Sunday, March 16, 2014

Kaya Bertambah Kaya - Miskin Semakin Miskin

Suatu hari datang seorang yang miskin menghadap Nabi Musa a.s.. Kelihatannya dia  begitu miskin dengan pakaiannya yang compang-camping dan sangat lusuh lagi berdebu. 

Si miskin itu kemudian berkata kepada Nabi Musa a.s., "Ya Nabiullah, Kalamullah, tolong sampaikan kepada Allah s.w.t. permohonanku ini, agar diperkenankan oleh Allah s.w.t. agar menjadikan aku seorang yang kaya."

Nabi Musa a.s. tersenyum dan berkata kepada si miskin itu, "Saudaraku, banyak-banyaklah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t.". 

Si miskin itu agak terkejut dan kesal, lalu ia berkata, "Bagaimana aku mampu banyak bersyukur, sedangkan merasa makan pun aku jarang, malah pakaian yang aku pakai pun hanya sehelai ini saja"!.

Dengan rasa penuh kecewa akhirnya si miskin itu pulang tanpa mendapatkan apa yang diinginkannya. 

Beberapa waktu kemudian seorang kaya datang menghadap Nabi Musa a.s.. Penampilannya sungguh bergaya, bersih badannya juga rapi pakaiannya. 

Si kaya itu berkata kepada Nabi Musa a.s., "Wahai Nabiullah, tolong sampaikan kepada Allah s.w.t. akan permohonanku ini agar dijadikannya aku ini seorang yang miskin, kerana aku sering merasa terganggu dengan hartaku itu." 

Nabi Musa a.s.pun tersenyum, lalu ia berkata, "Wahai saudaraku, oleh yang demikian janganlah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t.". 

"Ya Nabiullah, bagaimana mesti aku tidak bersyukur kepada Allah s.w.t.?. Allah s.w.t. telah memberiku nyawa maka yang dengannya aku dapat hidup. Allah s.w.t. telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat. Allah s.w.t. telah memberiku telinga yang dengannya aku dapat mendengar. Allah s.w.t. telah memberiku tangan yang dengannya aku dapat bekerja dan Allah s.w.t. telah memberiku kaki yang dengannya aku dapat berjalan, bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya", jawab si kaya itu. 

Dengan rasa hampa si kaya itu juga akhirnya pulang ke rumahnya. 

Tidak berapa lama kemudian selepas hari berkenaan, terjadilah di mana si kaya itu semakin Allah s.w.t. tambah kekayaannya kerana ia selalu bersyukur. 

Sementara si miskin pula menjadi bertambah miskin. Allah s.w.t. mengambil semua kenikmatan-Nya daripada si miskin sehinggakan si miskin itu tidak memiliki selembar pakaianpun yang melekat di tubuhnya. Semua ini adalah kerana si miskin tidak bersyukur kepada Allah s.w.t.

Lihatlah pada apa yang kita ada lalu kita
BERSYUKUR
Jangan dikenang apa yang kita tiada
nanti kita KUFUR


Sudahkah anda bersyukur kerana masih lagi
BERNYAWA
pada hari ini?

No comments:

Post a Comment