Wednesday, March 12, 2014

Tamak Selalu Rugi

Tersebutlah sebuah kisah pada suatu masa dahulu, di mana tinggal berjiran dua orang petani dalam sebuah perkampungan malah kebun mereka saling berdekatan. Seorang daripadanya adalah petani yang berjaya, kaya dan berada, Kebunnya amat luas di samping mempunyai banyak binatang ternakan. Keluasan kebunnya hingga berupaya menampung pelbagai jenis tanaman sayur dan buah-buahan. Malangnya, dia memiliki sifat iri, tamak, angkuh, sombong dan kedekut.



Manakala petani yang seorang lagi adalah miskin, serba kekurangan dengan kebunnya yang kecil dan tidak pula memiliki sebarang binatang ternakan. tetapi dia bersifat redha dengan rezeki yang tidak seberapa dan sentiasa bersyukur dengan hasil daripada usahanya di samping bersifat sabar disertai keyakinan bahawa segala rezeki datangnya dari Allah. Namun dalam kemiskinannya itu, dia masih suka bersedekah dan menghulurkan bantuan kepada orang yang lebih miskin daripadanya.



Hampir setiap hari, petani yang kaya itu membangga-bangakan hartanya serta selalu mengejek petani yang miskin tetapi petani miskin itu tetap sabar dan tidak menghiraukan ejekan petani kaya, apalagi membalasnya. Lebih-lebih lagi ketika waktu memungut hasil, bertambahlah kesombongan dan keangkuhan petani kaya.



Walau bagaimanapun, segala sesuatu itu hanya Allah yang menentukan sebagaimana yang terjadi dalam peristiwa berikutnya.



Adapun benih yang selalu ditabur oleh petani miskin adalah benih sengkuang. Pada suatu ketika semasa memungut hasil, petani miskin merasa sangat hairan apabila melihat antara hasil tanaman sebuah sengkuang yang teramat besar. Seumur hidupnya, dia tidak pernah menemui sengkuang yang amat besar seperti itu, bahkan petani-petani lain di kampungnya juga tidak pernah melihat keadaan sebagaimana demikian.



Oleh kerana sangat gembiranya, dia tidak menjual buah sengkuang yang besar itu malah berniat dengan ikhlas kerana Allah untuk menghadiahkannya pada raja.



Pada keesokkan harinya petani miskin itu berpakaian kemas lalu pergi ke istana raja dengan membawa bersamanya buah sengkuang tersebut. Setelah sampai di istana langsung dia datang mengadap raja. Raja pun bertanya, Apakah gerangan hajat kamu datang kesini?



Jawab petani, “ Tuanku, sesungguhnya patik adalah seorang petani miskin. Kebiasaannya patik menanam benih sengkuang dan hasilnya patik pergunakan bagi memenuhi keperluan hidup patik sekeluarga. Pada kali ini semasa memungut hasil pertanian patik, Allah melimpahkan rezeki yang luar biasa kepada patik. Oleh itu, dengan ikhlas hati patik ingin menghadiahkannya kepada tuanku.”



Setelah berkata demikian, petani itupun mengeluarkan bungkusan yang berisi buah sengkuang tersebut lalu mempersembahkan kepada raja. Raja juga merasa sangat hairan apabila melihat buah sengkuang yang sangat besar itu yang tidak pernah ditemui seumur hidup baginda sebelum ini.



Setelah itu, segera petani miskin itu meminta izin untuk pulang tetapi raja menahannya seraya berkata’ “Tunggulah sekejap, beta juga ingin memberikan hadiah sebagai balasan di atas keikhlasan kamu. Baginda lalu menghulurkan lima keping dinar emas sambil berkata “Gunakanlah wang ini untuk membeli tanah bagi meluaskan pertanianmu.”



Dengan rasa syukur dan sangat gembira, petani miskin itu kembali ke rumahnya. Tidak pernah selama hidupnya mendapat wang sebanyak itu. Wang itu kemudian digunakan untuk membeli sebidang tanah yang lebih luas daripada yang dimiliki oleh petani kaya yang sombong itu. Dia juga membeli binatang ternakan sehingga akhirnya dia menjadi lebih kaya daripada jirannya itu tetapi dia tetap juga berbudi luhur, bahkan makin banyak bersedekah kepada orang-orang miskin.



Apabila melihat perubahan yang begitu mendadak, petani sombong itu merasa iri hati. Dia cuba berbaik-baik dengan petani miskin itu dan selalu bertanyakan dari mana jirannya itu memperolehi wang banyak sehingga dapat membeli tanah yang begitu luas dan binatang ternakan yang begitu banyak.



Jawab petani miskin, “Semuanya adalah pemberian serta amanah Allah. Aku mendatangi raja di istana baginda, dan menghadiahkannya sebiji buah sengkuang yang amat luarbiasa besarnya pada baginda. Oleh kerana  baginda berbesar hati di atas pemberianku, lalu baginda menghadiahkanku lima keping dinar emas untuk aku gunakan bagi memperluaskan pertanianku.”



Mendengar penjelasan petani miskin itu, maka petani kaya berniat pula untuk melakukan hal yang sama pada raja bagi mendapatkan balasan dari baginda. Nafsu tamak halobanya ingin segera mendapatkan kekayaan cara mudah dari raja. Lalu pada keesokan harinya, dia pergi ke istana dengan membawa sekumpulan kambing ternaknya yang paling gemuk untuk dihadiahkan pada raja.



Setelah sampai di istana, dia segera mengadap raja dan menyampaikan hadiah pada baginda. Mereka berbual-bual beberapa lama, namun baginda tidak juga memberikan sebarang hadiah kepadanya. Manakala raja pula merasa hairan melihat tetamunya yang tidak menampakkan tanda-tanda mahu beredar dari situ. Akhirnya baginda dapat mengagak hasrat tetamunya.



Lama kelamaan setelah jemu menanti, petani kaya itu pun meminta diri untuk pulang tetapi baginda raja menyuruhnya tunggu sebentar. Dengan perasaan gembira, petani kaya itupun menanti sambil berangan-angan akan mendapat balasan berlipat ganda yang menguntungkan.

Tidak lama kemudian, baginda keluar dan menyerahkan sebuah bungkusan dengan katanya, “ Wahai petani, terimalah separuh daripada buah sengkuang yang beta dapat daripada seorang petani miskin ini.”



Perasaan kesal dan rasa amat rugi menyelubungi hatinya. Kalau hanya inilah balasan yang diterima, lebih baik tadinya dia tidak bersusah payah mengadap raja.


Maka pulanglah petani kaya itu dengan rasa kecewa dan rugi kerana menghadiahkan sekumpulan kambing ternakan yang gemuk, hanya untuk menerima balasan separuh buah sengkuang yang tiada harga baginya.


Orang Sabar Selalu Menang
Orang Tamak Selalu Rugi
Orang Marah Selalu Kalah
Orang Sabar Selalu Diuji

"Kaya Bukan Diukur
Dengan Banyaknya Kemewahan Dunia
Namun Kaya
Adalah Hati Yang Selalu Merasa Cukup"
Hadis Riwayat Bukhari




No comments:

Post a Comment