Tuesday, March 11, 2014

Masalah Orang Mungkin Masalah Kita Juga

Ketika seekor tikus menyelinap ke sana-kesini di dalam rumah sepasang suami isteri, ia ternampak beberapa perangkap yang besar kelihatan seperti perangkap tikus.

Sang tikus mengamati suami pasangan itu memasang perangkap satu di dalam rumah dan yang selebihnya di pasang di luar rumah lalu, dalam usaha sang tikus untuk segera keluar dari rumah dia sempat menjerit pada sang kucing dari jauh "Awas, ada perangkap tikus di rumah ini, awas, ada perangkap tikus di rumah ini"

Dengan ketawa sang kucing berkata "Hahaha, nampaknya bukan sahaja aku ingin menangkap kamu malah tuan rumah ini juga mahu memerangkap  kamu hahahaha, begitulah nasib kamu" 

Lalu sang tikus terus berlari keluar mendapatkan kawan-kawannya untuk memberitahu apa yang berlaku.

Sebaik tikus sampai kepada ayam, dia menjerit kepada ayam "Awas, ada perangkap tikus di rumah itu, awas, ada perangkap tikus di rumah itu" berulang-ulang.

Sang ayam dengan tenang berkokok-kokok kemudian mencakar-cakar tanah, lalu mengangkat kepalanya dan berkata "Maafkan aku sang tikus, aku tahu itu adalah masalah besar bagi kamu, tetapi ianya tidak mendatangkan masalah kepadaku. Jadi janganlah kamu membuat bising di sini"

Sang tikus berlalu menuju kepada sang kambing dan dia menjerit memberitahu sang kambing "Awas, ada perangkap tikus di rumah itu, awas, ada perangkap tikus di rumah itu" juga berulang-ulang.

Sang kambing tidak memperdulikannya namun kemudian berkata "Ternyata tuan rumah itu mahu memerangkap kamu, perlukan aku takut dengan perangkap itu" katanya sambil tersengih mencebek bibir 

Tikus kemudian pergi mendapatkan sang lembu tanpa rasa letih dia menjerit untuk memberitahu lembu "Awas, ada perangkap tikus di rumah itu, awas, ada perangkap tikus di rumah itu"

"Berdoalah kamu akan keselamatanmu sendiri, sudah tu, pergilah kamu dari sini jangan ganggu aku hanya kerana mala-petaka buat dirimu sudah semakin hampir" kata sang lembu tanpa menoleh sedikit pun kepada tikus.

Tikus pun kemudian kembali ke sarangnya, sedih, kecewa dan patah hati mengenang nasib dirinya lalu mengambil keputusan tidak mahu mendekati kawasan rumah itu lagi. Sang tikus berdoa setiap hari supaya dirinya di lindungi Allah dan redha dengan sebarang ujianNya.

Malam itu dari jauh sang tikus terdengar seperti bunyi perangkap tikus itu berjaya menangkap mangsanya. Hatinya resah takut-takut yang terperangkap adalah kawan-kawannya. Lalu sang tikus meninjau-ninjau dari jauh apa yang berlaku.

Kelihatan dalam kegelapan malam isteri pasangan itu cuba melihat apa yang telah terperangkap di dalam perangkap tersebut. Ternyata seekor ular bisa yang besar di dalamnya. Oleh kerana samar kegelapan malam, si isteri tidak dapat melihat dengan jelas bahawa yang terperangkap adalah seekor ular  lalu ketika tangannya memegang perangkap tersebut, ular yang bisa itu sempat mematuk tangan si isteri melalui ruang-ruang jaring perangkap.

Si suami bergegas membawa isterinya ke hospital dan si isteri diberitakan tenat. Si suami menjadi resah, kasih sayangnya kepada isterinya tidak berbelah bagi. Kuatir sebarang perkara yang tidak di ingininya berlaku kepada isterinya. Lalu dia teringat akan makanan kegemaran isterinya ialah sup ayam. Tanpa lengah si suami pulang dan menyembelih ayam peliharaannya untuk di buat sup untuk isterinya.

Penyakit isterinya makin tenat dan akhirnya isterinya meninggal dunia. Si suami berasa sangat sedih dan pilu mengenangkan bahawa isterinya telahpun pergi menghadap Ilahi. Setelah dikebumikan si suami menyembelih kambingnya untuk di buat lauk kenduri arwah sebagai sedekah bagi isterinya yang tercinta.

Kesedihan si suami sangat terasa, semangatnya untuk menjaga peliharaan sudah tiada, hidupnya rasa kosong setelah ketiadaan isterinya. Hidupnya bagaikan tidak terurus malah selera makan pun dia tiada selera. Malah kucingnya di rumah sudah kurus kerana tidak di berinya makan sejak ketiadaan isterinya. Akibat dibiarkan begitu sahaja sang kucing juga sudah mula dijangkiti kurap di tubuhnya.

Terlalu banyak kenangan bersama isterinya berlaku di rumah itu. Setiap sudut rumah itu akan membuat fikirannya melayang-layang kenangan dikala isterinya masih ada. Ini membuat si suami semakin hari semakin tidak selesa untuk tinggal di rumah itu lagi. 

Kesudahannya si suami menyembelih lembunya dan menjual daging dan tulangnya di pasar, bagi memperolehi wang sakunya untuk dia berpindah ke rumah anaknya di bandar.

Pada ketika si sumi melangkah keluar dari rumah, kucingnya yang semakin kurus kerana kurang makan dan lagi berkurap itu mati di tepi dinding belakang rumah di saksikan oleh sang tikus.

Moral cerita
Jangan sombong dan menghina
kepada sesiapa yang di timpa masalah.

Masalah mereka yang di lihat berat hari ini
mungkin lebih kecil daripada masalah yang tanpa duga akan menimpa kita pada  kemudian hari nanti.

Setiap masalah
yang timbul dari kalangan ahli keluarga
jika tidak di tangani bersama mampu memusnahkan
kehidupan seisi keluarga 








No comments:

Post a Comment