Monday, March 10, 2014

Sabar Itu Indah

Pagi yang menyegarkan, burung-burung riuh berkicau riang, udara pagi yang nyaman, bunga-bunga berkembangan mekar di halaman, pendek kata pagi itu amat menenangkan fikiran. Indahnya pagi itu.

Seperti biasa seorang ibu memanggil suaminya yang sedang menggenakan tali leher dan ketika yang sama anak tunggal mereka sedang menuruni tangga dengan pakaian tadikanya yang comel untuk sarapan pagi bersama.

Menu nasi lemak bersama sambal tumis udang dan telur goreng dengan minuman air kopi panas pagi itu sungguh menyelerakan.

Kedengaran ketawa riang mereka sekeluarga berbual sambil menikmati sarapan, ceria dengan gurau senda sang suami yang suka mengusik anak dan si isteri. Kebahagian rumahtangga mereka jelas dapat dibaca dari riak gembira di wajah masing-masing.

Dalam keasyikan usik-mengusik tiba-tiba tanpa disangka si anak tersinggung secawan kopi yang telah suam. Air minuman tersebut terpercik ke dada ayahnya, lalu membasahi kemeja putih kebiruan serta tali leher biru yang baru pertama kali dipakai sejak dibeli si ayah minggu sudah.

Si ayah terhenyak, mukanya berubah merah padam lalu meluahkan rasa marahnya dengan kata-kata kesat kepada si anak. Sayu dengan kata-kata ayahnya si anak yang comel tunduk menangis teresak-esak menangis dengan kedua tangan menutup muka.

Si ibu puas memujuk suaminya supaya bertenang namun tidak dipedulikan oleh si suami yang nampaknya makin bernada tinggi beriya-iya berleter hingga mengungkit-ungkit setiap kesalahan anaknya yang silam. Terdorong dengan rasa marah yang makin menjadi-jadi si ayah menampar anaknya hingga anaknya terjelepuk di atas lantai, tangisannya makin kuat.

Tanpa sedar, si ayah telah mengambil masa yang agak lama memarahi anaknya, pagi sudah semakin lewat. Si ayah tergesa-gesa menukar baju dan tali lehernya lalu bergegas ke pejabat. Ada mesyuarat penting yang perlu dihadirinya pagi ini.

Sepeninggalan suaminya, si ibu memujuk satu-satu anak perempuan mereka yang masih terjelepuk di atas lantai. Tangisan yang makin memilukan. Tangisan yang bukan sahaja kerana dileter oleh ayahnya, dan juga bukan sahaja kerana ditampar oleh ayahnya, tetapi kerana lututnya sudah terkehel hingga anak comel tidak mampu untuk bangun.

Demi mengejar waktu yang sudah lewat, si ayah memecut keretanya dengan laju, sikapnya yang tergopoh gapah mengundang kemalangan kecil apabila kereta yang dipandu melanggar belakang kereta lain dalam kesesakan ibu kota. Remuk keretanya seremuk hati anaknya.

Kini si ayah pula terpaksa memujuk dan menenangkan rasa marah tuan punya kereta hadapan yang remuk dilanggarnya tadi. Pelbagai maki hamun dan kata-kata kesat dihamburkan kepada si ayah. Kita yang sama telefon bimbitnya berbunyi

"Abang, doktor di klinik menyuruh saya cepat bawa anak kita ke hospital, lutut kaki nya perlu di x-ray segera, bengkaknya makin merening-rening" suara isterinya cemas.

Si suami terduduk di sisi jalan, pelbagai perkara yang berlaku kepadanya hari itu, baginya semua adalah petaka lalu, terpancul dari mulutnya "Sialnya hari ni"



Apa yang berlaku seperti cerita di atas mungkin pernah kita alami, cuma dengan versi yang berbeza, semuanya adalah ujud dari ketidaksempurnaan kita untuk menguasai apa yang kita hadapi.
Si suami boleh sahaja segera menukar pakaiannya dan kembali ceriakan suasana keluarganya tanpa marah-marah.
Perkara yang kecil jika tidak dihadapi dengan sabar maka kehidupan boleh dengan sekelip mata sahaja musnah.

Orang Yang Gagal
Selalu Menjadikan Masalah Kecil Menjadi Besar,
Manakala Orang Yang Berjaya Itu
Menganggap Masalah Besar Itu Kecil,
Bukankah Masalah Itu Satu Ujian Dari Allah?
Justeru Itu,
Hadapilah Ia Dengan Tabah
Semoga Natijahnya Nanti Lebih Indah.

Orang yang terbaik bukanlah bererti dia sentiasa dikurniakan hal yang baik-baik dalam hidupnya,
tetapi adalah orang yang menerima apa sahaja yang datang dalam hidupnya dan mengubah menjadikannya terbaik

Masalah Tidak Akan Menjadi Rumit Jika Kita Menyingkapinya Dengan Sabar Dan Dengan Kelapangan Hati

Sabar Itu Ilmu Tingkat Tinggi
Belajarnya Setiap Hari
Latihannya Setiap Saat
Ujiannya Sering Mendadak
Sekolahnya Seumur Hidup




No comments:

Post a Comment