Sunday, March 2, 2014

Roda Kehidupan

Satu ketika dahulu, ketika sepasang suami isteri duduk menjamu selera diruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka.



"Assalamualaikum encik, tolonglah encik, saya lapar, sejak kelmarin saya tidak menjamah sesuap nasi, tolonglah berikan saya barang sedikit makanan" 





Dengan muka bengis, si suami sambil menjeling isteri yang cantik dan terus menghalau dengan menengking si pengemis itu.





"Hei! berambus kau dari sini, pergi mengemis ke tempat lain, jangan sekali-kali kamu ganggu aku dan keluarga ku"



Dia terus membebel "Aku bina perniagaanku tanpa meminta-minta pada sesiapa, aku gigih berusaha sendiri hingga berjaya, kemewahan aku bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri dan keluargaku." 



Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Tetapi oleh kerana takut dengan sikap suaminya yang garang maka disimpannya sahaja dilubuk hati akan niatnya itu, takut-takut mendatangkan perselisihan dalam rumahtangganya.


Beberapa tahun kemudian, entah bagaimana perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Tanpa lengah dia terus menceraikan isterinya dengan alasan tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, bekas isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain. 


Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan.



Mendengar rayuan pengemis itu si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan.

Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis itu, tiba-tiba si isteri menangkup muka sambil menangis. Si isteri mengadu kepada suami barunya bahawa si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suamiya yang dulu dimana dia pernah menengking seorang pengemis.

Suami yang baru itu menjawab dengan tenang. "Demi Allah, sebenarnya akulah pengemis yang dihalau dan ditengking dulu".

Hidup kita seumpama putaran roda.
Kita tidak selalunya diatas. 
Ada masa ketikanya kita akan turun kebawah dan naik semula atau sebaliknya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya
"Sedekah itu dapat menutup tujuh puluh ribu kejahatan"

Anas bin Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda bermaksud

"Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaannya, barang siapa yang mempunyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga, bersedekahlah dengan tenaganya"




No comments:

Post a Comment