penuh mesra kedua bersaudara itu memanggil Muhammad seraya berkata,

"Pergilah wahai anakandaku kepada Siti Khadijah, dia telah menerima engkau sebagai pekerjanya. Kerjakanlah olehmu akan tugasmu dengan sebaik-baiknya."

Tibalah masanya Muhammad perlu ke rumah Siti Khadijah untuk memulakan kerjanya kepada wanita ushawan itu. Namun sewaktu hendak keluar dari pekarangan rumah Abu Thalib, tiba-tiba Muhammad mencucurkan air mata kesedihan mengenang nasib dirinya. Tiada yang menyaksikannya dan tiada yang menyertainya dalam kesedihan hati Muhammad itu melainkan seluruh para malaikat di langit dan di bumi.


Kesaksian Seorang Rahib

Tatkala kafilah niaga itu siap akan berangkat, berkatalah Maisarah, kepala rombongan "Hai Muhammad, pakailah baju bulu itu, dan peganglah bendera kafilah. Engkau berjalan di depan, kita menuju ke negeri Syam!"

"Muhammad pun melaksanakan perintah. Setelah iring-iringan keluar dari halaman memasuki jalan raya, tanpa sedar Muhammad menangis kembali kesayuan, dan tiada yang melihatnya melainkan Allah dan para malaikat-Nya.

Di mulutnya terucap suara kecil "Aduh hai nasib! Mana gerangan ayahku Abdullah, mana gerangan ibuku Aminah. Kiranyalah mereka menyaksikan nasib anakandanya yang miskin yatim piatu ini, yang justeru lantaran ketiadaannyalah sehingga terbawa jadi buruh upahan ke negeri jauh. Aku tidak tahu apakah aku masih akan kembali lagi ke negeri ini, tanah tumpah darahku. "Jeritan batin itu membuat para malaikat langit bersedih. Mereka memintakan rahmat baginya.

Maisarah memperlakukan Muhammad dengan agak istimewa, sesuai dengan pesanan Siti Khadijah kepadanya. Diberinya pakaian terhormat, kenderaan unta yang tangkas dengan segala kelengkapan yang secukupnya.

Perjalanan yang mengambil masa beberapa hari itu, diiringi terik matahari yang begitu panas sekali. Tetapi keajaipan berlaku pada Muhammad kerana sepanjang perjalanannya, beliau dipayungi awan yang sentiasa menaungi tepat diatas kepalanya. Awan itu mengikuti atas Muhammad kemana sahaja perjalanannya. Kumpulan kafilah akhirnya berhenti di sebuah kawasan istirehat berhampiran rumah seorang Rahib Nasrani.

Muhammad turun dari untanya, lalu pergi menikmati tiupan angin gurun sambil melepaskan keletihannya di bawah sebuah pohon yang teduh. Rahib Nasrani itu keluar dari tempat pertapaannya. Dia hairan melihat gumpalan awan menaungi kafilah dari Makkah itu, padahal tak pernah terjadi selama ini. Dia mengerti akan tanda-tanda yang sedemikian, karena dia pernah membacanya di dalam Kitab Taurat.

Lantas rahib itu menyiapkan satu jamuan bagi kafilah dari Mekah tersebut, dengan maksud untuk menyiasat siapakah pemilik karamah dari kalangan mereka. Semua anggota rombongan hadir dalam majlis jamuan itu, kecuali Muhammad seorang diri yang tinggal untuk menjaga keselamatan barang- barang niaga dan kenderaan mereka.

Ketika rahib melihat awan itu tidak bergerak dari kawasan barangan niaga dan kenderaan yang ditempatkan, masih tetap berada disitu, lalu bertanyalah rahib itu "Apakah di antara kalian masih ada yang tidak hadir di sini?"

Maisarah menjawab:"Ya! Hanya seorang yang tinggal di sana untuk menjaga keselamatan barangan niaga kami."

Terus rahib itu pergi menjemput Muhammad dan terus menjabat tangannya, dan membawanya ke majlis jamuan.

Di perhatikannya ketika Muhammad bergerak, awan itu pun turut bergerak mengikuti kearah mana Muhammad berjalan. Dan di saat Muhammad masuk ke ruang jamuan, Rahib  itu keluar semula untuk melihat kedudukan awan, dan dilihatnya awan itu tetap berada di atas bumbung rumahnya, tidak bergerak sedikit pun walaupun dihembus kuat oleh angin gurun. Maka mengertilah dia akan siapa gerangan yang memiliki karamah dan keutamaan itu.

Rahib tersebut masuk kembali dan mendekati Muhammad lalu bertanya: "Hai pemuda, dari negeri mana asalmu?"

"Dari Makkah" jawab Muhammad.

"Dari qabilah yang mana?" tanya sang rahib.

"Dari suku Quraisy, tuan!" jawab Muhammad

"Dari keluarga siapa?" tanya rahib itu lagi

"Keluarga Bani Hasyim." jawapan Muhammad

''Siapa namamu?" rahib terus bertanya

"Namaku, Muhammad".Muhammad menjawab.

Serta merta sebaik mendengar nama itu, Rahib berdiri dan terus memeluk Muhammad serta menciumnya di antara kedua alis Muhammad seraya mengucapkan "Laa Ilaaha Illallaah, Muhammadar Rasulullah." 

Lalu dia menatap wajah Muhammad SAW dengan perasaan takjub, seraya bertanya "Sudikah engkau memperlihatkan tanda di badanmu agar jiwaku tenteram dan keyakinanku lebih mantap?"

"Tanda apakah yang tuan maksudkan?" tanya Muhammad SAW.

"Silakan buka bajumu supaya ku lihat tanda akhir kenabian di antara kedua bahumu!"

Muhammad SAW. memperkenankannya, dimana Rahib tua itu melihat dengan jelas ciri-ciri yang dimaksudkan.

"Ya....ya....pertolongan, demi pertolongan!" seru Rahib.

"Pergilah ke mana sahaja engkau hendak pergi. Engkau akan terus diberi pertolongan!" kata rahib itu lagi.

Rahib itu mengusap wajah Muhammad SAW, sambil menambahkan "Hai hiasan di hari kemudian, hai pemberi syafa'at di akhirat, hai peribadi yang mulia, hai pembawa nikmat, hai Nabi rahmat bagi seluruh alam!" 

Dengan pengakuan demikian, Rahib dari Ahlil-Kitab itu telah menjadi seorang muslim sebelum Nabi Muhammad SAW. dengan rasmi menerima wahyu kerasulan dari langit.


Paderi-paderi Yahudi Gemetar Ketakutan

Jualan pada kali ini begitu laris dan habis dijual dengan keuntungan yang berlipat kali ganda, mengatasi pencapaian jualan yang sudah-sudah. Keluarlah Muhammad bersama Abu Bakar dan Maisarah untuk bersiar-siar melihat kota negeri Syam. Kebetulan pada hari itu bertepatan dengan hari Yahudi, yang disambut meriahkan dengan upacara besar-besaran. Tetapi pada ketika Muhammad memasuki kawasan upacara untuk melihat cara mereka beribadat, tiba-tiba berjatuhanlah semua lilin-lilin yang dinyalakan bergantungan pada tali-tali di sekitar ruang upacara ibadat, hal ini menyebabkan paderi-paderi Yahudi gemetar ketakutan. Seorang daripada paderi-paderi Yahudi itu bertanya,

"Alamat apakah ini?" Semuanya kehairanan, dan cemas lagi ketakutan.

"Ini bererti ada orang asing yang hadir di sini," jawab ketua upacara ibadat Yahudi tersebut.

"Kita telah baca dalam Taurat bahawa alamat sebegini akan muncul bilamana seorang lelaki bernama Muhammad, yaitu Nabi Akhir Zaman, mendatangi hari perayaan agama Yahudi".

"Mungkinlah sekarang orang itu berada di ruangan kita ini. Carilah lelaki itu, dan kalau bertemu, segeralah tangkap!" pekik paderi itu.

Abu Bakar yang juga sahabat Muhammad sejak dari kecil lagi, dan Maisarah, sebaik mendengar berita itu segera mendekati Muhammad yang berdiri agak terpisah dari mereka, lalu mengajaknya beransur-ansur keluar dari tengah-tengah kesibukan orang yang berdesak-desakan keluar masuk ruangan ibadat itu.

Tanpa melenggah-lenggahkan waktu lagi, Maisarah segera memerintahkan kafilah berangkat pulang ke Makkah. Demi menyelamatkan Muhammad dari sebarang niat jahat orang- orang Yahudi.

Kepulangan Nabi Muhammad Ke Mekah.

Kebiasaannya perjalanan pulang memakan masa yang panjang, dan menjadi kebiasaan juga apabila kira-kira jarak tujuh hari perjalanan lagi sebelum mendekati Mekah, Maisarah akan mengirim seorang utusan kepada Siti Khadijah memberitahukan bakal kedatangan kafilah serta perkara-perkara lain yang bakal menganggu perjalanan.

Lalu Maisarah menawarkan kepada Muhammad "Apakah engkau bersedia diutus membawa berita ke Mekah?"

Muhammad berkata: "Ya, saya bersedia apabila ditugaskan".

Dipersiapkan seekor unta yang kuat dan mampu bergerak cepat untuk dinaiki oleh Muhammad sebagai utusan kafilah yang akan berangkat terlebih dahulu ke kota Mekah. Maisarah pun menulis sepucuk surat untuk diberikan kepada majikannya bahwa perniagaan kafilah yang disertai Muhammad mendapat hasil laba yang sangat memuaskan, dan menceritakan pula tentang pengalaman- pengalaman aneh yang berkaitan dengan diri Muhammad.

Tatkala Muhammad yang menunggang untanya sudah hilang dari pandangan setiap mata dari kumpulan kafilah, maka Allah SWT menyampaikan berfirman kepada malaikat Jibril a.s .

"Hai Jibril, singkatkanlah bumi di bawah kaki-kaki unta Muhammad! Hai Israfil, jagalah dia dari sebelah kanannya! Hai Mikail, jagalah dia dari sebelah kirinya! Hai awan, teduhilah dia di atas kepalanya!" Kemudian Allah SWT mendatangkan rasa mengantuk kepada Muhammad sehingga baginda tertidur nyenyak di atas untanya dan tiba-tiba telah muncul sampai di Mekah dalam tempoh yang cukup singkat.

Saat terbangun, Muhammad hairan kerana mendapati dirinya telah berada di hadapan pintu masuk kota kelahirannya. Baginda SAW sedar bahwa ini adalah mukjizat Tuhan kepadanya, lalu bersyukur memuji Zat Yang Maha Kuasa. Di ketika baginda Muhammad mengarahkan untanya menuju ke rumah Khadijah, kebetulan pula Siti Khadijah pada saat yang sama sedang duduk sambil menjenguk kepalanya keluar jendela memandang jalan ke arah Syam, tiba-tiba dilihatnya Baginda Muhammad di atas untanya dari arah bertentangan bersama-sama naungan awan yang bergerak perlahan-lahan di atas kepala baginda.

Khadijah menajamkan renungan matanya, bimbang kalau-kalau tertipu oleh penglihatannya, sebab yang dilihatnya hanyalah baginda Muhammad sendirian tanpa rombongan, padahal telah dipesannya kepada Maisarah agar menjaga baginda sebaik-baiknya. Ia bertanya kepada wanita-wanita sahaya yang duduk di sekelilingnya.

"Apakah kamu mengenali siapa pengendara unta yang datang itu?" sambil tangannya menunjuk ke arah baginda Muhammad.

Seorang di antara mereka menjawab "Kelihatannya seolah-olah Muhammad Al-Amiin, ya sayyidati!"

Kegembiraan Khadijah terlukis dalam ucapannya "Kalau benar Muhammad Al-Amiin, maka kamu akan ku merdekakan bilamana ia telah sampai!"

Tak lama kemudian muncullah Baginda Muhammad di depan pintu rumah wanita hartawan itu, yang langsung menyambutnya dengan tutur sapa yang penuh sopan dan tulus ikhlas "Ku berikan anda unta pilihan, tunggangan khusus dengan apa yang ada di atasnya."

Baginda Muhammad mengucapkan berbanyak terima kasih di atas kemurahan hati Siti Khadijah Kemudian tanpa bertangguh menyerahkan surat daripada Maisara Ketua Kafilah lalu baginda melaporkan pencapaian perniagaan dan keuntungan perniagaan semasa di Negeri Syam sebelum meminta izin untuk pulang ke rumah bapa saudaranya.

(bersambung ke Lamaran Siti Khadijah Kepada Nabi Muhammad SAW)

Negeri Syam adalah merangkumi Syria, Lebanon, Pelestin dan Jordan




Sumbangan Idea : Nur Ifqsyafawati Abdul Rahman (Qsyafa)
                                 Unimas 2014

No comments:

Post a Comment