Monday, March 3, 2014

Suami Yang Mencintai Isteri

Ada seorang suami yang sangat mencintai isterinya, setiap kali berhadapan dengan isterinya dia akan bersikap penuh sopan, dan bila berkata-kata pada isterinya, dia akan selalu bersuara penuh kelembutan dengan kasih sayang, apa saja keinginan isterinya dia akan berusaha untuk penuhi atas dasar cinta.

Bagitupun si suami melayani isterinya dengan baik, namun dia rasa kecewa dengan sikap isterinya sejak akhir-akhir ini selalu mempermainkan kata-katanya. Jika dia berkata 'B' isterinya akan menjawab 'D' dan bila dia berkata 'D' isterinya menjawab 'B'. Lalu timbullah keraguan di hati si suami kalau-kalau isterinya mengalami ganguan pendengaran.

Dalam resah gelisah si suami menjadi bingung memikirkan apakah alasan untuk dia mengajak isterinya berjumpa doktor pakar telinga. Dia risau isterinya terasa hati, dia takut isterinya terasa terhina, dia takut isterinya salah faham, dia takut tindakannya akan menyakiti hati isterinya.

Hari demi hari dilalui, tiada sebarang perubahan dengan sikap isterinya malah makin menjadi-jadi. Hinggalah satu hari si suami membuat keputusan untuk pergi seorang diri berjumpa doktor pakar telinga tanpa membawa isterinya.

Selepas mendaftarkan dirinya maka tibalah gilirannya berjumpa doktor di Klinik Pakar E.N.T., si suami duduk berhadapan dengan doktor, "Tujuan saya datang adalah untuk mendapatkan pandangan serta nasihat dari tuan doktor, akhir-akhir ini saya mengesyaki isteri saya mengalami gangguan pendengaran, akan tetapi saya tidak dapat membawanya kemari kerana saya khuatir isteri saya akan kecil hati. Apakah pandangan serta nasihat doktor? Atau bolehkah doktor cadangkan jenama ubat untuk saya beli?"

Doktor bertanya "Keadaan kesihatan isteri encik sekarang ni macamana ye?"

Si suami menjawab "Dari luaran, isteri saya tu nampaknya macam sihat sahaja tuan"

Doktor bertanya lagi "Pernah tak darah keluar dari telinganya?"

Jawab si suami "Tak pernah le pulak setahu saya"

Doktor teruskan bertanya "Apakah isteri encik baru lepas kemalangan atau pernah sakit kuat sebaik sebelum masalah pendengaran ini?"

Jawab si suami "Tak pernah juga tuan"

Doktor berkata "Sukarlah jika macamni encik, saya hanya boleh mengenal pasti masalah pendengaran isteri encik jika saya dapat memeriksa isteri encik secara hadir"

Si suami kebingungan dan berkata "Tolonglah tuan doktor, saya bermasalah untuk membawanya ke sini, apa kata jika doktor berikan sahaja ubat untuk sakit telinga" 

Jawab doktor "Saya hanya boleh memberikan ubat jika saya tahu apa jenis penyakit telinga isteri encik"

Si suami semakin bingung lalu berkata "Bolehkah saya memeriksa sendiri telinga isteri saya untuk mengetahui jenis penyakitnya, minta tuan tunjukkan caranya?"

Doktor mengesel-gesel dahinya dengan jari sambil berfikir cara terbaik untuk membantu si suami yang degil itu "Baiklah, cuba dengar baik-baik caranya, pertama cuba encik panggil isteri encik dari jarak 10 meter, jika encik tidak mendengar sahutan dari isteri encik, maka encik cuba pula dari jarak 9 meter, jika masih juga tidak mendengar sahutannya, encik rapat lagi setiap 1 meter daripada isteri encik untuk memanggilnya, jika isteri encik tetap tidak menyahutnya maka encik ulangilah memanggilnya pada setiap 1 meter lebih rapat. Jika isteri encik hanya menyahut pada jarak kurang dari 1 meter maka itu bererti isteri encik benar-benar sudah mengalami penyakit pekak telinga"

"Baiklah tuan doktor, saya akan segera lakukan di rumah nanti" sahut si suami sambil bergegas meninggalkan bilik doktor.

Setibanya di rumah, pada saat yang sesuai ketika si isteri sedang berehat di ruang tamu, si suami mula memanggil isterinya dari jarak sebagaimana yang dicadangkan oleh doktor.

"Sayang..... sayannngggg....." panggil si suami dengan lembut dan sopan dari jarak 10 meter. Tetapi tidak kedengaran jawapan dari isterinya.

Si suami makin rapat kepada isterinya 1 meter dari tadi dan memanggil "Sayang..... sayannngggg....." masih juga tidak kedengaran jawapan dari isterinya.

Si suami terus rapat lagi 1 meter dan mengulangi memanggil isterinya "Sayang..... sayannngggg....." tetap juga tidak kedengaran jawapan dari isterinya.

Dengan rasa putus asa si suami terus merapati isterinya sehingga jarak kurang dari 1 meter dari isterinya dan memanggil lagi "Sayang..... sayannngggg....." 

"Eh kenapa dengan abang ni, dari tadi sudah banyak kali saya menyahut panggilan abang tapi abang tetap juga memanggil-manggil sayang?" barulah si suami mendengar jawapan dari isterinya yang berupa rungutan.

"Ye bang, apa yang abang cuba nak sampaikan?" tanya isterinya.

Si suami terasa keluar peluh-peluh dingin dari dahinya, tapak tangannya juga turut berpeluh. Ternyata isterinya tidak mengalami masalah pendengaran. Barulah dia sedar bahawa telinganya sendiri yang perlu di periksa........

Adakalanya kita selalu menyalahkan
orang lain.
Kita selalu merasakan diri kita sahaja
yang benar dengan tidak memperdulikan pandangan orang lain.
Cubalah peka dan renung kembali kekurangan diri sendiri.
Cuba redakan keegoan diri.


Yang Terindah

Hadis yang diriwayatkan oleh 
Ali bin Abi Talib bermaksud:
“Rasulullah SAW bersabda: Lelaki yang paling baik ialah yang amat baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku. Tidak ada seseorang yang memuliakan wanita, kecuali dia seorang yang mulia. Tidak ada yang menghina wanita, kecuali orang yang rendah pekertinya.”
(Riwayat Abu Daud).


No comments:

Post a Comment