Friday, March 7, 2014

Lamaran Siti Khadijah Kepada Nabi Muhammad SAW

Khadijah Menawarkan Diri

Baginda Muhammad muncul di rumah Siti Khadijah. Wanita Usahawan itu menyambut kehadiran baginda sambil bertanya dengan ramahnya"Hai Al-Amiin, katakanlah apa keperluanmu! "

Dengan sikap yang merendah diri tetapi tahu dirinya dihargai, baginda Muhammad berbicara lurus, terus terang, meskipun agak malu-malu tetapi dengan yakin baginda berkata. "Kami sekeluarga memerlukan nafkah dari bahagianku dalam rombongan niaga. Keluarga kami amat memerlukannya untuk mencarikan jodoh bagi anak saudaranya yang yatim piatu ini". Kata baginda sambil menundukkan kepalanya.

Lalu Siti Khadijah memandang baginda Muhammad dengan penuh ketakjuban, kemudian berkata "Owh, begitukah....! Muhammad...!, upah itu hanya sedikit, tidak menghasilkan apa-apa bagimu untuk menutupi keperluan yang engkau maksudkan tadi" 

Tambah Siti Khadijah lagi "Tetapi nanti, biarlah saya sendiri yang mencarikan calon isteri bagimu". 

Siti Khadijah berhenti sejenak, berfikir cara terbaik untuk menyampaikan kata bicara seterusnya. Kemudian dia teruskan berkata dengan tekanan suara memikat dan mengandungi isyarat. 

"Aku hendak mengawinkanmu dengan seorang wanita bangsawan Arab. Orangnya baik, kaya-raya, diingini oleh ramai raja-raja dan pembesar-pembesar Arab dan asing, tetapi semuanya ditolak olehnya. Kepadanyalah aku hendak membawamu". 

Khadijah tertunduk namun meneruskan kata-katanya "Tetapi sayang, ada aibnya...! Dia dahulu sudah pernah bersuami. Kalau engkau mahu, maka dia akan memberikan khidmatnya dan mengabdikan dirinya kepadamu".

Pemuda Al-Amiin itu tidak menjawab sepatah kata. Mereka sama-sama terdiam, sama-sama terpaku dalam pemikiran masing-masing. Seorang menunggu jawapan, yang seorang lagi tidak tahu apa yang mahu dijawab. 

Siti Khadijah tidak dapat menyelami apa yang terpendam di hati pemuda Bani Hasyim itu, pemuda yang terkenal dengan gelaran Al-Amiin yang bermaksud bersifat jujur. Ternyata baginda tidak dapat meneka siapakah calon yang dimaksudkan oleh Siti Khadijah. Lalu baginda meminta izin untuk pulang tanpa sesuatu keputusan yang ditinggalkan.

Dirumah Abu Thalib, baginda menceritakan kepada bapa saudaranya itu "Aku merasa amat tersinggung oleh kata-kata Siti Khadijah. Seolah-olah dia memandang rendah kepadaku dengan ucapannya dan .......(mengulangi sebagaimana apa yang dikatakan oleh Siti Khadijah tanpa satu pun yang tertinggal)..........".

'Atiqah juga marah mendengar berita itu. Dia seorang perempuan yang cepat naik darah kalau sesiapa merendah-rendahkan kehormatan ahli keluarga Bani Hasyim. 

Lalu 'Atiqah berkata "Muhammad, kalau benarlah sedemikian kata Khadijah, aku akan mendatanginya".

'Atiqah tiba di rumah Siti Khadijah dan terus menegurnya "Khadijah! kalau kamu mempunyai harta kekayaan dan kebangsawanan, maka kami juga memiliki kemuliaan dan kebangsawanan. Mengapa kamu menghina puteraku, anak saudaraku Muhammad?" 

Siti Khadijah amat terkejut mendengar teguran 'Atiqah. Sungguh dia tidak menyangka bahawa kata-katanya kepada baginda Muhammad itu akan disalah anggap sebagai satu penghinaan.

Pantas Siti Khadijah bertindak menyabarkan 'Atiqah dan menenangkan perasaannya dengan berkata "Tiada siapa yang sanggup menghina suku mu apatah lagi keturunanmu. Terus terang saja kukatakan kepadamu bahawa dirikulah yang aku maksudkan kepada Muhammad. Kalau dia mahu, aku sentiasa bersedia bernikah dengannya, kalau dia tidak sudi, aku pun berjanji tidak akan bersuami lagi sehingga mati".

Pengakuan jujur dan ikhlas dari Siti Khadijah telah membuat 'Atiqah terdiam. Kedua-dua wanita bangsawan itu masing-masing menjadi ceria. Perbualan mereka menjadi lebih khusus dan serius.

"Tetapi Khadijah, apakah suara hatimu itu sudah engkau maklumkan kepada anak bapa saudaramu Waraqah bin Naufah?" tanya 'Atiqah dan menyambung lagi seterusnya "Kalau belum cubalah pinta persetujuannya terlebih dahulu" 

Lalu dijawab oleh Siti Khadijah "Dia masih belum tahu, tetapi katakanlah kepada saudaramu, Abu Thalib, supaya mengadakan majlis jamuan secara sederhana. Jamuan dimana sepupuku itu diundang, dan disitulah nanti akan diadakan lamaranku"

Bagi Siti Khadijah persetujuan Waraqah bukanlah satu masalah baginya kerana Waraqah sendiri yang menafsirkan mimpinya bahawa dia akan bersuamikan seorang Nabi Akhir Zaman.

'Atiqah pulang dengan perasaan tenang dan gembira, hatinya terasa lega dan puas sekali. Pucuk dicita ulam pun tiba. Dia segera menyampaikan berita gembira itu kepada saudara-saudaranya Abu Thalib, Abu Lahab, Abbas dan Hamzah. Kesemua saudara-saudaranya riang gembira menyambut hasil pertemuan 'Atiqah dengan Siti Khadijah. 

"Itu sangat bagus sekali" kata Abu Thalib, "Tetapi apapun kita perlu berbincang dengan Muhammad terlebih dahulu".

Seorang Janda Yang Tercantik

Sebelum sempat Abu Thalib berbincang dengan baginda Muhammad, Siti Khadijah terlebih dahulu mengorak langkah menghantar seorang perempuan bernama Nafisah menemui baginda.  

Utusan peribadi Khadijah itu bertanya: "Muhammad, mengapa engkau masih belum berfikir mencari isteri?" 

Baginda Muhammad menjawab: "Hasratku ada, tetapi kesanggupan ku belum ada." 

"Bagaimana kalau seandainya ada yang hendak menyediakan nafkah? Lalu engkau mendapat seorang isteri yang baik, cantik, berharta, berbangsa dan sekufu pula denganmu, apakah engkau akan menolaknya?" soalan Nafisah seterusnya.

"Siapakah dia?" tanya baginda Muhammad.

"Khadijah!" Nafisah berterus terang. "Asalkan engkau bersedia, sempurnalah segalanya. Urusan seterusnya serahkan sahaja kepadaku!"

Usaha Nafisah berjaya. Dia meninggalkan putera utama Bani Hasyim itu dengan penuh rasa amat berpuas hati lalu segera menemui Siti Khadijah, kerana tidak sabar untuk memaklumkan akan kesediaan baginda Muhammad menerima majikannya. 

Baginda Muhammad memaklumkan kesediaannya menerima Siti Khadijah apabila dipanggil berbincang oleh saudara-saudaranya yang diketuai oleh Abu Thalib.  


Gambar Hiasan

Walaupun Siti Khadijah seorang janda yang usianya lima belas tahun lebih berusia daripada baginda, namun tidak ada apa yang kurang pada Khadijah. Dia seorang wanita bangsawan, bertubuh ramping berkulit putih, cantik rupawan lagi menawan, tokoh usahawan lagi hartawan, sopan beradap lagi budiman. 

Bagi baginda Muhammad yang paling utama ialah kerana hatinya telah dibukakan Allah untuk mencintai Siti Khadijah, dan telah ditakdirkan akan dijodohkan dengannya.

Maka diadakanlah acara yang penuh keindahan. Hadir sama Waraqah bin Naufal dan beberapa orang-orang terkemuka Arab. Pada majlis itu Abu Thalib dengan rasmi meminang Siti Khadijah untuk anak saudaranya Muhammad. 

Waraqah bin Naufal bersetuju pada dasarnya bagi pihak sepupunya Siti Khadijah. Namun begitu dia meminta tempoh untuk berunding dengan wanita berkenaan. "Wahai Siti Khadijah anak bapa saudaraku, bagaimanakah kamu dengan peminangan ini?"

Dengan jujur Siti Khadijah berkata kepada Waraqah "Hai anak bapa saudaraku, betapa aku akan menolak Muhammad SAW padahal ia sangat amanah, memiliki keperibadian yang luhur, kemuliaan dan keturunan bangsawan, apatah lagi pertalian kekeluargaannya sangat luas".

"Benar katamu, wahai Khadijah, hanya sahaja dia tidak berharta", ujar Waraqah.

"Kalau ia tak berharta, maka aku sudah cukup berharta. Aku tak memerlukan harta lelaki. Maka itu aku wakilkan kepadamu untuk menikahkan aku dengannya," demikian Khadijah r.a menyerahkan urusannya.

Waraqah bin Naufal kembali mendatangi Abu Thalib memberitakan bahwa dari pihak keluarga perempuan sudah sebulat mufakat dan merestui bakal pernikahan kedua mempelai. Lamaran diterima dengan persetujuan mas kahwin lima ratus dirham.

Lalu berlangsunglah pernikahan antara Nabi Muhammad saw. dengan Siti Khadijah dengan mas kahwin lima ratus dirham tunai.


Sabda Rasulullah SAW,
’Allah tidak pernah memberiku pengganti yang lebih baik dari khadijah. Ia telah beriman kepadaku ketika orang lain kufur, dia mempercayaiku ketika orang-orang mendustaiku. Dia memberikan hartanya kepadaku ketika tidak ada orang lain yang membantuku. Dan, 
Allah SWT juga menganugerahkan aku anak-anak melalui rahimnya, sementara isteri-isteriku yang lain tidak memberikan aku anak.’
Hadis riwayat Imam Ahmad

Siti Khadijah adalah antara empat wanita terbaik di dunia yang telah dijanjikan Syurga sepertimana dalam sabda Rasulullah saw :
‘Cukuplah bagimu empat wanita terbaik di dunia iaitu Maryam bt Imran, Siti Khadijah bt Khuwailid, Fatimah bt Muhammad dan Asiah, isteri Fir’aun.
Hadis Riwayat Ahmad, Abdurrazaq, Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Hakim

Sumbangan Idea : Nur Ifqsyafawati Abdul Rahman (Qsyafa)
                                Unimas 2014

No comments:

Post a Comment