Saturday, March 15, 2014

Dilahirkan - Untuk Apa Ye?

Seorang lelaki yang kelihatan sudah lanjut usianya berjalan menuju ke sebuah bangunan yang sedang dibina. Cuaca pada tengahari itu terasa sangat memeritkan kulit penghuninya. Bagitupun, lelaki tua itu tetap mengagahkan langkahnya, biarpun kepalanya lenjun dibasahi peluh.

Ketika dia melewati seorang pekerja yang nampaknya sedang sibuk menyimen menegakkan bata dinding, dia mengajukan satu soalan "Wahai pemuda, apakah yang sedang anda kerjakan?"

Tanpa menoleh pemuda itu menjawab "Hei orang tua, apakah terik matahari ini telah membuat kamu buta sehingga tidak dapat melihat apa yang sedang aku kerjakan. Inilah kerja-kerja buruh namanya"

Orang tua itu pun tersenyum lalu berjalan lagi ke hadapan sehingga kepada seorang pekerja yang kedua dan bertanya pula kepadanya "Wahai pemuda, apakah gerangan sebenarnya anda kerjakan?"

Pemuda yang kedua itu pun menoleh dengan wajah yang nampak ragu-ragu sambil berkata "Saya pun tidak pasti pakcik, tetapi kata mandur kami, bahawa kami sedang membina sebuah bangunan" jawabnya lalu meneruskan kerja-kerjanya kembali.

Orang tua itu menganguk-angguk mendengar jawapan dari pekerja yang kedua, namun hatinya masih belum puas dengan jawapan yang diberikan, lalu dia teruskan beberapa tapak ke hadapan lalu menemui pekerja yang ketiga dan menanyakan soalan yang sama kepadanya.

Pekerja yang ketiga itu tersenyum lebar, sambil mengesat peluh di dahinya dia berhenti sejenak dari kerja-kerjanya lalu dengan wajah yang berseri-seri dia berkata "Pakcik, kami sedang membuat sebuah rumah yang megah dan cantik, mungkin pakcik tidak dapat membayangkannya buat masa ini, kerana binaannya masih lagi pada peringkat awal, namun dari pengalaman saya, saya yakin bahawa bentuk rumah ini sangat menarik seumpama sebuah istana. Tentu setelah siap kelak ramai orang akan kagum melihatnya. Itulah yang sedang saya kerjakan, wahai pakcik" Jawapan pekerja yang ketiga itu dengan yakin.

Barulah puas hati orang tua itu setelah mendengar jawapan dari pekerja yang ketiga itu. Orang tua itu berasa sungguh terharu dan bersyukur kerana rumah agam yang dibinanya itu, walaupun masih di peringkat awal pembinaannya, telah di lihat cantik dan indah oleh pekerjanya. Adapun orang tua itu adalah pemilik bangunan yang sedang di bina oleh ramai pekerja termasuklah ketiga-tiga pekerja tadi.

Moral cerita

Begitulah perihalnya dengan penghuni kehidupan ini. Di mana terdapat tiga golongan yang di dalamnya.

Yang pertama... adalah terdiri daripada kebanyakan daripada kita, iaitu mereka yang tidak pernah mahu tahu untuk apa mereka di lahirkan ke dunia. Mungkin kerana mereka begitu di sibukkan dengan urusan-urusan seharian sehingga mereka tidak pernah mahu memikirkannya. Asalkan boleh hidup sudah memadai bagi mereka. Golongan ini dipanggil golongan yang 'Sekadar hidup'.

Yang kedua...  adalah terdiri daripada golongan yang suka mengikut-ikut atau menjadi pak turut sahaja dalam hidup. Mereka hanya melakukan apa yang dilakukan orang sekeliling mereka mungkin hanya sebagai menunjuk-nunjuk seolah-olah mereka tahu segalanya. Sedangkan mereka sendiri tidak pasti mengapa mereka ujud dalam kehidupan ini. Golongan ini di panggil golongan yang 'Bertahan untuk hidup'

Yang ketiga...  adalah golongan yang hanya segelintir daripada kita. Iaitu mereka yang tahu bahawa mereka bukan dilahirkan secara kebetulan sahaja  tetapi mereka tahu akan tujuan serta tanggungjawab mereka dalam hidup di dunia ini. Jelas di fikiran mereka tentang objektif, visi dan misi kehidupan sebelum mereka kembali menghadap Allah Subha Nahu Watala. Mereka ini adalah golongan yang 'Hidup dalam erti kata sebenarnya'








No comments:

Post a Comment